Kenyataan Media Pelaksanaan Perintah Penetapan Aset Digital
17 Januari 2019   |   Kuala Lumpur
Sejak permulaan berkuatkuasanya Perintah Pasaran Modal dan Perkhidmatan (Penetapan Sekuriti) (Mata Wang Digital dan Token Digital) 2019 pada 15 Januari 2019, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah menerima banyak pertanyaan mengenai pelaksanaan Perintah tersebut.

Dalam hal ini, SC telah menjemput dan bertemu dengan pengendali platform aset digital yang sedia ada. SC telah membuat aturan untuk membolehkan operasi platform-platform ini untuk tempoh peralihan sehingga 1 Mac 2019, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan oleh SC. Dalam tempoh ini, pengendali platform ini tidak dibenarkan menerima pelabur baru dan hanya dibenarkan untuk membuat pengeluaran atau pemindahan aset klien dengan arahan tertulis pelabur.

Pengendali platform sedia ada yang gagal atau tidak menghadiri pertemuan dengan SC pada 17 Januari 2019, dinasihatkan untuk menghubungi SC dengan serta-merta sebelum 25 Januari 2019, dan jika gagal berbuat demikian, mereka akan dianggap beroperasi sebagai pasaran yang melanggar undang-undang sekuriti.

Sebaik sahaja garis panduan yang berkenaan telah dilancarkan, pengendali platform sedia ada perlu memohon kepada SC untuk kebenaran jika mereka berniat untuk beroperasi selepas tempoh peralihan tersebut. Pengendali prospektif juga boleh memohon kepada SC untuk kebenaran sebaik sahaja garis panduan dikeluarkan. SC akan menilai semua permohanan dan hanya akan membenarkan kepada pengendali pasaran yang memenuhi keperluan-keperluan yang berkaitan.

Berhubung dengan tawaran syiling permulaan (ICO), tiada sesiapa pun dibenarkan menjalankan sesuatu ICO tanpa kebenaran SC terlebih dahulu. Dalam hal ini, garis panduan untuk ICO akan dikeluarkan pada akhir suku pertama 2019. Sementara itu, ICO yang sedang berterusan harus dihentikan semua aktivitinya serta mengembalikan semua wang atau aset digital yang telah diterima dari pelabur.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi [email protected]

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup