InvestSmart® Bawa Pendidikan Pelabur Pasaran Modal ke Johor
Acara di Johor Bahru dijangka menarik lebih 11,000 pengunjung

SIARAN MEDIA

Kuala Lumpur, 17 Mei 2024

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan melangsungkan pameran pendidikan pelabur tahunannya Bersama InvestSmart®@Johor 20241 pada hujung minggu ini, yang merupakan sebahagian daripada usahanya untuk terus memperkasakan pelabur dengan pengetahuan pelaburan yang tepat.

Acara yang berlangsung selama tiga hari itu, bermula pada hari ini di Pusat Pameran Mid Valley, bertempat di pusat beli-belah Mid Valley SouthKey, Johor Bahru, bertujuan untuk mendidik orang ramai mengenai pelaburan dan mempromosikan celik kewangan. Pelabur yang berpengetahuan luas lebih bersedia untuk membuat keputusan pelaburan yang betul sambil melindungi diri daripada penipuan dan skim tidak berlesen.

Exco Kerajaan Negeri Johor dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia YB Lee Ting Han merasmikan majlis itu hari ini, dihadiri pegawai kanan kerajaan negeri serta pemimpin pasaran modal dan industri kewangan.

Bertemakan ‘Bijak Labur Hidup Makmur’, acara itu menampilkan 38 peserta pameran terdiri daripada firma kewangan dan pasaran modal, persatuan industri serta agensi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Lebih 11,000 pengunjung dijangka menghadiri Bersama Investsmart®@Johor, yang juga menampilkan ceramah umum dan perbincangan panel oleh pakar kewangan dan pasaran modal.

Selain itu, lebih 230 sesi perancangan kewangan secara bersemuka percuma ditawarkan di bawah inisiatif #FinPlan4u®, di mana orang ramai boleh mengetahui tentang matlamat kewangan dan perancangan persaraan mereka daripada perancang kewangan berlesen.

Berucap pada majlis perasmian, Pengerusi SC Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata Johor merupakan lokasi terbaik untuk Bersama InvestSmart® tahun ini berikutan kejayaan acara tersebut di Pulau Pinang tahun lepas, Sarawak pada 2022 dan Sabah pada 2019.

"Amat tepat pada masanya untuk kita mengadakan acara ini di Johor pada tahun ini. Baru-baru ini Menteri Besar Johor, YAB Datuk Onn Hafiz Ghazi, mengumumkan pencapaian luar biasa negeri dalam menarik pelaburan berjumlah RM113.7 bilion, mewujudkan 35,000 pekerjaan, dalam tempoh satu tempoh dua tahun sahaja.”

"Ini akan membawa lebih banyak kekayaan kepada negeri dan individu yang tinggal di dalamnya, dan dengan ini, menjadikan pelaburan bijak lebih penting terutamanya pada peringkat individu," katanya.

Dato’ Seri Dr. Awang Adek juga memberi amaran kepada orang ramai mengenai penipu (scammers) yang kerap menggunakan label ‘patuh syariah’ atau nama pempengaruh untuk memberi kepercayaan dan kesahihan kepada skim mereka, terutamanya kepada pelabur beragama Islam.

“Malah, mereka juga cukup berani menyalahgunakan nama agensi seperti SC, Bank Negara Malaysia, pengantara berlesen, serta selebriti tempatan dan pemimpin agama,” katanya.

“Orang ramai harus sedar bahawa hanya kerana sesuatu produk itu dikatakan patuh syariah atau dikaitkan dengan individu berprofil tinggi tidak bermakna produk itu bagus dan modal atau pulangannya terjamin,” tambahnya.

Tinjauan Pelabur SC yang diterbitkan di laman webnya menunjukkan bahawa 30% atau 384 daripada 1,302 responden lebih terdedah kepada penipuan.

Selanjutnya, kajian tersebut menunjukkan bahawa kumpulan yang terdedah ini bergantung kepada keluarga dan rakan untuk membuat keputusan pelaburan. Mereka juga melabur dalam skim tanpa pengesahan maklumat yang diberikan dan mudah dipengaruhi oleh individu yang tidak berlesen dan tidak berkelayakan.

Penemuan ini memberi bayangan atas peningkatan kesediaan pelabur untuk didedahkan kepada peluang pelaburan dan untuk melabur tanpa memahami risiko sepenuhnya. Ia menunjukkan jurang yang kritikal dalam celik pelaburan dan mengenai tahap kerentanan terhadap penipuan, dengan pelabur lebih cenderung menjadi mangsa skim penipuan.

Menyedari perkara ini, SC awal tahun ini memperkenalkan fungsi Semak Sebelum Labur (Investment Checker) di laman web rasminya untuk membantu pelabur mengesahkan kesahihan entiti pelaburan dan membuat keputusan pelaburan yang termaklum.

Laman Semak Sebelum Labur berfungsi sebagai pusat sehenti untuk orang ramai menyemak dan mengesahkan kesahihan entiti dan individu yang menawarkan peluang pelaburan. Sejak dilancarkan, laman tersebut merupakan antara yang paling kerap dikunjungi, dengan lebih 25,000 lawatan setakat ini.

Selain Bersama InvestSmart®@Johor, SC juga akan menganjurkan Siri Pembiayaan Hijau Pasaran Modal NaviGate pada 20 Mei 2024 di Iskandar Puteri, dengan sokongan Iskandar Investment Berhad.

Program ini akan mendalami proses pengumpulan dana bagi pembiayaan pasaran modal alternatif, termasuk pendaanan ekuiti ramai (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P), dengan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) berkongsi pengalaman mereka dalam meningkatkan pembiayaan menggunakan platform ini.

Untuk maklumat lanjut tentang InvestSmart® termasuk butiran acara untuk Bersama InvestSmart®@Johor 2024, sila layari https://investsmartsc.my/ atau akaun media sosial InvestSmart®.

  1. Inisiatif InvestSmart® diperkenalkan pada tahun 2014 untuk memperkasakan pelabur dengan kesedaran dan pengetahuan bagi membantu mereka membuat keputusan pelaburan termaklum.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup