InvestED SC Perluas Saluran Bakat Pasaran Modal, 65% Peserta Mendapat Pekerjaan

Kuala Lumpur, 7 Mei  2026

Program siswazah utama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), investED, terus memainkan peranan penting dalam memperkasa bakat tersedia untuk industri pasaran modal Malaysia.

Dari segi kebolehpasaran siswazah, sebanyak 65% daripada 581 pelatih program Kepimpinan investED1  telah berjaya memperoleh pekerjaan dalam pasaran modal sejak program ini diperkenalkan. Selebihnya pula bekerja dalam sektor lain termasuk perbankan, fintech, perundingan dan perakaunan.

Ini mengukuhkan objektif program dalam membangunkan saluran bakat yang mampan dan berkemahiran bagi industri pasaran modal.

Dalam pada itu, program Asasi investED telah mencatatkan penyertaan seramai 3,072 peserta merangkumi tiga kohort, melebihi sasarannya iaitu 2,400. Program ini menyediakan pengetahuan pengenalan dan pensijilan asas pasaran modal.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2023, program investED juga telah menjalankan jangkauan yang melibatkan lebih 190,000 pelajar universiti dan graduan baharu di seluruh negara menerusi pameran kerjaya dan sesi ceramah.

Majlis graduasi investED Kohort 3 telah diadakan hari ini dan dihadiri oleh Datuk Dr. Anesee Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, bersama Pengerusi SC Dato' Mohammad Faiz Azmi.

Majlis hari ini meraikan seramai 210 dan 513 graduan daripada Kohort 3 Program Kepimpinan dan Asasi investED.

Dilancarkan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim pada Jun 2023, investED merupakan usaha sama pertama seumpamanya yang melibatkan SC, Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan Tinggi, industri dan universiti-universiti Malaysia.

investED tertumpu kepada pembangunan kemahiran khusus untuk industri pasaran modal. Struktur program ini menggabungkan latihan intensif bilik darjah selama sebulan di Asia School of Business, dengan penempatan selama enam bulan di 50 syarikat rakan kongsi pasaran modal yang berperanan sebagai penghubung antara pengajian akademik dan latihan profesional.

Pengerusi SC, Dato' Mohammad Faiz Azmi menyatakan bahawa saluran bakat yang mampan penting untuk menyokong Pelan Induk Pasaran Modal 2026–2030 yang diunjurkan akan meningkatkan saiz pasaran kepada antara RM5.8 trilion dan RM6.3 trilion menjelang 2030.

“investED selaras dengan keperluan industri. Ia merupakan platform pembinaan kapasiti yang boleh dipercayai dan berkesan, memberikan hasil tenaga kerja yang ketara untuk pasaran modal Malaysia. Dengan menggabungkan latihan berstruktur dengan pendedahan di tempat kerja, ia memastikan peserta bersedia untuk peranan mereka dan mampu menyumbang kepada industri,’’ katanya.

Sementara itu, firma rakan kongsi dan ahli Jawatankuasa Pemandu investED yang terdiri daripada pemain industri menyokong impak program terhadap pembangunan bakat.

Pengerusi Majlis Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia dan Pengarah Urusan Kumpulan & Ketua Pegawai Eksekutif, Hong Leong Investment Bank, Lee Jim Leng mengulas, “investED merupakan program yang direka untuk melangkaui asasi dan pengetahuan. Terasnya terletak pada pengiktirafan keperluan untuk merapatkan jurang dalam membina saluran bakat yang konsisten untuk industri pasaran modal.”

Wakil daripada Persatuan Broker Niaga Hadapan Malaysia dan Pengarah Eksekutif TA Futures Sdn Bhd, Dayangku Shukarni Awang Jolkipli berkata, “Daripada program investED, kami berjaya menapis calon yang sesuai untuk dilatih lebih lanjut dalam organisasi. Oleh itu, TA memperoleh perspektif dan idea baharu, keseimbangan jurang umur untuk program pelan penggantian dan proses pengambilan pekerja yang kos efektif.”

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia dan Ahli Jawatankuasa Pemandu, Dato’ Fad’l Mohamed berkata, “Pasaran modal yang rancak dan berkembang memerlukan saluran bakat yang mantap, dan program seperti investED menyediakan peserta dengan pendedahan awal dan pandangan praktikal tentang industri dan ekosistemnya. Sepanjang program ini, kohort memperoleh pengetahuan dan kemahiran yang diharapkan dapat menyokong pertumbuhan dan menyumbang kepada pasaran modal Malaysia pada masa depan.”
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

  1. Program Kepimpinan terdiri daripada pembelajaran bilik darjah komprehensif selama sebulan dan penempatan sambil bekerja selama enam bulan di syarikat yang ditetapkan. Graduan terpilih menerima elaun sebanyak RM2,000 semasa latihan formal dan elaun bulanan minimum sebanyak RM2,400 semasa penempatan sambil bekerja
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup