Pulau Pinang, 2 September 2025
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini memulakan kempen jangkauan untuk mempromosikan Dana Pelaburan Bersama Strategik Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP CoSIF), bermula dengan jerayawara sulungnya di Pulau Pinang.
Kempen tersebut bertujuan untuk NIMP CoSIF menjadi pemangkin pertumbuhan berpotensi bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat peringkat pertengahan (MTC) yang berpangkalan di negeri itu, khususnya yang berada di barisan hadapan dalam inovasi pembuatan.
Dilancarkan pada Februari 2025 oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan SC, NIMP CoSIF ialah skim pelaburan bersama awam-swasta. Ia membolehkan Kerajaan melabur bersama dengan pelabur swasta dalam perniagaan merentasi 21 sektor sasaran yang dikenal pasti di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP).
Dengan peruntukan awal sebanyak RM131.5 juta, NIMP CoSIF dirangka sebagai instrumen pembiayaan gabungan yang memanfaatkan dua jenis pilihan pembiayaan pasaran modal, iaitu pembiayaan ekuiti orang ramai (ECF) dan pembiayaan antara rakan setara (P2P).
Jerayawara Penang NIMP CoSIF, yang dihadiri PKS, MTC dan pembina ekosistem, menampilkan sesi bermaklumat mengenai pilihan pembiayaan pasaran modal untuk perniagaan yang lebih kecil.
Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi menekankan bahawa NIMP CoSIF sejajar dengan objektif utama Pelan Hala Tuju 5 Tahun SC1 untuk memudahkan akses PMKS dan MTC kepada pembiayaan berasaskan pasaran.
"Ia mencontohi pendekatan whole of nation (pendekatan seluruh negara) — menyokong matlamat perindustrian Malaysia dan mengiktiraf peranan penting PKS dan MTC sebagai enjin pertumbuhan ekonomi mampan. Dengan memanfaatkan keluasan dan inovasi pasaran modal, NIMP CoSIF menangani keperluan pembiayaan melalui penggemblengan modal pertumbuhan strategik," katanya.
Dato' Faiz menambah, "Dengan mengurangkan risiko pembiayaan dan menyediakan modal melalui platform ekuiti orang ramai dan pembiayaan antara rakan setara, CoSIF mempercepatkan akses kepada modal pertumbuhan untuk syarikat-syarikat ini. Ia juga menyokong sektor strategik yang digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.''
Lebih banyak program jangkauan seluruh negara sedang dalam perancangan untuk meningkatkan kesedaran pembiayaan NIMP CoSIF dalam kalangan syarikat Malaysia yang beroperasi dalam perkhidmatan berkaitan pembuatan dan pembuatan. Jerayawara akan datang akan diadakan di Kuala Lumpur dan Johor menjelang akhir 2025.
Untuk maklumat lanjut tentang CoSIF, lawati https://www.capitalmarketsmalaysia.com/nimp-cosif/.