Khazanah Terajui Perintis Sukuk yang Ditokenkan Pertama di Malaysia dengan Kerjasama SC

Kerjasama ini menjadi asas ke arah pasaran modal negara yang lebih cekap, telus dan berdaya saing

Kuala Lumpur, 28 April 2026

Khazanah Nasional Berhad (“Khazanah”), dengan kerjasama Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (“SC”), telah berjaya melaksanakan penetapan harga bagi sukuk yang ditokenkan pertama di Malaysia dengan nilai nominal RM100 juta, sekali gus menjadi langkah penting ke arah penggunaan teknologi digital dalam menyokong pembangunan pasaran modal Malaysia.

Sukuk atau bon yang ditokenkan merujuk kepada produk pasaran modal yang diwujudkan dalam bentuk digital dengan menggunakan Teknologi Lejar Teragih ("Distributed Ledger Technology / DLT"). Melalui tokenisasi, produk pasaran modal akan mempunyai rekod digital atau “kembar digital” tersendiri yang dilindungi secara kriptografi dan bersifat tidak boleh diubah suai.

Dato’ Amirul Feisal Wan Zahir, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad berkata, “Sebagai dana kekayaan berdaulat negara, peranan Khazanah bukan sekadar menjana pulangan, tetapi juga menyokong pembangunan pasaran modal domestik. Sukuk yang ditokenkan ini, dengan hasil kerjasama SC, mencerminkan peranan tersebut melalui usaha praktikal dalam meneroka keupayaan teknologi digital untuk menambah baik penerbitan dan pengurusan instrumen pasaran modal.”

“Dengan kedudukan Khazanah dalam pasaran serta kepimpinan pengawalseliaan oleh SC, kami berjaya menguji pelaksanaan ini secara terkawal dan berhemah. Inisiatif yang kami lakukan ini bukan sekadar untuk memperkenalkan produk baru sematamata, tetapi juga untuk membina asas ke arah pasaran modal yang lebih cekap dan telus dalam jangka masa panjang.”

“Khazanah kekal komited untuk memajukan pasaran modal Malaysia secara bermatlamat, beretika dan bertanggungjawab. Pelaksanaan perintis ini merupakan langkah penting dalam membina keupayaan, keyakinan dan ekosistem yang diperlukan, di samping memastikan inovasi ini disokong oleh tadbir urus yang kukuh, selaras dengan rangka kerja sedia ada, dan memberikan manfaat yang berpanjangan kepada negara.”

Dato' Mohammad Faiz Azmi, Pengerusi SC berkata, “Usaha bersama ini akan mentakrif semula landskap pasaran modal, di mana ia mencerminkan kesediaan Malaysia untuk menerajui era kewangan digital, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai penanda aras global dalam inovasi kewangan Islam. Pelaksanaan perintis ini juga sejajar dengan hala tuju Pelan Induk Pasaran Modal 2026–2030 untuk terus memperkukuh pasaran bon dan sukuk melalui inovasi, peningkatan keterhubungan pasaran dan kecekapan pelaksanaan.”

“Tokenisasi berpotensi meningkatkan ketelusan, memperluas penyertaan dan menyokong pasaran yang lebih dinamik. Inisiatif seperti ini membolehkan kami menguji potensi tersebut secara terkawal dan berhemah. Melalui kerjasama rapat dengan peserta pasaran, kami sedang membina asas kawal selia dan pasaran bagi fasa pembangunan seterusnya,” tambah beliau.

Penerbitan ini merupakan sebahagian daripada Program Sukuk Danum, iaitu program Nota Jangka Sederhana Islam ("Islamic Medium-Term Notes / IMTN") dengan nilai nominal sehingga RM20.0 bilion. Terbitan sulung ini mempunyai tempoh matang satu tahun dan distrukturkan berdasarkan prinsip Syariah Wakalah bi al-Istithmar. Dengan menggabungkan aset patuh Syariah bersama DLT, inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan kebolehcapaian, kecekapan dan ketelusan dalam pasaran modal, di samping membenarkan akses kepada maklumat secara berterusan (24 jam) kepada pemegang taruh yang berkaitan. Pemodenan proses penerbitan sukuk ini juga dapat mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju inovasi kewangan Islam serta menetapkan penanda aras digital baharu bagi pasaran modal negara.

Dari sudut kawal selia, inisiatif ini dilaksanakan sebagai sebahagian daripada program perintis SC bagi memudah cara inovasi pasaran melalui pendekatan kolaboratif. Hal ini dapat memastikan integrasi teknologi baru kekal selaras dengan integriti pasaran dan perlindungan pelabur, di samping dapat dijadikan rujukan oleh industri berkaitan. Ini sekali gus dapat mengurangkan halangan teknikal dan pengawalseliaan untuk penerbit korporat akan datang.

Melalui inisiatif ini juga, Khazanah dan SC telah dapat meningkatkan kesedaran para pelabur dan menguji tahap kesiapsiagaan institusi kewangan terhadap aliran kerja sukuk yang ditokenkan melalui penglibatan seperti Kumpulan CIMB dan Maybank, serta para pelabur seperti Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (“CGC”), Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (“KWAP”), OCBC Bank (Malaysia) Berhad (“OCBC”) dan lain lain.

Institusi-institusi yang terlibat turut bekerjasama sepanjang proses penerbitan bagi memastikan pelarasan dari segi operasi dan teknikal, di samping memperdalam kefahaman terhadap instrumen yang ditokenkan.

Lebih daripada sekadar kejayaan awal, inisiatif ini membuktikan potensi sukuk yang ditokenkan sebagai instrumen pasaran modal masa hadapan, sekali gus membuka laluan kepada fasa seterusnya dalam usaha memodenkan pasaran modal Malaysia.

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
Khazanah Nasional Berhad
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup