Kuala Lumpur, 6 Februari 2026
Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (Joint Committee on Climate Change, JC3) telah mengadakan mesyuaratnya yang ke-16 pada 29 Januari 2026 bagi menilai kemajuan pelaksanaan inisiatif yang sedang dilaksanakan serta menetapkan keutamaan strategik untuk tahun 2026. Pada mesyuarat ini juga, JC3 turut menegaskan keperluan untuk mempercepat tindakan iklim dalam ekonomi benar melalui penggerakan pembiayaan bagi projek berimpak tinggi yang menyokong kelestarian iklim dan alam semula jadi.
JC3 mengambil maklum kejayaan pelaksanaan pelbagai inisiatif sepanjang tahun 2025, termasuk yang dilaksanakan sempena Kepengerusian ASEAN Malaysia. Berteraskan momentum ini, JC3 akan terus menumpukan usaha memperkukuh ekosistem kewangan iklim dan kewangan mampan. Antara inisiatif utama ialah pembangunan Taksonomi Malaysia sebagai rangka kerja klasifikasi nasional yang konsisten dan menyeluruh bagi kewangan mampan serta akan selaras dengan ASEAN Taxonomy. Panggilan Maklum Balas berhubung reka bentuk dan skop Taksonomi Malaysia akan diterbitkan pada hujung bulan Februari bagi mendapatkan pandangan berkaitan aspek penerapan dan pelaksanaannya.
Para ahli JC3 membincangkan kemajuan Makmal Inovasi Kewangan Iklim (Climate Finance Innovation Lab, CFIL) yang ditubuhkan di bawah JC3. Sehingga bulan Januari 2026, sebanyak 30 projek telah menyertai CFIL dengan keperluan pembiayaan melebihi RM4 bilion. Sejak penubuhannya, CFIL telah melancarkan beberapa inisiatif, termasuk Program Penggalak dan Makmal Penyelesaian Modal. Pada masa hadapan, CFIL akan menumpukan pada aspek penyelesaian termasuk kesediaan projek dan sokongan daya maju, serta memperkukuh kerjasama antara sektor awam, swasta dan kedermawanan (philanthropic).
Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia dan Pengerusi Bersama JC3, Madelena Mohamed berkata, “CFIL menekankan kepentingan kerjasama pelbagai penyedia modal dalam merangka struktur pembiayaan inovatif bagi projek iklim yang baharu dan berisiko lebih tinggi, yang mungkin belum memenuhi kriteria risiko dan pulangan pembiayaan tradisional. Tanpa pendekatan kolaboratif antara sektor swasta, awam dan kedermawanan, projek yang penting untuk mencapai matlamat kelestarian negara akan terus kekurangan pembiayaan. Usaha merapatkan jurang ini juga memerlukan pendekatan jangka panjang terhadap risiko dan pulangan.”
Ketua Pegawai Kemampanan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Pengerusi Bersama JC3, Neetasha Rauf berkata, “Menggalakkan peluang pembiayaan yang berdaya maju bagi adaptasi iklim serta memperkukuh daya tahan terhadap risiko iklim kekal sebagai keutamaan JC3. Taksonomi Malaysia yang berteraskan sains dan selaras dengan ASEAN Taxonomy, akan menjadi panduan penting dalam menyalurkan modal ke arah aktiviti yang mempercepat peralihan ekonomi benar ke arah amalan yang lebih lestari. Pihak industri juga boleh merujuk Panduan mARs ACMF1 bagi memudahkan pengenalpastian aktiviti dan pelaburan bagi teknologi adaptasi iklim, seterusnya meningkatkan kebolehbiayaan projek di bawah CFIL.”
Pembangunan Rangka Kerja Pelaporan Kelestarian Kebangsaan (National Sustainability Reporting Framework, NSRF) untuk Panduan Institusi Kewangan telah dimulakan. Panduan ini bertujuan untuk memudahkan penerapan NSRF selaras dengan keperluan Lembaga Piawaian Kelestarian Antarabangsa International Sustainability Standard Board (ISSB)2. Inisiatif ini dibina berdasarkan Laporan Kemampanan Ilustrasi untuk sektor perladangan dan pembinaan yang dikeluarkan tahun lepas oleh Jawatankuasa Penasihat Pelaporan Kemampanan (Advisory Committee on Sustainability Reporting, ACSR), yang menyediakan rujukan ilustrasi kepada syarikat apabila melaksanakan keperluan Piawaian Pelaporan Kewangan Antarabangsa (International Financial Reporting Standards, IFRS) S13 dan IFRS S24 dalam pendedahan kemampanan mereka.
Ahli mesyuarat turut membincangkan keutamaan strategik baharu bagi memperkukuh daya tahan sektor kewangan terhadap risiko iklim. Antara perkara yang diteroka termasuk mekanisme perkongsian risiko bagi projek peralihan dan adaptasi iklim, pengenalpastian pendekatan dasar untuk menyokong kewangan iklim, serta pembangunan penyelesaian kewangan bagi menyokong projek kredit karbon. Ahli terus menekankan kepentingan mengintegrasikan risiko kewangan berkaitan alam semula jadi ke dalam peraturan sedia ada dan inisiatif baharu, selain meningkatkan akses kepada data berkaitan iklim dan alam semula jadi.
Sebagai tanda komitmen berterusan dalam menyokong agenda iklim negara, JC3 akan menganjurkan Persidangan Serantau Dwitahunan Journey to Zero (JC3 J20) pada 28 dan 29 September 2026 di Sasana Kijang. Persidangan ini akan memberi tumpuan kepada langkah-langkah berani dan konkrit untuk mempercepat tindakan dalam kewangan iklim dan alam semula jadi. JC3 J20 juga akan menjadi platform untuk perkongsian pengetahuan dan kerjasama merentas sektor. Maklumat lanjut mengenai JC3 J20 akan diumumkan kelak.