Mahkamah Rayuan Kekal Sabitan dan Hukuman Penjara Pengarah kerana Gagal Hadir di hadapan Pegawai Penyiasat SC untuk Siasatan Pengubahan Wang Haram

Kuala Lumpur, 5 Mac 2025

Mahkamah Rayuan hari ini menolak rayuan seorang pengarah syarikat terhadap sabitan dan hukumannya kerana gagal hadir di hadapan pegawai penyiasat SC untuk disoal siasat berhubung siasatan pengubahan wang haram.

Amirruddin bin Nin (Amirruddin) telah melakukan kesalahan itu di bawah seksyen 32(8)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) (AMLATFPUAA).

Panel Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Hakim YA Dato’ Ahmad Zaidi bin Ibrahim, YA Datuk Mohamed Zaini bin Mazlan dan YA Datuk Noorin binti Badaruddin sebulat suara menolak rayuan Amirruddin terhadap sabitan dan hukuman atas pertuduhan pertama.

Mahkamah Rayuan juga membenarkan rayuan balas SC dan mengekalkan sabitan dan hukuman Amirruddin bagi pertuduhan kedua dan ketiga. Denda harian bagi kesalahan yang berterusan juga dikekalkan.

Dalam keputusan Mahkamah Rayuan, Datuk Noorin menyatakan bahawa tiga pertuduhan terhadap Amirruddin adalah berbeza dan berasingan, dan kesalahan di bawah seksyen 32(8)(a) AMLATFPUAA merupakan kesalahan liabiliti yang ketat. Beliau seterusnya menyatakan Mahkamah Rayuan mendapati bahawa hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf dalam keputusannya dalam mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh hakim bicara terhadap Amirruddin.

Sebelumnya, SC, dengan persetujuan Pendakwa Raya, telah mengenakan pertuduhan terhadap Amirruddin, pengarah CTB Solutions Sdn Bhd dengan tiga pertuduhan di bawah seksyen 32(8)(a) AMLATFPUAA pada 19 Februari 2020 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Selepas perbicaraan penuh, Mahkamah Sesyen mensabitkan kesalahan Amirruddin atas ketiga-tiga pertuduhan dan menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM100,000 bagi setiap pertuduhan dan seterusnya mengenakan denda harian RM2,000 selama 979 hari berjumlah RM1,958,000 bagi kesalahan yang berterusan (jika gagal 12 bulan penjara). Kesalahan itu dilakukan antara 15 Jun 2017 dan 18 Februari 2020.

Susulan keputusan Mahkamah Sesyen, Amirruddin memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi terhadap sabitan dan hukumannya. Pada 28 Jun 2023, Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan dan hukuman Amiruddin bagi pertuduhan pertama tetapi mengetepikan sabitan dan hukuman bagi pertuduhan kedua dan ketiga. Mahkamah Tinggi juga mengetepikan denda harian bagi kesalahan yang berterusan. Ini membawa kepada rayuan oleh kedua-dua pihak di Mahkamah Rayuan.
SC ingin mengingatkan orang ramai bahawa kegagalan untuk mematuhi notis bertulis yang dikeluarkan oleh pegawai penyiasat SC merupakan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah undang-undang sekuriti. Sebarang ketidakpatuhan akan menghalang SC dalam melaksanakan fungsi penyiasatan dan penguatkuasaannya yang penting dalam mengekalkan integriti pasaran modal.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup