Pameran RIFAR SC Raikan Penyelesaian Inovatif Belia dalam Memperkasa Ketahanan Iklim

Kuala Lumpur, 30 Julai 2026

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini menamatkan Cabaran Universiti River Flooding Adaptation & Resilience (RIFAR) dengan penganjuran Pameran, serta mengiktiraf penyelesaian adaptasi iklim cemerlang yang diketengahkan pelajar dengan hadiah wang tunai sebanyak RM57,000.

Pameran tersebut menggariskan keperluan yang semakin mendesak bagi penyesuaian iklim di Malaysia, sekali gus menonjolkan peranan penting inovasi yang diterajui belia dalam membangunkan penyelesaian praktikal, berskala dan berdaya maju dari segi kewangan menerusi Cabaran RIFAR.

Pameran tersebut dihadiri oleh kira-kira 250 peserta, termasuk wakil kerajaan, institusi kewangan, ahli akademik serta pakar iklim dan pelajar universiti.

Dilancarkan pada bulan April, Cabaran RIFAR menarik minat kira-kira 400 pelajar merentasi 46 universiti, di dalam dan luar negara yang bersaing merentasi dua kategori:

  • Maraton:
    Pelajar membangunkan penyelesaian mitigasi banjir yang ketara dan berdaya maju dari segi kewangan untuk menghasilkan manfaat bersama daripada peralihan untuk Taman Sri Muda, kawasan yang sangat terdedah kepada banjir dan mempunyai kerentanan sosioekonomi yang tinggi.

    Selama dua bulan, para peserta menyertai webinar bersama pakar dan lawatan tapak untuk memerhatikan secara langsung pendedahan kawasan tersebut terhadap risiko banjir sungai (fluvial), banjir akibat hujan lebat (pluvial) dan banjir pasang surut (tidal).

    Para pelajar dari Pasukan BDR (Universiti Malaya dan Universiti Monash Malaysia) muncul sebagai Juara, manakala pelajar dari Pasukan Blues Bond (Universiti Monash Malaysia) dan Pasukan Anak Sungai (Universiti Sunway, Universiti Kebangsaan Singapura dan Universiti Hong Kong) masing-masing mendapat tempat kedua dan ketiga.
  • Pecutan:
    Para pelajar menghasilkan video media sosial kreatif yang mempromosikan kesihatan sungai di Selangor.

    Daripada 21 penyertaan, Pasukan Ban Banjir yang terdiri daripada pelajar dari Kolej Sunway, Universiti Nottingham Malaysia dan Universiti Monash Malaysia muncul sebagai Juara.

Pengerusi SC, Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata pasaran modal mesti menjadi jambatan yang menyalurkan pembiayaan ke arah daya tahan negara, perniagaan, komuniti dan rakyat.

“Pencapaian matlamat ini memerlukan bukan sahaja pengawal selia dan pembiaya, malah juga inovasi dan kepimpinan generasi akan datang.”

“Saya memuji semangat dan kreativiti yang ditunjukkan oleh para pelajar dalam Cabaran ini, dan saya berharap mereka akan terus memperkukuh wacana mengenai penyesuaian dan pembiayaan iklim,” katanya.

Dato’ Faiz menambah bahawa beliau berharap RIFAR akan terus menghasilkan penyelesaian inovatif dan praktikal dalam bidang ini, berasaskan kejayaan Cabaran Coastal Flooding Adaptation & Resilience (COFAR) tahun lepas yang menyaksikan usaha sama antara industri, penggubal dasar dan ahli akademik dalam menangani banjir pesisir pantai.

Pameran RIFAR yang menampilkan perbincangan tertumpu mengenai daya tahan iklim turut menggariskan keperluan untuk menggalakkan modal swasta dalam pembiayaan penyesuaian, selaras dengan keutamaan penyesuaian Malaysia dan kepentingan literasi iklim dalam kalangan belia.

Inisiatif RIFAR dilaksanakan dengan kerjasama ICAEW Malaysia, Lembaga Urus Air Selangor, Landasan Lumayan Sdn Bhd dan Jeffrey Sachs Center on Sustainable Development.

Inisiatif ini menyokong Pelan Induk Pasaran Modal 2026–2030 yang baru dilancarkan, khususnya tonggak kemampanannya, dalam memperkukuh peranan pasaran modal dalam membiayai peralihan, penyesuaian dan daya tahan iklim.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup