Diterbitkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sempena ulang tahunnya yang ke-30 pada 2023, buku itu juga memberi gambaran tentang trend global yang semakin berkembang yang akan membantu membentuk pasaran Malaysia, yang kini merupakan salah satu pasaran terbesar di ASEAN, dalam masa terdekat.
Titah Sultan Perak dalam Ucapan Diraja pada majlis pelancaran buku tersebut, “Buku ini benar-benar memberi penghargaan yang sewajarnya terhadap kewibawaan sesebuah pasukan – dengan cara pemikiran, pendapat dan bakat individu bersatu sepanjang beberapa dekad, untuk membina SC sehingga menjadi sebuah badan kawal selia yang terkenal di peringkat antarabangsa.”
Buku setebal 420 halaman itu, yang ditulis oleh wartawan veteran Jennifer Jacobs, adalah berdasarkan wawancara dan perbualan terkini bersama semua mantan Pengerusi SC termasuk Pengerusi semasa, pengurusan kanan SC pada masa lalu dan semasa, pakar industri, cendekiawan, pengawal selia yang lain serta pihak berkepentingan utama.
Beberapa cerapan mereka dikongsi secara terbuka buat pertama kalinya. Ini termasuk pengalaman menangani Krisis Kewangan Asia 1997/98 dan isu-isu mendesak lain sambil memastikan pasaran terus beroperasi dan pelabur kekal dilindungi.
Dalam Prakata buku tersebut, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang menubuhkan SC pada tahun 1993, berkata buku itu bukan sekadar merekodkan sejarah 30 tahun SC.
“Buku ini memberi perspektif terhadap mereka yang bertanggungjawab di samping mendalami apa yang mereka lakukan dan mengapa mereka membuat sesuatu keputusan. Harapan saya agar anda mendapati intipati buku ini berpandangan jauh dan bermanfaat,” katanya.
Melihat ke hadapan, Dato' Seri Anwar berkata beliau mengamanahkan SC untuk menerajui pembaharuan dan kemajuan selanjutnya bagi memastikan pasaran modal yang dinamik, menarik dan mesra pelabur.
Buku tersebut hasil buah fikiran Pengerusi SC, Dato’ Seri Dr Awang Adek Hussin dalam memberi penghargaan and menekankan peranan dan sumbangan semua mantan Pengerusi SC dalam membentuk legasi SC.
Beliau berkata, “Sejarah itu sendiri menarik, tetapi alangkah lebih menarik apabila ia datang daripada mereka yang membantu membentuknya – bermula daripada perintis awal SC kepada kakitangan pengurusan utama dan pemain industri. Pendek kata, ia mesti dibaca oleh setiap individu yang berminat dengan sejarah kewangan dan korporat Malaysia.”
Kira-kira 300 orang, termasuk semua bekas Pengerusi SC, pemimpin dan pengamal industri pasaran modal, telah menghadiri majlis pelancaran yang diadakan di SC.
Buku ‘
Capital Market in Malaysia – Past, Present & Future’ , kini boleh didapati sebagai e-buku di
laman web SC dan di perpustakaan terpilih di seluruh negara.