JC3 kekal komited untuk memajukan agenda iklim melalui usaha terselaras dan kolaboratif

Kuala Lumpur, 11 Ogos 2025

  • Makmal Inovasi Kewangan Iklim (Climate Finance Innovation Lab, CFIL) telah menerima sambutan yang baik dan menyediakan platform strategik untuk usaha sama dalam kalangan pelbagai pihak berkepentingan.
  • Menyokong usaha sama untuk melaksanakan Rangka Kerja Pelaporan Kelestarian Kebangsaan (National Sustainability Reporting Framework, NSRF) di seluruh sektor kewangan.
  • Merapatkan jurang data sedia ada bagi menambah baik penilaian risiko dan perancangan peralihan.
  • Meningkatkan daya tahan PKS melalui pembangunan keupayaan khusus sektor berhubung dengan risiko iklim dan model perniagaan rendah karbon.


Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (Joint Committee on Climate Change, JC3) yang dipengerusikan bersama oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (Securities Commission Malaysia, SC) telah mengadakan mesyuaratnya yang ke-15 pada 7 Ogos 2025. Mesyuarat ini mengalu-alukan penyertaan sembilan ahli baharu yang mencerminkan perwakilan yang lebih pelbagai dan inklusif merentas bahagian dalam sektor kewangan.

Pada mesyuarat ini, para ahli JC3 membincangkan kesan perkembangan geopolitik terhadap rantaian bekalan global, khususnya kadar penyahkarbonan yang sedang membentuk semula landskap perubahan iklim. Para ahli menekankan kepentingan untuk mengamalkan pendekatan pragmatik ke arah matlamat sifar bersih, dengan mengambil maklum akan tekanan besar pada rantaian bekalan global serta kekangan yang wujud daripada aspek kesediaan teknologi. Walau bagaimanapun, JC3 mengesahkan bahawa peralihan global ini memberikan peluang pada waktu yang tepat untuk rantau ini memaparkan kepimpinan dalam memajukan kewangan mampan dan mempercepat tindakan iklim. Para ahli JC3 kekal teguh dalam komitmen untuk melaksanakan tindakan iklim dan membina daya tahan iklim jangka panjang.

Para ahli JC3 turut menyedari tentang momentum positif dan kemajuan berterusan dalam semua usaha yang sedang dijalankan. Makmal Inovasi Kewangan Iklim (Climate Finance Innovation Lab, CFIL) yang dilancarkan pada bulan Jun 2025 telah mendapat sambutan yang baik daripada pemilik projek serta pelbagai penyumbang dana yang berpotensi. Projek ini termasuk projek strategik ASEAN seperti ASEAN Power Grid dan 16 projek lain merentas empat bidang tematik iaitu peralihan tenaga, ekonomi kitaran, pertanian lestari serta biodiversiti dan penyelesaian berasaskan alam semula jadi. Para ahli JC3 menzahirkan komitmen mereka untuk menyokong projek-projek di bawah CFIL dan bersedia untuk memberikan pembiayaan, perlindungan kewangan serta kepakaran teknikal.

Penolong Gabenor BNM dan Pengerusi Bersama JC3, Madelena Mohamed berkata, "Kita mesti bertindak sekarang secara tegas dengan mempertingkatkan pembiayaan iklim dan inisiatif mesra alam semula jadi (nature-positive initiatives) di Malaysia. Minat yang tinggi terhadap CFIL daripada pemilik projek serta sektor kewangan adalah menggalakkan, namun penyertaan industri yang lebih meluas dan mendalam adalah sangat penting untuk menggerakkan perubahan yang nyata."

Ahli-ahli JC3 turut membincangkan rancangan untuk menghasilkan Taksonomi Malaysia Mengenai Kewangan Mampan (Taksonomi Malaysia) yang bersepadu. Menerusi JC3, pihak pengawal selia dan industri kewangan akan bekerjasama untuk membangunkan Taksonomi Malaysia bersama-sama pihak berkepentingan dan kementerian yang berkaitan. Taksonomi ini akan dikembangkan daripada pendekatan berasaskan prinsip kepada penggunaan kriteria saringan teknikal berasaskan sains serta nilai ambang kuantitatif bagi meningkatkan ketepatan dan kualiti penilaian. Taksonomi ini juga akan disejajarkan dengan ASEAN Taxonomy.

JC3 turut komited memberikan sokongan pada usaha kolaboratif Jawatankuasa Penasihat Mengenai Pelaporan Kemampanan (Advisory Committee on Sustainability Reporting, ACSR) dalam melaksanakan Rangka Kerja Pelaporan Kelestarian Kebangsaan (National Sustainability Reporting Framework, NSRF) di seluruh sektor kewangan. JC3 juga sedang mengkaji pembangunan dokumen panduan atau kes penggunaan untuk sektor kewangan bagi membimbing peserta industri dalam memenuhi kehendak penzahiran NSRF.

Selaras dengan komitmen berterusan untuk mengatasi cabaran data, JC3 akan menerbitkan Katalog Data JC3 edisi keempat pada bulan November tahun ini. Versi kemas kini ini akan mencerminkan maklum balas daripada pihak berkepentingan mengenai jurang data dan usaha kolaboratif lain yang digerakkan oleh sektor kewangan untuk menangani jurang yang wujud. JC3 juga akan terus menyokong akses yang lebih meluas kepada data awam serta usaha pembinaan keupayaan berkaitan hal-ehwal data iklim.

Pengarah Eksekutif SC dan Pengerusi Bersama JC3, Salmah Bee Mohd Mydin berkata, "Data berkaitan iklim terus menjadi bidang tumpuan penting untuk memastikan penggemblengan modal yang berkesan, khususnya bagi pembiayaan adaptasi. Usaha untuk meningkatkan lagi ketersediaan dan kebolehcapaian data berkaitan iklim turut menyokong kemampuan syarikat untuk membuat penzahiran yang berkesan menerusi Rangka Kerja Pelaporan Kelestarian Kebangsaan (National Sustainability Reporting Framework, NSRF)."

Pada tahun ini, JC3 akan menganjurkan persidangan iklim yang pertama untuk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) pada 17 November di Sasana Kijang. Bertemakan "Membina Daya Tahan Iklim: Tindakan Praktikal untuk PKS", acara ini bertujuan untuk menyokong PKS dalam usaha peralihan iklim mereka. Persidangan ini memberikan tumpuan kepada risiko dan peluang berkaitan iklim untuk membantu PKS memahami amalan hijau dan mampan secara lebih baik. Alat dan penyelesaian yang dirangka khusus untuk PKS juga akan ditawarkan. Para peserta akan meraih manfaat daripada peluang menjalinkan rangkaian. Maklumat lanjut mengenai persidangan ini boleh didapati menerusi laman sesawang JC3 iaitu www.jc3malaysia.com.

Para ahli JC3 juga menegaskan semula sokongan yang berterusan kepada usaha Kerajaan untuk membina ekonomi yang lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim seperti yang digariskan dalam pelbagai dasar negara, termasuk Rancangan Malaysia Ketiga Belas yang disiarkan baru-baru ini.

Bank Negara Malaysia
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup