MOU ini menggariskan skop kolaborasi dan kerjasama yang lebih luas antara BNM dengan SC, dengan tumpuan kepada bidang kepentingan bersama yang utama bagi memelihara kestabilan sektor kewangan dan pasaran modal. Dengan termeterainya MOU ini, matlamat untuk berkolaborasi, bekerjasama dan berkongsi maklumat akan ditingkatkan bagi membolehkan kedua-dua agensi pengawalseliaan ini menjalankan mandat mereka dengan berkesan.
Di bawah MOU ini, bidang yang dirangkumi termasuklah perumusan perundangan dan dasar, pengawalan dan penyeliaan entiti di bawah kawal selia bersama BNM dan SC, penyeliaan sistem pembayaran, pengiktirafan bersama perancang dan penasihat kewangan dan cara penyiasatan dan tindakan penguatkuasaan.
MOU yang dipertingkat ini merintis jalan ke arah kesinambungan kerjasama dan perkongsian maklumat antara BNM dengan SC dalam bidang penting yang berkaitan untuk menangani ancaman terhadap kestabilan kewangan dan risiko sistemik termasuk penyeliaan kumpulan kewangan, pengurusan krisis kewangan, penyeliaan pasaran wang dan pasaran derivatif, pembanterasan ancaman yang berkaitan dengan pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan serta penyeliaan juruaudit institusi kewangan.
MOU ini ditandatangani oleh Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara Malaysia dan Datuk Ranjit Ajit Singh, Pengerusi SC, selepas mesyuarat dua hala antara BNM dengan SC di bangunan Suruhanjaya Sekuriti di Bukit Kiara. Majlis penandatanganan ini disaksikan oleh pihak pengurusan kanan BNM dan SC.
BANK NEGARA MALAYSIA / SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA