Laporan tahunan SC telah dibentangkan di Parlimen, sebagaimana yang dikehendaki di bawah seksyen 28 dan 29 Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 (SCA).
Usaha SC bagi mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia pada 1999 telah dijalankan dengan berlatarbelakangkan keadaan ekonomi dan pasaran yang telah pulih.
"Ekonomi pada mulanya dijangka akan tumbuh pada hanya 1% bagi tahun tersebut tetapi sehingga suku kedua, ekonomi sudah menunjukkan pertumbuhan positif 4.1%. Malaysia terus mencatatkan lebihan dagangan dan seterusnya, lebihan yang besar dalam akaun semasa imbangan pembayaran," menurut Pengerusi SC, Encik Ali Abdul Kadir.
Pengerusi SC juga menambah bahawa pada masa yang sama, keyakinan pelabur juga telah diperbaiki. Sehingga penghujung tahun, Indeks Komposit Kuala Lumpur (IKKL) telah melonjak kepada 812.33 mata, satu peningkatan sebanyak 209.2% sejak 1 September 1998. Permodalan pasaran pulih dengan catatan sebanyak RM552.69 bilion pada 30 Disember 1999 berbanding RM181.49 bilion pada 1 September 1998.
Dicerminkan dengan persekitaran yang lebih positif, terdapat pertambahan lebih daripada dua kali ganda bagi bilangan cadangan korporat yang dikemukakan kepada SC pada 1999. Tahun berkenaan menyaksikan sejumlah 335 cadangan daripada syarikat awam yang ingin mendapatkan kelulusan bagi pelbagai cadangan korporat, iaitu satu perbezaan yang besar daripada 142 cadangan yang diterima pada tahun sebelumnya. Dicampur dengan cadangan yang dibawa dari tahun 1998, terdapat 429 permohonan untuk dipertimbangkan oleh SC pada 1999, yang mana sejumlah 275 telah diluluskan.
Industri unit amanah juga menunjukkan pertumbuhan positif pada 1999. Industri tersebut (dalam bentuk unit dalam edaran) meneruskan arah aliran menaik yang dicatatkan pada tahun 1998. Pada penghujung 1998, 52.63 bilion unit telah berada dalam edaran, kenaikan 13.1% dari akhir 1998. Nilai aset bersih (NAV) bagi industri unit amanah, berjumlah RM43.26 bilion pada penghujung Disember 1999, telah meningkat sebanyak 11.7% daripada RM38.73 bilion pada akhir 1998.
Terdapat juga lebih ramai wakil peniaga pada penghujung 1999 dari penutup tahun sebelumnya - 7,315 berbanding 6,903. Daripada jumlah pada 1999, 75.6% (5,533) merupakan remisier manakala selebihnya 24.4% (1,782) merupakan wakil peniaga yang berbayar.
Menurut SC, berdasarkan keadaan ekonomi dan pasaran pada 1999, penganalisis secara umumnya pada awal tahun 2000 menjangkakan satu petunjuk yang menggalakkan bagi pasaran saham pada tahun 2000.
Keadaan ekonomi dan pasaran yang bertambah baik membolehkan SC menumpukan sekali lagi, kepada langkah-langkah bagi memperkukuhkan dan memperkembangkan pasaran modal Malaysia. Kebanyakan usaha SC pada 1999 sebenarnya diasaskan daripada usaha pada tahun-tahun sebelumnya, sebilangannya telah dinyatakan dalam pelan urusan Suruhanjaya.
Dengan ini, satu inisiatif utama SC pada 1999 bertumpu kepaada pembangunan Pelan Induk Pasaran Modal (CMP), yang bertujuan menjadi satu pelan yang lengkap dan menyeluruh bagi menentukan kedudukan strategik dan hala tuju pasaran modal Malaysia. CMP dijangka akan disiapkan pada pertengahan tahun ini.
Antara lain, CMP akan memberi tumpuan kepada isu perdagangan elektronik (e-commerce) yang berkaitan dengan pasaran modal. Usaha-usaha dalam bidang perdagangan elektronik telah dimulakan sejak awal penubuhan SC sebagai satu respon kepada kemajuan teknologi maklumat. Hasil daripada usaha-usaha ini telah dilihat pada 1999, tahun yang menyaksikan beberapa perkembangan berkaitan perdagangan elektronik bagi SC.
Berikutan daripada "Kertas Perbincangan Perdagangan Elektronik dan Pasaran Modal Malaysia - Perubahan Pengawalseliaan dan Pembangunan" 1997, SC pada tahun 1999 telah melipat gandakan usaha perumusan satu rangka kerja bagi perdagangan elektronik. Ini berhasil dengan pengumuman satu "Kertas Rundingan Rangka Kerja Pelaksanaan Perdagangan Elektronik Pasaran Modal" pada Mac 2000.
Tahun 1999 juga menyaksikan SC menerbitkan satu kenyataan polisi bertajuk "Tawaran Utama Sekuriti Melalui Internet" yang menjelaskan kedudukan SC mengenai tawaran sekuriti melalui Internet yang berkaitan dengan seksyen 32 SCA. Tambahan lagi, SC juga mengguna pakai pandangannya sekurang-kurangnya kepada satu tawaran sekuriti pasaran utama melalui Internet, menyatakan bahawa dana tersebut, yang ditawarkan kepada rakyat Malaysia, tidak diberi kelulusan oleh SC.
Usaha berterusan SC bagi memperkembangkan dan memperkukuhkan industri broker saham juga akan terkandung dalam CMP. Ini adalah bertujuan mewujudkan industri broker saham yang lebih kukuh, dipermodalkan sepenuhnya dan efisien, iaitu berdaya maju dan akan berupaya menghadapi cabaran globalisasi dan liberalisasi.
SC (dengan kerjasama Danaharta) juga telah memperkenalkan, pada 1998, satu skim bagi menyelamatkan syarikat broker yang terjejas oleh krisis. Beberapa keperluan juga telah diperkenalkan melalui peraturan Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) bagi mempertingkatkan tahap keutuhan dan standard berhati-hati broker.
Menurut Pengerusi SC, skim broker SC-Danaharta telah menunjukkan perkembangan yang baik sejak pengenalannya. Sehingga penghujung 1999, daripada 11 broker di bawah skim tersebut, satu telah ditarik balik sekatan dagangannya manakala cadangan penstrukturan semula bagi yang lainnya adalah pada peringkat akhir.
Ketika krisis kewangan pada 1997, didapati bahawa perubahan yang dibuat ke atas rangka kerja pengawalseliaan bagi industri sekuriti Malaysia umumnya adalah pada arah yang betul, tetapi perlu digerakkan dengan pantas dan pelaksanaan yang lebih tegas pada sesetengah keadaan, dan pengubahsuaian pada yang lainnya.
Pasaran bon korporat merupakan satu cabangan pembangunan yang perlu digerakkan dengan pantas, sejajar dengan matlamat kerajaan di bawah Pelan Pemulihan Ekonomi Negara (NERP).
"Sejak dekad yang lalu, prasarana asas dan institusi pasaran telah diwujudkan. Bagi memperoleh ganjaran ini, banyak yang mesti dibuat bagi mempercepatkan perubahan-perubahan yang perlu," menurut Pengerusi SC.
Sehingga kini, kerajaan telah mewujudkan Jawatankuasa Pasaran Bon Kebangsaan (NBMC) bagi menerajui semua usaha pembangunan pasaran bon di Malaysia. Ia juga telah memutuskan bahawa SC akan menjadi satu-satunya autoriti bagi pasaran bon korporat dan perubahan kepada undang-undang sedang dibuat bagi pengendaliannya.
SC, sebagai ahli NBMC, menjangkakan satu peranan mencabar dalam pembangunan pasaran bon korporat. Dalam menjalankan tugas tersebut, ia akan terus menjalankan perundingan yang menyeluruh dengan peserta utama pasaran bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas mereka. SC percaya bahawa peserta pasaran akan membantu kerajaan merumus strategi yang efektif bagi mencapai matlamat membangunkan pasaran bon korporat di Malaysia yang teguh dan cair.
Pengerusi SC juga menyatakan dalam Perutusan Pengerusi bahawa SC juga akan mengendali usaha pembangunan pasaran bon korporat bagi mempercepatkan usaha peralihan terancang kepada regim berteraskan penzahiran melalui pasaran bon. Peralihan yang dipercepatkan dalam hal ini, disebabkan oleh perlindungan lebih yang diguna pakai dalam struktur perundangan bon berbanding struktur perundangan ekuiti.
Sementara itu, pasaran modal telah memasuki fasa kedua pelaksanaan pengawalseliaan berteraskan penzahiran (DBR) berikutan berakhirnya fasa pertama pada 31 Disember 1999. Ini menyaksikan dua kali pindaan, dalam bulan April dan Disember, kepada Polisi dan Garis Panduan Terbitan/Tawaran Sekuriti.
Pada April 1999, pindaan yang dibuat termasuk penyemakan semula keperluan penyenaraian di Papan Kedua dan Papan Utama BSKL dan pengambilalihan akas serta penyenaraian pintu belakang. Keperluan yang disemak semula tersebut bertujuan memperkukuhkan standard penyenaraian bagi menyediakan keselesaan lebih bagi pelabur awam dalam peluang pelaburan mereka serta bagi pertumbuhan dan perkembangan yang tersusun bagi pasaran modal Malaysia.
Pindaan pada Disember 1999 adalah penting kerana ia menandakan permulaan Fasa 2 DBR. Pindaan-pindaan tersebut bertumpu pada umumnya pada penentuan harga sekuriti, penilaian aset dan penggunaan hasil kutipan. Di bawah Fasa 2 program DBR, Suruhanjaya akan mengurangkan penilaiannya dalam perkara tersebut selagi keperluan/garis panduan umum dipatuhi.
Salah satu dasar penting DBR merupakan tadbir urus korporat, perkara yang sering diperkatakan selepas tempoh krisis. Menurut Pengerusi SC, SC amat sedar akan keperluan untuk terus mempertingkatkan standard tadbir urus korporat dan kebertanggungjawaban, lebih-lebih lagi apabila pasaran modal matang dan ekonomi beralih kepada peringkat pemulihan seterusnya.
Dengan ini, penubuhan Jawatankuasa Kewangan mengenai Tadbir Urus Korporat pada Mac 1998 merupakan satu titik perubahan yang menggabungkan individu berwibawa yang mewakili kerajaan, sektor korporat, organisasi industri dan agensi pengawalseliaan bagi menjalankan semakan semula yang komprehensif terhadap tadbir urus korporat di Malaysia. Usaha jawatankuasa ini dihasilkan dalam Laporan mengenai Tadbir Urus Korporat yang mendapat kepujian yang diumumkan pada Mac 1999.
"Penerbitan Laporan mengenai Tadbir urus Korporat Jawatankuasa tersebut pada 1999 merupakan satu titik tolak penting yang mana ia mewakili Malaysia dan juga salah satu daripada usaha kerjasama Asia yang luas dan paling berkesan di bidang ini. Laporan tersebut dianggap sebagai salah satu yang termaju yang seumpamanya di rantau ini, dan saya difahamkan bahawa ia sekarang digunakan sebagai rujukan bagi sistem tadbir urus korporat dalam lain-lain perundangan," menurut Pengerusi SC.
Pengerusi SC menambah bahawa, berikutan daripada penubuhan Pasukan Pelaksanaan Projek bagi laporan tersebut, sebilangan cadangan laporan tersebut telah dilaksanakan dan beberapa lagi dalam berbagai peringkat pelaksanaan.
Tambahan lagi, adalah dijangkakan bahawa Kod Tadbir Urus Korporat, yang merupakan salah satu cadangan laporan tersebut, akan diguna pakai oleh semua syarikat awam tersenarai dalam peraturan penyenaraian BSKL yang diolah semula tahun ini.
Satu lagi perkara dalam memperbaiki tadbir urus korporat adalah semakan semula kod pengambilalihan yang menghasilkan satu kod baru yang diperkenalkan pada 1999. Kod baru tersebut memberikan kewajipan yang lebih tinggi terhadap pengarah untuk membuat penzahiran yang penuh dan jujur kepada pemegang saham sebelum mereka mengundi bagi sesuatu resolusi (keputusan). Kod tersebut ingin memastikan bahawa maklumat yang berkaitan boleh didapati oleh pemegang saham minoriti untuk mereka membuat keputusan yang berdasarkan maklumat tentang merit penerimaan sesuatu tawaran pengambilalihan, terutamanya dalam hal memberi pelepasan daripada tanggungjawab tawaran mandatori.
"Di bawah Kod tersebut, kepentingan pemegang saham kecil atau minoriti akan dilindungi seterusnya melalui penetapan bagi standard penzahiran yang tinggi, tata laku korporat dan tahap profesionalisme yang dipertingkatkan. Pemegang saham minoriti juga mempunyai peluang untuk mempertimbang kelebihan dan kelemahan sesuatu tawaran supaya berada pada kedudukan yang baik untuk memutuskan samada untuk terus memegang atau melupuskan saham mereka," menurut Pengerusi SC.
Hal-Ehwal Antarabangsa
Usaha dan kepakaran SC juga dilanjutkan ke peringkat antarabangsa. Untuk tujuan ini, SC terus menyumbang kepada proses memperbaiki pengawalseliaan antarabangsa melalui peranannya dalam pelbagai organisasi antarabangsa seperti Pertubuhan Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti (IOSCO) dan Kerjasama Ekonomi Asia Pacifik (APEC). Antara lain, SC sebagai peserta Pasukan Petugas Dana Lindung Nilai IOSCO telah menyediakan input ke atas risiko yang berkenaan kepada pengawal selia pasaran, keperluan bagi penzahiran maklumat yang lebih oleh institusi berleveraj tinggi dan jenis-jenis maklumat mengenai aktiviti yang berguna untuk dizahirkan.
SC juga merupakan satu-satunya pengawal selia pasaran baru muncul yang merupakan ahli IOSCO-CPSS (Jawatankuasa Sistem Pembayaran dan Penyelesaian) Pasukan Petugas Bersama Sistem Penyelesaian Sekuriti.
SC, bagi pihak Malaysia, juga telah mengetuai usaha APEC bagi memperkuatkan tadbir urus korporat di rantau ini dengan mendahului usaha perumusan laporan mengenai tadbir urus korporat. Laporan tersebut telah diperakui oleh Menteri-menteri Kewangan APEC pada Mei 1999.
Penguatkuasaan
Sementara SC menggerakkan usaha ke arah memperbaiki pasaran, ia terus menjalankan peranan penguatkuasaanya dengan cermat.
"Bagi usaha pembaikan pasaran ini mencapai hasil yang diingini, penguatkuasaan yang baik adalah satu kemestian. Ia merupakan kewajipan statutori SC bagi mengekalkan keutuhan pasaran dan melindungi kepentingan pemegang saham, satu kewajipan Suruhanjaya yang dijalankan tanpa gentar dan berat sebelah" menurut Pengerusi SC.
Usaha dalam tahun kebelakangan telah terbukti berkesan dan tahun 1999 menyaksikan bilangan tindakan penguatkuasaan tertinggi yang diambil oleh SC sejak penubuhannya pada 1993.
"Tempoh di bawah tinjauan merupakan satu catatan rekod bagi Suruhanjaya. Kami menyiasat 54 kes, memulakan 23 pendakwaan di mahkamah di atas kesalahan yang dituduh meliputi pengemukaan maklumat palsu kepada jualan singkat, penipuan dan persubahatan.
Encik Ali juga mengatakan bahawa SC telah mengkompaun 14 kes yang melibatkan pelanggaran peruntukan pelesenan di bawah Bahagian IV Akta Perindustrian Sekuriti 1983 (SIA).
Pengerusi Suruhanjaya juga menyatakan bahawa fungsi penguatkuasaan SC telah dipertingkatkan dengan perlantikan Dato' Ainum Mohd Saaid sebagai Timbalan Ketua Eksekutif dan untuk mengawasi Bahagian Penguatkuasaan dan Bahagian Pengawasan Pasaran. Di samping itu, dua pegawai kanan dari Pejabat Peguam Negara telah dipinjamkan kepada Suruhanjaya pada tahun berkenaan.
Pendidikan dan Latihan
Pada 1999, Pusat Perkembangan Industri Sekuriti (SIDC), bahagian pendidikan dan latihan SC, mencatatkan satu peristiwa penting apabila ia menjadi pusat peperiksaan sehenti bagi peserta pasaran modal.
Ini bermakna SIDC menjadi satu-satunya badan yang menjalankan peperiksaan bagi wakil peniaga pelatih di BSKL dan Bursa Dagangan Sekuriti dan Sebut Harga Automasi Malaysia (MESDAQ); wakil broker niaga hadapan di Bursa Opsyen dan Niaga Hadapan Kewangan Kuala Lumpur (KLOFFE) dan Bursa Komoditi dan Kewangan Malaysia (COMMEX); wakil pengurus dana; wakil pengurus dana niaga hadapan dan individu yang dilantik dalam industri unit amanah.
Di bawah Dana Latihan Bumiputera (BTF), SIDC telah menjalankan 32 program bagi kakitangan Bumiputera industri broker saham. Sejumlah 1,040 orang telah menghadiri sesi-sesi latihan, yang dijalankan di bawah empat bidang fokus utama - analisis sektoral, pengurusan pelaburan, kemahiran pembangunan diri dan isu semasa.
Akaun
Jumlah pendapatan bagi SC bagi tahun berakhir 31 Disember 1999 meningkat lebih daripada 15.65% dari tahun sebelumnya, daripada RM104.57 juta kepada RM120.94 juta. Peningkatan dalam pendapatan ini digambarkan dengan sentimen pasaran yang bertambah baik. SC memperoleh pendapatannya terutamanya daripada levi yang dikenakan ke atas transaksi di pasaran saham serta fi dan caj bagi cadangan korporat.
Jumlah perbelanjaan operasi bagi tahun 1999 meningkat sebanyak 28.9% dari tahun sebelumnya kepada RM78.63 juta. Perbelanjaan kakitangan (46.5%) dan pentadbiran (28.8%) menjadi komponen utama perbelanjaan operasi SC pada 1999. Walau bagaimanapun, perbelanjaan modal menurun daripada RM152.26 juta pada penghujung 1998 kepada RM139.41 juta pada akhir 1999.
SC mengakhiri tahun di bawah tinjauan dengan satu lebihan selepas cukai sebanyak RM38.16 juta, lebih tinggi daripada RM28.85 juta yang diperolehi pada penghujung 1998.
Sumber Manusia
Jumlah kakitangan SC pada penghujung 1999 adalah 441 orang yang menunjukkan 5.0% peningkatan dalam tenaga kerja berbanding 1998. Kadar pusing ganti kakitangan SC meningkat dengan ketara kepada 5.4% (1998: 1.7%) dengan kakitangan eksekutif sebanyak 4.5% dan bukan eksekutif, 0.9%.