CELAAN AWAM TERHADAP FAJAR BARU CAPITAL BERHAD

Kuala Lumpur, 26 Ogos 1999

Suruhanjaya Sekuriti (SC) dengan ini mengenakan celaan terhadap Fajar Baru Capital Berhad (FBC) kerana ketidakpatuhan terhadap peruntukan Polisi dan Garis Panduan Terbitan/Tawaran Sekuriti (Garis Panduan SC) berhubung dengan kegagalan FBC mematuhi syarat kelulusan penyenaraian iaitu mempelbagaikan perniagaan kepada perniagaan bukan utama tanpa memperoleh kelulusan daripada SC.

Pada 3 Disember 1998, FBC telah membuat 2 Perjanjian Jual Beli yang berasingan untuk membeli 51% kepentingan ekuiti dalam Sanbumi Sawmill Sdn Bhd (Sanbumi) bagi harga perolehan secara tunai sejumlah RM34,394,237 dan 51% kepentingan ekuiti dalam Akalaju Sdn Bhd (Akalaju) bagi harga perolehan secara tunai sejumlah RM3,585,565. Kedua-dua syarikat terlibat dalam pembuatan dan pemasaran balak yang digergaji dan dibentuk dan aktiviti berkaitan seperti "finger joint" dan kayu berlamina, dagangan balak, papan dan produk-produk balak. FBC pula adalah merupakan syarikat pembinaan.

Walaupun SC menyedari kebebasan operasi sesebuah entiti tersenarai dan realiti komersial sesebuah syarikat untuk memulakan perniagaan baru, pemerolehan Sanbumi dan Akalaju oleh FBC, walau bagaimanapun, menunjukkan penyimpangan daripada perniagaan utama. Ini tidak sejajar dengan Seksyen 7.08 Garis Panduan SC yang menetapkan dengan jelas bahawa syarikat yang telah diluluskan untuk penyenaraian tidak boleh digunakan sebagai alat untuk mengusahakan aktiviti lain yang tidak berkaitan dengan perniagaan utama yang asal untuk tempoh sekurang-kurangnya 3 tahun selepas penyenaraian. Dalam tempoh itu, pengarah-pengarah bagi syarikat yang baru disenaraikan mesti memberi tumpuan kepada pengurusan dan pengembangan perniagaan utama mereka yang sedia ada. Dalam kes FBC, ia telah disenaraikan di BSKL selama kurang dari 3 tahun sebelum ia memperoleh pengawalan kepentingan dalam Sanbumi dan Akalaju. Sehubungan itu, surat kelulusan SC bertarikh 9 September 1997 berkaitan permohonan penyenaraian FBC telah dengan jelas menyatakan bahawa FBC mesti patuh sepenuhnya kepada keperluan yang berkaitan, seperti yang diperuntukkan di bawah Bab 7 Garis Panduan SC.

SC juga ingin menekankan bahawa merit pemerolehan itu sendiri tidak menjadi isu. FBC patut menyerahkan permohonan kepada SC untuk kelulusan bagi pemerolehan atau mendapatkan pengecualian daripada mematuhi keperluan di bawah Seksyen 7.08 Garis Panduan SC dengan justifikasi yang sewajarnya.

SC mengambil pandangan serius terhadap kegagalan FBC mematuhi obligasi selepas penyenaraian dan kegagalan sedemikian adalah merupakan pelanggaran serius prinsip amalan baik pentadbiran korporat, yang memberikan gambaran yang tidak baik terhadap pengarah syarikat. Dalam hal ini, FBC telah diberi peluang yang sewajarnya untuk menjelaskan kesnya kepada SC. Penjelasan yang diberi oleh FBC didapati tidak memuaskan. Sebagai pengawal kepada sebuah entiti tersenarai, pengarah FBC sepatutnya melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan cara yang lebih tekun dan penuh tanggungjawab.

Syarikat awam tersenarai, termasuk pemegang saham utama dan pengarah serta penasihat, adalah diingatkan dan dikehendaki supaya mematuhi kesemua Garis Panduan SC dan syarat kelulusan yang dikenakan terhadap mereka. Mereka mesti melaksanakan tugas mereka dengan penuh tanggungjawab dan secara profesional setiap masa, dan dengan ketelitian dan ketekunan yang sewajarnya. Ini adalah penting untuk mendukung integriti pasaran dan memastikan bahawa kepentingan pelabur dan pemegang saham minoriti dijaga sepenuhnya.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Diterbitkan bagi pihak Suruhanjaya Sekuriti. Untuk bantuan, sila hubungi Jabatan Hal Ehwal Korporat di no. tel. 03-654 8513 (Ann Teoh) / 03-654 8625 (Soh Beng Choo) atau no. faks: 03-6515078.


Maklumat latar belakang:
Suruhanjaya Sekuriti (SC),
sebuah badan berkanun yang melapor terus kepada Menteri Kewangan, diwujudkan di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. Ia merupakan agensi pengawalselia tunggal bagi pengawalseliaan dan pembangunan pasaran modal. SC mempunyai tanggungjawab langsung bagi penyeliaan dan pengawasan aktiviti institusi pasaran, termasuk bursa saham dan rumah penjelasan, dan mengawalselia semua pihak yang diberikan lesen di bawah Akta Perindustrian Sekuriti 1983 dan Akta Perindustrian Niaga Hadapan 1993.

Maklumat lanjut mengenai SC juga terdapat dalam laman web SC di www.sc.com.my.
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup