Ketika mengumumkan Laporan Tahunan 2015nya, AOB melaporkan bahawa hasil pemeriksaannya menunjukkan bahawa masih banyak lagi perkara yang perlu dilakukan oleh firma-firma audit bagi menjadikan sistem kawalan kualiti mereka lebih berkesan. Usaha-usaha ini perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan merangkumi beberapa perkara seperti kebertanggungjawaban rakan kongsi audit, sumber manusia, latihan dan fungsi pemantauan.
Pertamanya, AOB mendapati bahawa firma-firma yang berusaha untuk mengekalkan kualiti audit dan standard profesional tidak rugi dari segi ekonomi berbanding firma lain, malahan dalam segmen pasaran tertentu mereka lebih berdaya saing, menolak tanggapan bahawa dengan berbuat demikian menambah kos kewangan kepada firma. Ini memberi isyarat jelas bahawa mengekalkan kualiti dan mendukung standard profesional memberi manfaat kepada perniagaan. Firma audit tidak perlu bersaing dengan mengorbankan kualiti audit.
AOB juga mendapati bahawa yuran audit terus bertambah dalam trajektori yang sama seperti tahun-tahun sebelum ini sedangkan tekanan ke atas gaji telah menyederhana, walaupun kos gaji keseluruhan masih menunjukkan trend menaik. Walau bagaimanapun, dengan model penetapan yuran yang bersesuaian, firma akan memperolehi margin yang mencukupi untuk memastikan tugasan audit mereka dijalankan dengan lebih berkesan.
AOB ditubuhkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia pada 2010 untuk mengawal selia juruaudit bagi entiti kepentingan awam (PIE) dan kumpulan wang jadual, melindungi kepentingan pelabur dan menggalakkan keyakinan dalam kualiti dan kebolehpercayaan penyata kewangan teraudit PIE dan kumpulan wang jadual.
Pada 2015, AOB memeriksa enam firma audit utama dan enam firma audit lain yang secara kolektif mengaudit 872 PIE yang meliputi 97% daripada permodalan pasaran syarikat awam tersenarai di Malaysia.
AOB berpuas hati apabila memerhatikan bahawa daripada sembilan firma diperiksa semula pada 2015, tiada pemerhatian berulang bagi empat firma, manakala bilangan pemerhatian berulang bagi dua firma telah berkurangan. Walau bagaimanapun, AOB juga mendapati terdapat hasil pemerhatian ketara dalam sesetengah bidang tugasan audit utama oleh Firma Audit Utama. AOB menggesa firma-firma yang berkaitan menangani isu-isu ini dengan segera.
AOB juga telah mengenakan celaan dan penalti monetari sebanyak RM50,000 kepada satu juruaudit kerana kegagalan untuk mematuhi piawaian pengauditan pelaksanaan tugasan audit sebuah PLC dan untuk pertama kalinya, telah membatalkan pendaftaran sebuah firma audit dan dua daripada rakan auditnya kerana gagal untuk kekal layak dan sesuai untuk mengaudit entiti kepentingan awam.
Melangkah ke hadapan, AOB akan terus menangani kegagalan untuk mengekalkan kualiti audit dan standard profesional dengan tegas dan pada masa yang sama bekerjasama rapat dengan firma audit untuk menangani isu-isu tepat pada masanya.
LEMBAGA PEMANTAUAN AUDIT