Kod Tatalaku bagi Institusi Pasaran Siap

Kuala Lumpur, 25 Mei 2000

Suruhanjaya Sekuriti (SC) dengan sukacitanya mengumumkan penerbitan Kod tatalaku bagi Institusi Pasaran dalam pasaran modal Malaysia. Kod tatalaku ("Kod") tersebut telah dihasilkan berikutan peningkatan tumpuan dan penelitian yang diberikan kepada isu tadbir urus korporat dan, sebagai pengiktirafan bahawa tadbir urus korporat tidak harus ditafsirkan sebagai satu isu yang hanya berkaitan dengan syarikat-syarikat. Institusi pasaran seperti bursa-bursa, rumah penjelasan dan depositori pusat mesti bertindak di atas kepentingan umum dan dalam berbuat demikian, mengamalkan standard tadbir urus yang tertinggi dalam menjalankan hal-ehwal mereka.

Usaha-usaha ke atas Kod tersebut bermula dengan pengumuman SC di Dialog Tahunannya bersama peserta industri pada Julai lepas, bahawa satu Kod akan diadakan bagi menyediakan panduan kepada institusi pasaran mengenai standard tadbir urus dan tatalaku yang dikehendaki daripada mereka. Ini akan memastikan institusi pasaran akan menjalankan fungsi dan tanggungjawab pengawalseliaan mereka secara berwibawa dan dengan cara yang akan menggalakkan keyakinan pihak awam.

Kod tersebut menyediakan prinsip-prinsip tatalaku dan amalan tadbir urus terbaik bagi institusi pasaran, pembuat-pembuat keputusan dan lain-lain kakitangan yang berkaitan di kalangan institusi tersebut. Ia melengkapkan sistem pengawalseliaan yang wujud di bawah perundangan sekuriti dan niaga hadapan yang menyediakan peruntukan ke atas struktur tadbir urus dan tanggungjawab statutori institusi pasaran.

Jawatankuasa Pemandu yang telah ditubuhkan bagi mempertimbang dan mewujudkan Kod tersebut dipengerusikan oleh Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti dan terdiri daripada Timbalan Ketua Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti, Pengerusi Eksekutif Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL), Pengerusi Eksekutif Bursa Dagangan Sekuriti dan Sebutharga Automasi Malaysia (MESDAQ), Pengerusi Eksekutif Bursa Opsyen Kewangan dan Niaga Hadapan Kuala Lumpur (KLOFFE), Pengerusi Eksekutif Bursa Komoditi dan Kewangan Malaysia (COMMEX), dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Derivatives Clearing House (MDCH).

Kod tersebut secara dasarnya menghendaki institusi pasaran memastikan perkara berikut:

  • proses pengawalseliaan di kalangan institusi pasaran mestilah jelas, konsisten, wajar, saksama dan telus;
  • amalan tadbir urus terbaik oleh institusi pasaran, terutamanya dalam memastikan keadilan dan kejujuran pengawalseliaan dan lain-lain keputusan; dan
  • prosedur bagi memastikan kebertanggungjawapan bagi keputusan dan tindakan institusi pasaran dan kakitangan institusi pasaran.

Kod tatalaku tersebut akan menjadi asas bagi setiap institusi pasaran untuk mewujudkan dasar terperinci, struktur prosedur dan proses membuat keputusan pada setiap tahap di kalangan institusi pasaran. Kod tatalaku tersebut dikaitkan dengan semua kakitangan institusi pasaran, dengan keutamaan kepada individu dalam institusi yang merupakan pembuat keputusan yang mengendalikan maklumat rahsia. Ini termasuk, antara lain, para pengarah, ketua pegawai eksekutif, ahli mana-mana jawatankuasa dan pihak pengurusan institusi pasaran.

Sila klik di sini untuk Kod tatalaku bagi Institusi Pasaran

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup