Kelonggaran Lanjut bagi Penyenaraian, Penjanaan Dana dan Penstrukturan Semula

Kuala Lumpur, 3 September 2001

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengumumkan kelonggaran seterusnya dalam "Polisi dan Garis Panduan Terbitan/Tawaran Sekuriti" (Garis Panduan Terbitan) bagi memudahcarakan penyenaraian, penjanaan dana dan penstrukturan semula oleh syarikat-syarikat di Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL). Kelonggaran ini yang berkuat kuasa serta merta, melengkapi kelonggaran yang telah diumumkan pada 10 Mei 2001.

Rasional

SC memperakui bahawa syarikat-syarikat yang ingin membuat penyenaraian melalui tawaran awam permulaan (IPO), melaksanakan proses penjanaan dana dan penstrukturan semula bagi separuh pertama tahun ini, menghadapi kesukaran memandangkan keadaan pasaran modal.

Oleh itu, SC memutuskan untuk mempercepatkan proses liberalisasi aspek tertentu garis panduannya sejajar dengan usahanya untuk beralih kepada sistem pengawalseliaan berteraskan penzahiran dalam mengawal selia terbitan, tawaran dan penyenaraian sekuriti. Kelonggaran ini akan membolehkan syarikat-syarikat yang mendapatkan pembiayaan dana daripada BSKL mempunyai pilihan yang lebih dalam menyediakan cadangan korporat mereka dan bertindak balas secara berkesan terhadap keadaan pasaran yang berubah-ubah.

SC telah berunding dengan Persatuan Bank Saudagar di Malaysia dalam merumus kelonggaran itu, dan mengukur rujuknya terhadap amalan di bidang kuasa lain, seperti di Hong Kong, Singapura, Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia.

Kelonggaran tersebut adalah sebahagian daripada langkah untuk menjadikan pasaran modal Malaysia sebagai pusat penjanaan dana utama bagi syarikat-syarikat di Malaysia dengan mempertingkatkan kecekapan proses penjanaan dana, sebagaimana yang dinyatakan dalam Pelan Induk Pasaran Modal.

Kelonggaran bagi IPO

Bagi IPO, SC telah meminda keperluan bagi tawaran awam, penempatan, penanggungjaminan, tebaran pegangan saham, pengekalan rizab dan had ke atas struktur modal. Pindaan ini membolehkan syarikat-syarikat memperbaiki IPO mereka bagi memenuhi keperluan tertentu mereka. Keperluan mengenai pemindahan syarikat-syarikat dari Papan Kedua ke Papan Utama BSKL juga telah disemak semula dan dipinda.

Bagi menggalakkan penggabungan dan penyenaraian broker universal, pindaan kepada garis panduan IPO yang berkaitan dengan penggunaan akaun proforma telah diperkenalkan. Kelonggaran lanjut kepada keperluan bagi penyenaraian oleh broker universal, di mana perlu, akan dipertimbangkan oleh SC.

Kelonggaran bagi penjanaan dana dan penstrukturan semula

Berkenaan dengan penjanan dana dan penstrukturan semula oleh syarikat tersenarai, SC sekarang memberikan kelonggaran yang sebelum ini diberikan hanya kepada "kes-kes menyelamat" (seperti yang ditakrifkan dalam Garis Panduan Terbitan), seperti keperluan keuntungan masa lalu yang kurang ketat bagi aset yang hendak disuntik, kepada semua syarikat tersenarai yang bermasalah.

SC juga telah mengurangkan keperluan kedudukan aset ketara bersih (NTA) selepas penstrukturan semula bagi syarikat tersenarai bermasalah daripada keperluan sekurang-kurangnya 50% nilai tara saham biasa sebelum ini kepada 33%. Dengan itu, aset yang berdaya maju yang lebih banyak boleh disuntik ke dalam syarikat tersenarai bermasalah sebagai sebahagian daripada skim penstrukturan semula mereka.

Sebagai tambahan, semua syarikat tersenarai bermasalah (dan bukan sahaja yang di bawah skop Danaharta Nasional Bhd dan Jawatankuasa Penstrukturan Semula Hutang Korporat) dibenarkan untuk menerbitkan sekuriti boleh tukar dengan nilai nominal bawah RM1.00, tertakluk kepada syarat-syarat tertentu.

Dengan kelonggaran ini, SC berharap untuk menyaksikan proses penstrukturan semula yang lebih cepat oleh syarikat tersenarai bermasalah dalam menetapkan kedudukan kewangan mereka.

Tambahan lagi, kelonggaran diberikan kepada keperluan bagi penempatan tertutup sekuriti serta keperluan penajajaminan bagi terbitan hak, tanpa mengira sama ada oleh syarikat tersenarai bermasalah atau tidak.

Klik di sini untuk Ringkasan perubahan dan pindaan terkini kepada Garis Panduan Terbitan. Butir-butir lanjut garis panduan boleh didapati bawah tajuk-tajuk berikut:

  • Amendments to the Requirements on Initial Public Offerings of Securities on Kuala Lumpur Stock Exchange (pdf);
  • Flexibilities for Distressed Listed Companies (pdf);
  • Guidelines on Private Placement (pdf); dan
  • Guidelines on Underwriting (pdf).

Kesemua kelonggaran yang diperkenalkan adalah terpakai kepada cadangan baru yang dikemukakan kepada SC. Cadangan yang sedia ada bersama SC dan yang telah diluluskan tetapi belum dilaksanakan juga diberikan kelonggaran ini, atas permintaan dan pengemukaan semula oleh syarikat-syarikat.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup