Manipulasi Saham Iris: SC Memfailkan Saman Sivil Yang Menjadi Penanda Penting

Kuala Lumpur , 9 April 2008

Menjadi penanda permulaan Pendekatan baru dan peristiwa penting dalam memerangi manipulasi pasaran, Suruhanjaya Sekuriti (SC) telah memulakan tindakan penguatkuasaan sivil terhadap lapan pihak asing dan dua warga Malaysia berhubung dengan manipulasi, manipulasi pasaran dan penipuan terhadap saham-saham Iris Corporation Berhad (Iris)

Selain itu, SC menyekat dua syarikat broker saham dan dua wakil peniaga yang terlibat dalam kes tersebut.

Tindakan penguatkuasaan sivil

Dua warga Malaysia yang dinamakan dalam saman tersebut ialah Dato’ Tan Mong Sing dan Low Thiam Hock.

Manakala, pihak defendan asing pula terdiri daripada lima syarikat dan tiga individu yang berikut:

  • Aeneas Capital Management, L.P.
  • Priam Holdings Limited
  • Aeneas Evolution Portfolio, Ltd.
  • Aeneas Portfolio Company, L.P.
  • Acadian Worldwide Inc.
  • Thomas R. Grossman (Rakan Kongsi Urusan, Pengurus Pelaburan dan Pengurus Portfolio Aeneas Capital Management LP)
  • Richard Benjamin Cohen (Penganalisis Penyelidikan merangkap Pedagang Pelaburan Malaysia Aeneas Capital Management LP)
  • John Suglia ( Prinsipal dan Ketua Pegawai Operasi Aeneas Capital Management LP)

Pendekatan sivil ini membolehkan SC memohon pelbagai tuntutan daripada Mahkamah Tinggi termasuk injunksi, ganti rugi, pemulangan semula dan perintah pengisytiharan.

Berhubung dengan manipulasi saham-saham Iris, SC, dalam satu saman sivil yang difailkannya pada 27 Mac 2008 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, memohon:

  • pengisytiharan bahawa semua defendan berpakat untuk memanipulasi pasaran dan harga saham Iris, dan menipu pelabur;
  • pengisytiharan bahawa semua keuntungan yang diperoleh oleh defendan dipegang dalam amanah bagi manfaat para pelabur yang berkenaan;
  • memerintahkan supaya semua aset dan harta setiap defendan dijejaki, dan kemudian membayar kepada SC ganti rugi yang akan diberikan kepada pelabur yang berkenaan;
  • injunksi kekal bagi menghalang setiap defendan daripada berurus niaga dalam saham-saham Iris;
  • injunksi kekal bagi menghalang setiap defendan daripada berurus niaga dalam mana-mana kaunter di Bursa Malaysia atau MESDAQ; dan
  • ganti rugi am dan ganti rugi teladan.

Sekatan pentadbiran

Selain saman sivil terhadap defendan-defendan yang dinamakan tersebut, SC telah mengenakan sekatan pentadbiran terhadap MIDF Amanah Investment Bank Berhad pada 17 Disember 2007, dan PM Securities Sdn Bhd pada 1 Februari 2008.

Kedua-dua PM Securities dan MIDF Amanah Investment Bank, masing-masing didenda sebanyak RM400,000.00 dan RM200,000.00, dan digantung daripada menyerahkan sebarang permohonan untuk mendaftarkan wakil peniaga baru dalam tempoh enam bulan.

Sekatan pentadbiran juga dikenakan ke atas dua wakil peniaga dari Avenue Securities Sdn Bhd, iaitu Lee Hooi Li dan PatrickTaylor, masing-masing bagi membatalkan dan menggantung lesen wakil peniaga mereka.

Lee didapati menggunakan lima akaun tanpa mendapat kebenaran pemegang akaun ketika membuat urus niaga dalam saham-saham Iris. Manakala Taylor didapati gagal melaksanakan tugasnya dengan cekap, jujur dan adil dalam menjalankan tanggungjawab penyeliaan terhadap Lee.

Selain itu, seorang wakil peniaga dari PM Securities Sdn Bhd, Lim Joo Lang, telah digantung oleh Bursa Malaysia pada bulan Julai 2007. Lim dihalang daripada berdagang bagi tempoh sembilan bulan dan didenda RM10,000.00 bagi pelbagai pelanggaran peraturan Bursa Securities berhubung dengan dagangan dalam saham-saham Iris.

Sisatan SC terhadap manipulasi saham-saham Iris

SC telah memulakan siasatan formal selepas Iris diumumkan sebagai kaunter terpilih pada 11 Mei 2006.

Dari September 2005 hingga Mei 2006, harga saham-saham Iris meningkat 17 kali daripada RM0.08 kepada RM1.36 sesaham di tengah-tengah permintaan yang kukuh dengan purata 200 juta saham didagangkan setiap hari.

Siasatan SC mendapati bahawa manipulasi tersebut dijalankan melalui lapisan yang kompleks dalam pengasalan pesanan dan transaksi melalui pengantara asing dalam beberapa bidang kuasa.

Siasatan itu seterusnya mendapati bahawa defendan secara kolektif telah menggunakan beberapa akaun dagangan yang membawa kepada permintaan yang kukuh terhadap saham-saham Iris bagi tempoh yang tersebut. Defendan asing dan wakil mereka bekerja rapat dengan defendan dari Malaysia dalam mewujudkan permintaan palsu bagi saham-saham Iris.

SC dapat membongkar aktiviti defendan melalui analisis yang dibuat dengan teliti terhadap data dagangan bagi lebih daripada 100 akaun dagangan pada 15 broker tempatan dan 16 broker asing, rekod pelbagai kaedah komunikasi di antara mereka yang melakukan kesalahan termasuk lebih daripada 200,000 mesej e-mel, dan merekodkan kenyataan daripada saksi tempatan dan di luar negara.

Dalam melakukan penyiasatannya, SC bekerjasama rapat dengan rakan sekerja asingnya iaitu US Securities and Exchange Commission (SEC), Hong Kong Securities and Futures Commission (HKSFC), Monetary Authority Singapore (MAS), Financial Services Authority UK (FSA), BVI Financial Services Commission (BVIFSC) dan Cayman Island Monetary Authority (CIMA).

Pernyataan Tuntutan berhubung dengan saman sivil ini boleh dilihat di sini (pdf - 387KB).

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup