Kenyataan Bersama oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Perkembangan daripada Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3) ke-17

Kuala Lumpur, 13 Ogos 2026

Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (Joint Committee on Climate Change, JC3) telah mengadakan mesyuarat ke-17 pada 6 Ogos 2026. Mesyuarat tersebut menegaskan sekali lagi keperluan untuk mempercepat peralihan daripada komitmen untuk melaksanakan penyelesaian praktikal kepada pelaksanaan penyelesaian tersebut. Bidang keutamaan termasuk menyokong peralihan tenaga, memperkukuh daya tahan terhadap risiko iklim khususnya banjir serta memperteguh mekanisme bagi mengukur dan melaporkan hasil inisiatif.

Bagi menyokong pelaksanaan Rangka Kerja Pelaporan Kemampanan Kebangsaan (National Sustainability Reporting Framework, NSRF), JC3 telah menerbitkan NSRF Guidance Documents for Banks and Insurers and Takaful Operators (Dokumen Panduan)1. Dokumen Panduan ini bertujuan menjadikan penzahiran berkaitan kelestarian lebih kukuh, konsisten, boleh dibandingkan dan bermakna. Menerusi penyelesaian yang praktikal, Dokumen Panduan ini turut menangani cabaran lazim dalam pelaksanaan pelaporan kelestarian, termasuk penilaian risiko dan peluang, penzahiran strategi serta penggunaan metrik dan sasaran. Program pembangunan keupayaan secara praktikal akan bermula pada bulan Oktober 2026 bagi menyokong pelaksanaannya.

Neetasha Rauf, Ketua Pegawai Kemampanan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Pengerusi Bersama JC3 berkata, ”Dokumen Panduan NSRF ini akan membantu institusi kewangan, syarikat insurans dan pengendali takaful menangani cabaran pelaporan serta menyokong peralihan mereka ke arah penzahiran kelestarian yang berkualiti tinggi dan berguna apabila membuat keputusan. Dokumen Panduan ini turut melengkapi usaha Jawatankuasa Penasihat Pelaporan Kemampanan (Advisory Committee on Sustainability Reporting, ACSR) dalam menyediakan sokongan pelaksanaan dan pembinaan keupayaan kepada entiti dalam skop.”

Mesyuarat turut mengambil maklum perkembangan selanjutnya di bawah Makmal Inovasi Kewangan Iklim (Climate Finance Innovation Lab, CFIL), yang terus menghubungkan projek berkaitan iklim dan alam semula jadi dengan peluang pembiayaan. Di bawah kohort kedua, sebanyak 22 projek yang ingin mendapatkan pembiayaan sebanyak RM1.73 bilion akan mengikuti program pencepat berstruktur dengan kerjasama United Nations Global Compact Network Malaysia, Brunei and Cambodia (UNGCMBC). Segmen ini akan memberikan sokongan dalam pemantapan model perniagaan, penilaian impak dan kemudahan pembiayaan. Institusi pembiayaan yang berminat digalakkan untuk bekerjasama dengan CFIL bagi membantu memperluas penyelesaian berkaitan iklim dan alam semula jadi yang memberikan impak.2
 
Ahli mesyuarat JC3 turut bersetuju untuk menerima pakai sepenuhnya ASEAN Taxonomy for Sustainable Finance sebagai asas kepada Taksonomi Malaysia. Langkah ini menandakan perkembangan penting ke arah meningkatkan saling boleh kendali, konsistensi dan kebolehbandingan amalan kewangan mampan pada peringkat rantau. Pendekatan ini turut mengurangkan beban operasi perniagaan, khususnya perniagaan yang terlibat dalam perdagangan rentas sempadan. JC3 akan membangunkan panduan dan alat praktikal yang bersesuaian dengan pelaksanaan pada peringkat tempatan. Fasa rintis bersama ahli terpilih akan dilaksanakan sebelum pelaksanaan penuh bagi tujuan pelaporan pada tahun 2028. Fasa rintis ini bertujuan untuk mengenal pasti cabaran pelaksanaan dan memaklumkan penambahbaikan lanjut, jika perlu.
 
Madelena Mohamed, Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia dan Pengerusi Bersama JC3 berkata, "Sesebuah taksonomi hanya berkesan sekiranya dapat diterima pakai secara konsisten dan mendorong keyakinan. Seiring dengan usaha untuk menerima pakai ASEAN Taxonomy sebagai asas kepada Taksonomi Malaysia, JC3 akan memberikan tumpuan pada pembangunan panduan dan alat pelaksanaan yang praktikal bagi menyokong penggunaannya. Fasa rintis akan membantu mengenal pasti cabaran operasi lebih awal serta memastikan rangka kerja tersebut kekal sesuai untuk tujuan pelaksanaannya dan memenuhi keperluan pasaran Malaysia."

Bagi menyokong pelaksanaan Taksonomi Malaysia dan pertumbuhan kewangan mampan, JC3 akan mengkaji pembangunan platform data berpusat berkaitan iklim dan alam semula jadi. Akses yang lebih baik kepada data yang boleh dipercayai akan membantu institusi kewangan, perniagaan dan pelabur menilai risiko serta peluang, memenuhi keperluan pelaporan dan menyalurkan modal kepada aktiviti mampan dan aktiviti peralihan.

Persidangan JC3 Journey to Zero (JC3 J20) iaitu acara utama anjuran JC3 akan berlangsung pada 28 dan 29 September 2026 di Sasana Kijang. Persidangan ini akan menghimpunkan pembuat dasar, institusi kewangan, pelabur dan pihak berkepentingan lain untuk memajukan penyelesaian praktikal bagi memperluas kewangan peralihan dan penyesuaian, berkongsi pengalaman dan cabaran pelaksanaan serta mengkaji penyelesaian untuk mencapai hasil yang boleh diukur.

  1. Dokumen Panduan boleh diakses melalui: Guidelines & Toolkits | JC3 Malaysia dan www.sc.com.my/nsrf
  2. Institusi pembiayaan yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai CFIL melalui: Apply as funder | JC3 Malaysia

Bank Negara Malaysia
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup