Setakat 31 Disember 2017, 19.2% keanggotaan lembaga pengarah 100 syarikat teratas yang tersenarai di Bursa Malaysia (100 syarikat teratas) terdiri daripada kaum wanita; meningkat daripada 16.6% pada 31 Disember 2016.
Ketika pelancaran MCCG pada April tahun lalu, SC juga menetapkan sasaran tiada lembaga pengarah yang dianggotai semuanya oleh kaum lelaki dalam 100 syarikat teratas menjelang penghujung 2018. Setakat 17 Januari 2018, hanya tujuh syarikat yang semua lembaga pengarahnya terdiri daripada kaum lelaki , penambahbaikan sebanyak 65% daripada 20 syarikat setakat 31 Disember 2016.
Ketujuh syarikat tersebut ialah Affin Holdings Bhd, Alliance Bank Bhd, Batu Kawan Bhd, Fraser & Neave Holdings Bhd, Genting Plantations Bhd, Genting Malaysia Bhd, dan UOA Development Bhd. SC dan 30% Club Malaysia telah mengadakan pembabitan secara aktif bersama syarikat-syarikat ini. SC difahamkan bahawa sesetengah syarikat ini sedang mengambil langkah-langkah untuk mengenal pasti calon yang sesuai dalam memastikan penyertaan kaum wanita dalam lembaga pengarah mereka. Fraser & Neave akan menamakan dua calon wanita untuk dilantik sebagai ahli lembaga pengarah dalam mesyuarat agung tahunan mereka yang akan datang.
Melangkah ke hadapan, SC akan menyemak dan menganalisis penzahiran tadbir urus korporat untuk memantau tahap pelaksanaan amalan CG termasuk kepelbagaian gender. Pemerhatian ini akan disiarkan oleh SC melalui laporan berkala tematik tadbir urus korporat.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA