Kenyataan Bersama oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3) ke-14

Kuala Lumpur, 27 Januari 2025

Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (Joint Committee on Climate Change, JC3) ke-14 telah diadakan pada 22 Januari 2025 bagi menyemak perkembangan usaha yang sedang dijalankan dan membincangkan keutamaan dan pelan tindakannya untuk tahun 2025.

Ahli-ahli JC3 mengiktiraf kemajuan berterusan yang dicapai oleh institusi kewangan untuk membina keupayaan mereka dalam mengurus risiko iklim sambil menyokong proses peralihan pelanggan mereka. Hal ini terbukti terutamanya dalam menetapkan sasaran iklim, menyepadukan pertimbangan iklim dalam proses pemberian pinjaman dan pemantauan melalui penerapan rangka kerja Perubahan Iklim dan Taksonomi Berasaskan Prinsip (Climate Change and Principle-Based Taxonomy, CCPT) serta meningkatkan perhatian terhadap kemampanan dalam perbincangan pada peringkat lembaga pengarah.

Sokongan untuk kewangan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (environmental, social and governance, ESG) juga berkembang, dengan lebih banyak penyelesaian kewangan iklim ditawarkan seperti pembiayaan rantaian bekalan mampan, pembiayaan perbelanjaan modal hijau untuk PKS, program pembiayaan teknologi eksport hijau dan penyelesaian perlindungan tenaga boleh diperbaharui ASEAN. Begitu juga dalam pasaran modal, sebanyak 38 terbitan berjumlah RM13.3 bilion telah diperoleh di bawah Rangka Kerja Sukuk Pelaburan yang Mampan dan Bertanggungjawab (Sustainable and Responsible Investments, SRI) dan/atau Piawaian ASEAN pada tahun 2024 melalui penglibatan kolektif dengan Syarikat Berkaitan Kerajaan (Government-Linked Companies, GLC), Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (Goverment-Linked Investment Companies, GLIC) dan syarikat korporat di bawah Pelan Tindakan Kewangan Mampan.

Pada tahun 2025, JC3 akan terus memberikan tumpuan pada usaha membina daya tahan iklim sektor kewangan dalam tiga bidang utama iaitu menangani cabaran data, memudahkan peralihan PKS dan merangka penyelesaian kewangan iklim. Tumpuan akan diberikan pada sektor yang sejajar dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap, NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (New Industrial Masterplan, NIMP).

Ahli jawatankuasa juga membincangkan perkembangan rancangan penubuhan Makmal Inovasi Kewangan Iklim (Climate Finance Innovation Lab, CFIL) yang diterajui oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) yang bertujuan untuk mempercepat pembangunan penyelesaian kewangan iklim yang inovatif untuk melengkapkan dan meningkatkan aliran kewangan ke arah peralihan dan aktiviti hijau. Langkah ini termasuk penyelesaian kewangan campuran yang memanfaatkan perkongsian swasta-awam. CFIL dijangka mula beroperasi pada separuh pertama tahun 2025.

JC3 akan menggiatkan lagi usaha untuk menyokong PKS dalam membina daya tahan iklim dengan menyediakan penyelesaian khusus PKS dengan kos yang berpatutan, berwibawa dan praktikal. Usaha ini termasuk memperkukuh kerjasama antara institusi perbankan dengan rakan-rakan strategik menerusi Program Menghijaukan Rantaian Nilai bagi memberi PKS penyelesaian penzahiran yang berpatutan kosnya untuk membolehkan PKS memenuhi permintaan berhubung dengan penzahiran pelepasan gas rumah hijau (greenhouse gases, GHG) mereka.

Selain itu, JC3 akan bekerjasama dengan penyedia pensijilan untuk menyokong laluan pensijilan PKS yang lebih mudah. Portal JC3 ESG Jumpstart juga akan dipertingkatkan dengan ciri-ciri tambahan bagi mewujudkan komuniti PKS, pakar teknikal dan penyedia penyelesaian yang mantap.

Pada bulan Julai 2025, JC3 akan menganjurkan persidangan berfokuskan PKS yang akan menghimpunkan PKS, penyedia penyelesaian, pembuat dasar dan peneraju syarikat korporat mampan untuk membincangkan tentang pelbagai isu dan peluang yang berkaitan dengan pertumbuhan mampan dan pembangunan PKS.

Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia dan Pengerusi Bersama JC3 Datuk Jessica Chew berkata, “Malaysia sudah pun mengalami kesan fizikal daripada pelbagai kejadian berkaitan iklim. Memandangkan risiko perubahan iklim yang semakin meningkat, kami kekal fokus pada memperkukuh daya tahan sektor kewangan, perniagaan dan isi rumah. Sambil terus membangunkan asas yang telah dimulakan sejak JC3 ditubuhkan, kami berhasrat untuk menggunakan pendekatan yang lebih bersasar supaya JC3 dapat mempercepat pembangunan kewangan iklim.”

Selain itu, ahli-ahli JC3 juga membincangkan tentang Buku Panduan Permohonan Terbitan Sukuk Berkaitan SRI dan Bon Berkaitan Kemampanan untuk Pasaran Modal Malaysia.

Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Pengerusi Bersama JC3, Salmah Bee Mohd Mydin berkata, “Buku Panduan yang dibangunkan dengan sokongan RAM Sustainability ini bertujuan untuk memberikan panduan jelas dan langkah-langkah yang praktikal kepada penerbit, bank pelaburan dan pihak berkepentingan mengenai pengeluaran instrumen pendapatan tetap berkaitan kemampanan, sekali gus memupuk pertumbuhan segmen ini di Malaysia.”

Bagi memastikan Buku Panduan ini relevan dan lengkap, kandungannya menyertakan kajian kes dan maklum balas daripada pihak berkepentingan utama, termasuk SC3 JC3, Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia (Malaysian Investment Banking Association, MIBA), dan International Capital Market Association (ICMA).

Kemampanan merupakan salah satu tema utama Kepengerusian ASEAN Malaysia pada tahun 2025. JC3 akan menyokong Kerajaan dalam usaha melaksanakan pelbagai teras strategik yang sejajar dengan objektifnya untuk membina daya tahan iklim dalam sektor kewangan Malaysia.

Bank Negara Malaysia
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup