InvestSmart® SC Perkasa Pendidikan Pelabur

Kuala Lumpur, 23 Oktober 2025

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) akan menganjurkan acara tahunannya iaitu InvestSmart® Fest 2025 (ISF 2025), di Kuala Lumpur pada 24-26 Oktober 2025 untuk meningkatkan kesedaran tentang kepentingan pendidikan dan perlindungan pelabur.

ISF kembali tahun ini pada edisi ke-12nya yang bertemakan 'Bijak Labur Hidup Makmur'.

ISF 2025 berlangsung sempena Bulan Celik Kewangan anjuran Rangkaian Pendidikan Kewangan (FEN). Ini berikutan pelancaran Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2026–2030 (NSFL 2026-2030) baru-baru ini oleh YAB Perdana Menteri Dato' Seri Anwar Ibrahim.

NSFL 2026-2030 bertujuan untuk melengkapkan rakyat Malaysia dengan kemahiran mengurus wang dengan bijak, melindungi daripada kejutan kewangan, dan bersedia untuk kestabilan jangka panjang. Ini akan membolehkan orang ramai membuat keputusan kewangan termaklum serta punyai keupayaan untuk mengakses produk dan perkhidmatan kewangan dengan yakin.

ISF 2025 sejajar dengan keutamaan strategik NSFL 2026 – 2030, terutamanya dalam menggalakkan pelaburan untuk mengumpul kekayaan.

Trend Meningkat dalam Aduan Penipuan

Celik kewangan dan perlindungan pelabur kekal sebagai isu yang membimbangkan. Pada tahun 2024, SC menerima sebanyak 3,602 aduan dan pertanyaan awam mengenai aktiviti tidak berlesen dan penipuan (scam), peningkatan 100% daripada tahun 2020.

Bagi enam bulan pertama 2025, SC telah merekodkan 2,039 aduan dan pertanyaan awam mengenai aktiviti tidak berlesen dan penipuan, iaitu meningkat kira-kira 51% berbanding tempoh 2024 yang sama.

Pengerusi SC Dato' Mohammad Faiz Azmi berkata memandangkan penipuan sentiasa berkembang didorong oleh teknologi, rakyat Malaysia mesti melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran untuk terus berwaspada.

"SC dan agensi penguatkuasaan lain sedang memperkukuh keupayaan pengesanan dan penguatkuasaan. Namun pada masa sama, orang ramai juga mesti memainkan peranan aktif dalam memastikan kesahihan pelaburan. Oleh itu, mereka harus mengesahkan peluang pelaburan sebelum membuat komitmen," katanya.

"Inisiatif seperti InvestSmart® Fest meningkatkan kesedaran untuk membantu pelabur mengesan red flag. Ini dilakukan melalui pelbagai sesi interaktif dan ceramah yang menonjolkan taktik penipuan yang lazim," tambahnya.

Pengunjung juga berpeluang mempelajari cara mengesan dan mengenal pasti ciri-ciri penipuan dan cara untuk mengesahkan sama ada peluang pelaburan adalah sah, menggunakan portal Investment Checker yang tersedia di laman web SC.

SC kini merupakan ahli Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NSRC), yang mengumpulkan kebanyakan badan penguatkuasaan dan kawal selia untuk mengukuhkan mekanisme tindak balas penipuan negara. Melalui NSRC, SC memainkan peranan penting dalam menangani penipuan berkaitan pasaran modal.

InvestSmart® Fest 2025 (ISF 2025)

Terbuka kepada orang ramai di Hall 3, Pusat Konvensyen Midvalley (MVEC) di Kuala Lumpur, ISF 2025 akan menampilkan sesi panel, ceramah, pameran interaktif dan lebih 45 pempamer produk dan perkhidmatan pasaran modal.

Pengunjung juga boleh mendaftar untuk mendapatkan perkhidmatan perancangan kewangan percuma di bawah #FinPlan4u dengan lebih 500 sesi disediakan.
Zon anti-scam juga akan menampilkan inisiatif #JanganKenaScam dan NSRC. Zon ini akan berfungsi sebagai titik pusat untuk pengunjung mengetahui tentang taktik penipuan terkini, cara mereka beroperasi dan cara untuk melindungi diri daripada ancaman sedemikian.

Masuk adalah percuma. Acara ini dibuka dari jam 10.00 pagi hingga 9.00 malam sepanjang tiga hari tersebut.

Untuk butiran lanjut, layari www.investsmartsc.my dan ikuti InvestSmart® di semua platform media sosial rasmi.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup