Dialog Industri SC Tumpu Inisiatif untuk Pacu Pertumbuhan Mampan dan Inovasi dalam Pasaran Modal

Sorotan utama termasuk memajukan pendigitalan & inovasi, menyepadukan SRI dan sokongan pembiayaan untuk PKS

28 Julai 2022  |  Kuala Lumpur

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengakhiri Dialog Industri 2022, dengan menggariskan isu-isu utama dalam menggalakkan pasaran modal yang kukuh dan mampan berlatarbelakangkan persekitaran yang pantas berubah.

Dialog Industri tahunan SC yang diadakan secara bersiri ini berfungsi sebagai saluran bagi libat urus yang terbuka antara SC dan pelbagai peserta pasaran modal dan persatuan industri yang terdiri daripada, antara lain, bank pelaburan, syarikat broker saham dan pengurusan dana untuk membincangkan perkembangan, potensi peluang dan risiko yang muncul dalam pasaran modal.

Semasa sesi dialog, Pengerusi SC Dato’ Seri Dr Awang Adek Hussin mengalu-alukan pelbagai pandangan dan idea yang telah dikongsi dalam libat urus pertamanya bersama seluruh industri, serta menyedari kepentingan usaha kerjasama antara SC dan peserta pasaran.

“Pendekatan perundingan yang diambil untuk melibatkan pihak berkepentingan utama sudah pasti akan berfungsi sebagai platform berkesan untuk memangkin perubahan positif dalam ekosistem pasaran modal. Saya komited dengan pendekatan ini, kerana ia akan membantu memacu inisiatif secara lebih telus dan inklusif.”

Libat urus berterusan dan kerjasama erat bersama para pemegang berkepentingan utama adalah penting dalam penggubalan dasar dan inisiatif pembangunan, terutamanya dalam tempoh mencabar ini yang sedang dilalui oleh pasaran kewangan.

Sebagai sebahagian daripada perutusannya kepada industri ketika sesi dialog tersebut, Pengerusi SC menyatakan, “Untuk memastikan keseluruhan ekonomi kita kekal teguh dalam jangka masa terdekat dan mampan dalam jangka masa panjang, SC telah mengenal pasti empat keutamaan penting iaitu pemulihan pelaburan swasta, menggalakkan mobilisasi tabungan yang lebih berkesan dan inklusif, menyokong peralihan yang mampan dan menggalakkan industri untuk terus dimodenkan.”

Antara isu yang dibincangkan lanjut semasa Dialog termasuk keperluan untuk inovasi dan pendigitalan yang berterusan merentas keseluruhan pasaran modal, peranan pembiayaan berasaskan pasaran terutamanya untuk menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS), kesediaan untuk meningkatkan penawaran Pembiayaan dan pelaburan Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) serta meningkatkan keluasan dan kedalaman Pasaran Modal Islam.

Ketika Dialog itu, SC dan wakil industri bersetuju dan bersepakat mengenai kepentingan empat keutamaan dalam meningkatkan keterlihatan dan daya tarikan pasaran modal Malaysia yang memainkan peranan penting dalam memudahkan pemulihan negara daripada cabaran kesihatan dan ekonomi.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup