Kad Skor SC: Aktiviti penjanaan dana yang cergas dalam Q2 2012
2 Ogos 2012   |   Kuala Lumpur
Aktiviti penjanaan dana dalam Q2 2012 terus cergas dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menerima sejumlah 56 permohonan bagi cadangan berkaitan ekuiti dan terbitan sekuriti hutang swasta (PDS) dalam Q2, iaitu tiga kali ganda daripada permohonan yang diterima dalam Q1 2012.

Sejumlah 42 atau 75% adalah bagi permohonan PDS, manakala 14 atau 25% adalah untuk permohonan berkaitan ekuiti. Enam permohonan IPO bagi Pasaran Utama telah diterima berbanding dua permohonan dalam Q1 2012. Dua IPO telah diluluskan dalam suku tahun ini iaitu Felda Global Ventures Holdings Bhd dan IHH Healthcare Bhd.

Pasaran hutang di Malaysia kekal cergas dengan bilangan permohonan PDS yang diluluskan dalam Q2 2012 meningkat kepada 24 berbanding 16 in Q1 2012. Jumlah dana diluluskan yang akan dijana daripada terbitan PDS denominasi ringgit turut meningkat sebanyak 4.9% kepada RM23.01 bilion dalam Q2 2012 berbanding RM21.94 bilion dalam Q1 2012.

Pada penghujung bulan Jun 2012, jumlah bon belum lunas adalah sebanyak RM941 bilion, menggambarkan pertumbuhan berterusan pasaran bon Malaysia. Ini termasuklah jumlah sukuk belum lunas sebanyak AS$165.2 bilion, yang merupakan dua pertiga daripada jumlah sukuk belum lunas global sebanyak AS$243.4 bilion.

Pada 2011, terbitan bon korporat di pasaran modal Malaysia adalah berjumlah RM70 bilion. Setakat separuh tahun pertama 2012, jumlah terbitan bon korporat mencapai RM66 bilion, termasuk terbitan PLUS Berhad pada awal tahun ini sebanyak RM30 bilion sukuk – iaitu sukuk korporat tunggal terbesar di dunia. Berdasarkan trend ini, SC menjangka dapat menyaksikan terbitan bon yang menjadi rekod selama dua tahun berturut-turut dan ini merupakan petanda baik bagi pasaran bon Malaysia.

Statistik pasaran modal yang dikeluarkan oleh SC meliputi maklumat mengenai pemprosesan, kelulusan dan penolakan pengemukaan, serta alasan penolakan. Selain petunjuk kad skor tersebut, statistik pengemukaan suku tahunan yang diluluskan oleh SC bagi suku tahun kedua 2012 turut dilaporkan.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup