Majlis tersebut menyaksikan pelancaran logo rasmi Bursa Sosial serta pengenalan kepada Impakrintas, platform Bursa Sosial pertama di Malaysia.
Inisiatif ini mengukuhkan komitmen SC dalam memperluas akses kepada pembiayaan berimpak sosial, sejajar dengan keutamaan negara yang termasuk Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
Beroperasi sejak 19 Februari 2026, Impakrintas menyediakan saluran yang dikawal selia dan telus bagi membolehkan pertubuhan bukan untung (NPO) mengumpul sumbangan untuk projek berimpak sosial yang layak. Platform ini juga memberi keterlihatan yang lebih baik kepada penderma individu dan korporat bagi projek berimpak sosial, sekaligus memudah cara peluang pembiayaan.
Sehingga kini, platform tersebut telah menerima penyertaan sebanyak lapan NPO merangkumi pelbagai bidang impak sosial, termasuk akses kepada penjagaan kesihatan, program intervensi awal dan pendidikan kesihatan untuk golongan belia, keterjaminan makanan, mata pencarian inklusif serta kelestarian alam sekitar.
Projek-projek impak sosial ini bertujuan meningkatkan kesejahteraan komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan dan golongan rentan di seluruh Malaysia.
Majlis pelancaran tersebut turut menyaksikan komitmen daripada tiga badan korporat
1 berjumlah keseluruhan sebanyak RM60,000. Ini mencerminkan minat yang semakin meningkat daripada sektor swasta untuk menyokong projek berimpak sosial yang layak melalui Bursa Sosial.
Inisiatif ini merupakan antara hasil utama di bawah Teras Kelestarian Pelan Induk Pasaran Modal 2026–2030 (CMP), yang bertujuan memperluas akses kepada pembiayaan impak sosial. Ia mencerminkan pendekatan seluruh negara dalam memperkukuh daya tahan ekonomi melalui kerjasama yang lebih erat antara sektor awam dan swasta.
Bagi menyokong NPO yang menyertai platform Bursa Sosial, Kerajaan telah memperuntukkan geran berjumlah RM2 juta yang akan ditadbir oleh SC untuk membantu menampung sebahagian kos penyertaan dan pengumpulan dana bagi NPO yang layak.
Langkah ini bertujuan mengurangkan halangan penyertaan serta membolehkan NPO memberi tumpuan kepada penyampaian hasil impak sosial yang bermakna.
Pengerusi SC, Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata, sambutan awal yang menggalakkan terhadap Bursa Sosial membuktikan peranan pasaran modal dalam menyokong agenda impak sosial dengan menghubungkan pembiayaan kepada keperluan sosial sebenar.
“Bursa Sosial merupakan platform yang mempertemukan modal dengan nilai kemanusiaan. Dengan menyediakan ekosistem yang dikawal selia dan telus, kami bukan sahaja memudah cara sumbangan, malah turut membina keyakinan dan kepercayaan.
“Platform ini memastikan setiap ringgit dapat dijejaki penggunaannya dan setiap projek menghasilkan pulangan sosial yang bermakna. Pada masa yang sama, geran RM2 juta ini akan menjadi pemangkin kepada NPO untuk terus menjana impak sosial yang signifikan.
“Melangkah ke hadapan, Bursa Sosial akan diperluaskan secara berperingkat untuk melibatkan lebih ramai pihak berkepentingan, termasuk perusahaan sosial dan inisiatif berasaskan komuniti, sambil meneroka lebih banyak mekanisme berasaskan pasaran yang dapat menyokong hasil sosial dan daya tahan iklim,” katanya.
Sumbangan yang dibuat melalui Bursa Sosial layak menerima layanan cukai di bawah subseksyen 44(6) dan perenggan 13(1), Jadual 6 Akta Cukai Pendapatan 1967, sekaligus memberi manfaat kepada NPO yang mengumpul dana serta penderma yang menyokong projek impak sosial yang disenaraikan di platform Bursa Sosial.
Untuk maklumat lanjut, layari
https://www.sc.com.my/development/social-exchange atau
https://impakrintas.com.
Maklumat lanjut mengenai geran, termasuk kriteria kelayakan dan proses permohonan, boleh didapati di
https://www.sc.com.my/development/social-exchange/incentives-available.