Penganjuran dan penglibatan Malaysia dalam mesyuarat antarabangsa peringkat tinggi ini menunjukkan pengiktirafan terhadap sumbangan penting Malaysia dalam bidang pengawalseliaan sekuriti di peringkat antarabangsa.
“Banyak negara berminat untuk menganjurkan mesyuarat ini, oleh itu kami berbangga kerana Malaysia telah diberikan peluang (untuk menganjurkannya). Ini menunjukkan keyakinan rakan sejawatan antarabangsa kita terhadap komitmen Malaysia ke arah kerjasama antarabangsa dan menggalakkan standard pengawalseliaan yang tinggi dalam pasaran sekuriti,” kata Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC), Datuk Ali Abdul Kadir.
Mesyuarat tahunan Jawatankuasa Pasaran Baru Muncul (EMC) IOSCO akan diadakan dari 29 hingga 31 Oktober. EMC terdiri daripada pengawal selia dari 73 bidang kuasa dari Amerika Latin, Afrika, Timur Tengah, Asia dan Eropah.
“Mesyuarat-mesyuarat ini merupakan forum penting bagi pengawal selia pasaran sekuriti untuk membincangkan dengan lebih lanjut isu-isu yang memberi kesan kepada prestasi dan pembangunan pasaran baru muncul,” kata Datuk Ali.
Sehubungan itu, Datuk Ali berkata isu-isu itu termasuk peristiwa terkini yang mendapat liputan luas seperti kesalahan korporat yang membabitkan Enron, Worldcom dan syarikat besar lain, serta isu-isu semasa seperti penyamaran wang, ukur rujuk antarabangsa standard pengawalseliaan, dan peningkatan kerjasama antarabangsa bagi penguatkuasaan.
Mesyuarat tersebut adalah tepat pada masanya memandangkan persekitaran ketidaktentuan sejagat terkini yang terus menjejaskan kedua-dua pasaran maju dan baru muncul,” kata beliau.
Sebelum mesyuarat EMC, Jawatankuasa Tetap 2 IOSCO, yang membincangkan pengawalseliaan pasaran sekunder pasaran maju, akan bermesyuarat esok dan pada hari Khamis. SC terlibat dalam jawatankuasa tersebut yang akan dipengerusikan oleh pengawal selia sekuriti Itali, Commissione Nazionale per le Società e la Borsa (CONSOB).
SC juga akan menjadi tuan rumah bagi mesyuarat pertama Pasukan Petugas Pasaran Modal Islam IOSCO pada 1 November. Pasukan petugas itu akan dipengerusikan oleh Datuk Ali dan dirujuk sebagai “Kumpulan Ali”.
Datuk Ali berkata bahawa ini merupakan pengiktirafan penting bagi peranan Malaysia dalam menerajui pembangunan pasaran modal Islam dan merupakan suatu petunjuk baik bagi pembangunan pusat kewangan Islam antarabangsa di Malaysia.
Datuk Ali berkata SC juga menganjurkan persidangan awam antarabangsa berkenaan “Memperkukuh Keyakinan Pelabur dalam Pasaran Baru Muncul” sempena pertemuan pengawal selia sekuriti dari seluruh dunia di Kuala Lumpur tersebut.
Beliau menambah bahawa isu memperkukuh keyakinan pelabur merupakan isu yang sedang dihadapi oleh semua pasaran, termasuk pasaran baru muncul.
Datuk Ali berkata persidangan itu menyediakan forum yang sesuai bagi pengawal selia pasaran baru muncul dan pemain pasaran lain untuk membincangkan dengan lebih lanjut isu topik penting dan mempertimbangkan langkah untuk maju ke hadapan.
“Kami telah menyaksikan dalam beberapa tahun kebelakangan, pasaran baru muncul bekerja keras untuk memperbaiki standard tadbir urus korporat dan memperkukuh keyakinan pelabur. Dan sememangnya, beberapa negara termasuk Malaysia, telah mencapai kemajuan besar dalam hal ini,” kata Datuk Ali.
“Walau bagaimanapun, hari ini negara-negara tersebut telah menerima kesan sampingan daripada skandal korporat di pasaran maju yang menonjol baru-baru ini dan tindakan keganasan telah melemahkan keyakinan seluruh dunia dan pasaran baru muncul juga tidak terkecuali,” kata Datuk Ali.
Beliau berkata persidangan antarabangsa tersebut memberikan peluang yang amat baik bagi pemain pasaran untuk menjalin hubungan dengan pengawal selia sekuriti seluruh dunia dan pakar serta para pembuat keputusan terkemuka.
Dalam konteks memperkukuh keyakinan pelabur, persidangan tersebut membolehkan para peserta mengetahui perkembangan semasa dan prospek bagi pasaran baru muncul memandangkan keadaan ekonomi yang berubah-ubah pada hari ini, keutamaan para pelabur dan ciri-ciri pulangan risiko. Peserta juga akan berpeluang untuk menyelami isu ini secara lebih dekat dalam sesi panel “Melabur dalam Pasaran Baru Muncul”.
Minggu lalu, SC Malaysia melalui bahagian latihan dan pendidikannya, Pusat Perkembangan Industri Sekuriti (SIDC), menganjurkan sesi latihan selama seminggu bagi 50 pegawai dari ekonomi baru muncul seperti Kazakhstan, Jordan, Turki, Uganda, Oman, Azerbaijan, Sri Lanka, Pakistan, Nepal, Tanzania, Nigeria, Kenya, Filipina, Vietnam, Indonesia dan Taiwan. Ini adalah sejajar dengan komitmen Malaysia ke arah Kerjasama Selatan-Selatan, khususnya dalam membina keupayaan dan pertukaran maklumat, pengalaman dan pengetahuan di kalangan negara membangun.
IOSCO merupakan forum antarabangsa bagi pengawal selia sekuriti yang menangani isu-isu dan keperluan berkaitan pengawalseliaan pasaran sekuriti dan niaga hadapan. IOSCO mempunyai keanggotaan sebanyak 177 pengawal selia sekuriti, ahli bersekutu dan gabungan.