Delegasi Antarabangsa Hargai Peranan Aktif Malaysia dalam Membina Keupayaan ICM

Program SIDC mainkan Peranan Strategik dalam Mempromosikan Malaysia sebagai Pusat ICM Global

Kuala Lumpur, 17 Julai 2006

Kedudukan Malaysia sebagai pusat Pasaran Modal Islam (ICM) global dipertingkatkan lagi dengan kejayaan penganjuran bengkel tahap tinggi yang bertujuan mempromosikan pemindahan pengetahuan ICM dan perkongsian kepakaran di kalangan profesional pasaran yang mahir.

Delegasi yang menghadiri 'Program Pasaran Islam' (IMP) lima hari yang dianjurkan oleh Pusat Perkembangan Industri Sekuriti (SIDC), bahagian pendidikan dan latihan Suruhanjaya Sekuriti (SC), menyokong peranan penting Malaysia dalam pembangunan keupayaan ICM. Program tersebut berlangsung dari 10-14 Julai 2006.

"Pembangunan keupayaan insan mesti diberikan keutamaan tinggi dalam usaha pembangunan untuk mempercepat pertumbuhan ICM," kata Pengurus Besar dan Ketua SIDC, Hasnah Omar dalam ucapan alu-aluannya.

"Industri ICM perlu dilengkapkan dengan generasi baru yang membawa perubahan, pengawal selia, para pengantara dan pengurus risiko yang memiliki pengetahuan mengenai pasaran modal yang sesuai dan pemahaman mengenai prinsip Syariah. Terdapat keperluan bagi perkongsian kepakaran di peringkat global dan pembiayaan bagi latihan dan program pembangunan untuk mewujudkan kumpulan profesional ICM," kata beliau.

Hasnah menambah, "Industri ICM menawarkan potensi pertumbuhan yang meluas, dan sejajar dengan pembangunan Malaysia sebagai pusat ICM global, SIDC akan terus menerajui usaha serantau untuk mendidik peserta pasaran dan mewujudkan lebih kesedaran mengenai ICM."

Dr Mohd Daud Bakar, ahli Majlis Penasihat Syariah (MPS) SC dan Presiden International Institute of Islamic Finance Inc. (IIIF), merupakan prinsipal kepada IMP tersebut. "Kewangan Islam muncul dalam banyak dimensi yang kemudiannya diterjemahkan kepada produk dan perkhidmatan kewangan yang sofistikated. Program latihan berstruktur dalam bidang pembangunan ini ialah satu usaha yang dialu-alukan bagi membangunkan dengan secara serius sumber dan kepakaran dalam bidang baru ini.

Pengarah Eksekutif Kanan Strategi dan Pembangunan Dr Nik Ramlah Nik Mahmood yang berucap mengenai falsafah pengawalseliaan ICM berkata, "Adalah penting peserta pasaran memahami kaedah pengawalseliaan ICM dan objektif pengawalseliaan sekuriti dalam mengimbangi fungsi membangun dan mengawal selia pasaran modal.

Usaha pembangunan seperti pembinaan keupayaan, infrastruktur, insentif pertumbuhan, inovasi dan daya saingan mesti menyokong prinsip kawal selia asas perlindungan pelabur, pengurangan risiko sistemik dan pasaran yang adil, cekap dan telus," ujar beliau.

Tiga puluh satu peserta dari Brunei, Indonesia, Jepun, Qatar serta Malaysia menghadiri program tahunan peringkat tinggi tersebut yang merangkumi asas ICM serta pengurusan risiko Islam, pembangunan dan falsafah pengawalseliaan ICM. Para delegasi mendapati format pembelajaran progresif yang sesuai sehingga pertukaran idea yang dinamik yang telah membolehkan mereka mengetahui dengan lebih lanjut trend dan perkembangan yang baru muncul serta mempertingkat pengetahuan mereka mengenai produk dan perkhidmatan baru.

Pasaran modal Islam yang sedang membangun dengan pesatnya telah muncul sebagai bidang pertumbuhan utama yang menawarkan pelbagai produk yang semakin diterima, infrastruktur, institusi, pengantara dan pelabur dalam pasaran antarabangsa.

Para delegasi telah dimaklumkan oleh penyampai terkenal bahawa ketika ini terdapat lebih 250 institusi kewangan Islam di seluruh dunia, dengan permodalan melebihi $AS13 bilion. Ini termasuk bank, dana bersama, syarikat gadaian dan organisasi takaful. Kumpulan wang yang dipegang oleh orang Islam adalah dianggarkan sebanyak $AS1.5 trilion manakala permintaan bagi dana bersama Islam global juga telah meningkat dengan mendadak. Kini terdapat lebih 100 dana Islam di seluruh dunia menguruskan aset melebihi $AS5 bilion.

Di Malaysia, produk dan perkhidmatan ICM telah menjadi bahagian penting dalam landskap pasaran modal, yang mana 71% bon yang diluluskan oleh SC pada tahun 2005 distrukturkan sebagai bon Islam atau sukuk. Di samping itu, 80% daripada saham yang disenaraikan di Bursa Malaysia adalah diklasifikasikan sebagai sekuriti patuh Syariah oleh MPS SC. Ini telah memberikan rangsangan bagi pertumbuhan seterusnya bagi ICM, yang ditunjukkan oleh peningkatan berterusan bilangan dana unit amanah yang berasaskan Syariah, penerbitan struktur bon Islam yang inovatif menggunakan prinsip pendasar Syariah, dan pengenalan produk ICM baru seperti Amanah Pelaburan Hartanah Islam (REIT).

PUSAT PERKEMBANGAN INDUSTRI SEKURITI

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup