Keputusan Syariah Terkini untuk Menggalakkan lagi Pembangunan Produk Pasaran Modal Islam (ICM) dan Memperkukuh Kedudukan Malaysia sebagai Hab Global ICM

Buku Terbaru Keputusan Syariah dilancarkan pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-10 MPS

Kuala Lumpur, 11 September 2006

Penerbitan buku terbaru Keputusan Majlis Penasihat Syariah (MPS) Suruhanjaya Sekuriti (SC) dijangka memberikan dorongan kepada pembangunan produk dan perkhidmatan ICM dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab global ICM. Demikian menurut Menteri Kewangan Kedua, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop hari ini pada pelancaran edisi kemas kini buku keputusan MPS SC, yang diadakan pada majlis makan malam sempena Ulang tahun Ke-10 MPS SC di Kuala Lumpur.

"Buku ini akan menjadi rujukan utama bagi peserta pasaran, penasihat Syariah dan ahli akademik yang mencari penyelesaian dalam isu-isu berkaitan Syariah dalam pasaran modal Islam di Malaysia dan pada peringkat antarabangsa," kata Tan Sri Nor Mohamed. Majlis makan Malam Ke-10 MPS SC itu dihadiri oleh tokoh-tokoh Syariah dan peserta ICM.

Berjudul 'Keputusan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti', buku ini merupakan edisi kedua himpunan semua keputusan MPS SC mengenai isu-isu Syariah yang berkaitan dengan pasaran modal sejak majlis itu ditubuhkan pada tahun 1996.

Edisi terbaru ini diterbitkan dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu, dan, sebagaimana edisi sebelumnya, buku ini dijangkakan menjadi rujukan penting bagi peserta pasaran domestik dan antarabangsa serta para pelabur mengenai guna pakai prinsip-prinsip Syariah bagi ICM.

MPS SC merupakan badan penasihat pertama seumpamanya yang ditubuhkan pada peringkat pengawalseliaan dan mewujudkan duluan dan pencapaian yang penting dalam pembangunan dan pertumbuhan besar Malaysia sebagai hab global ICM. Tan Sri Nor Mohamed adalah merupakan antara ahli bagi MPS yang pertama.

"Peranan pakar Syariah amat penting memandangkan mereka adalah komponen utama bagi memastikan produk-produk ICM yang dilabelkan sebagai mematuhi Syariah benar-benar menggambarkan rangka kerja Syariah," kata Tan Sri Nor Mohamed.

Pada dekad yang lalu, SC telah memanfaatkan pengalaman luas ahli-ahli MPS dalam pengaplikasian prinsip-prinsip Syariah, terutama dalam bidang ekonomi dan kewangan Islam serta semua isu yang berkaitan dengan ICM.

Sumbangan serta inisiatif berharga SAC dalam persekitaran pembangunan ICM boleh dilihat melalui peningkatan berterusan bilangan dana unit amanah berasaskan Syariah, penerbitan struktur bon Islam berinovatif menggunakan prinsip-prinsip dasar Syariah, dan penetapan ukur rujuk global dalam memperkenalkan produk baru ICM seperti Dana Pelaburan Harta Tanah (REIT) Islam.

Buku Keputusan MPS boleh didapati di kedai Pusat Perkembangan Industri Sekuriti (SIDC). Versi dalam talian juga boleh diperoleh di www.sc.com.my.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup