Pengawal Selia Audit ASEAN Bertemu untuk Meningkatkan Kualiti Audit dan Pematuhan Pelaporan Kewangan

Kuala Lumpur, 2 September 2024

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) baru-baru ini telah menjadi tuan rumah bagi bengkel anjuran Kumpulan Pengawal Selia Audit ASEAN (AARG) dan Kumpulan Pemantauan Penyata Kewangan (FSSG), yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti audit dan pematuhan pelaporan kewangan di rantau ini.

Bengkel itu menghimpunkan pengawal selia dan peneraju industri dari Hong Kong, India, Indonesia, Malaysia, Singapura, Thailand dan Filipina.

Bengkel tersebut diadakan selaras dengan usaha berterusan negara-negara ASEAN yang menganggotai Forum Antarabangsa Pengawal Selia Audit Bebas (IFIAR) dalam menggalakkan kerjasama dan pengkongsian ilmu.

Antara isu-isu yang dibincangkan oleh anggota AARG termasuk pelaksanaan keperluan baharu Piawaian Antarabangsa mengenai Pengurusan Kualiti (ISQM) yang akan digunapakai untuk firma audit serta pendekatan terhadap semakan ISQM 1 di seluruh ASEAN.

Bagi menyambung usaha dalam memacu penguatkuasaan peraturan audit yang berkesan, AARG memberi tumpuan kepada strategi penguatkuasaan dan komunikasi. Ia juga mengadakan perbincangan dengan pucuk kepimpinan serantau tiga firma audit rangkaian global.

Sementara itu, perbincangan anggota bengkel FSSG pula bertumpu kepada kepentingan konsistensi dalam pelaporan kewangan, yang merupakan cabaran lazim bagi pengawal selia pasaran kewangan global semasa. Pelaporan yang konsisten akan membantu memastikan penilaian penyata kewangan yang lebih tepat, serta memudahkan perbandingan bukan sahaja di peringkat syarikat, malah juga dalam kalangan syarikat, industri dan bidang kuasa yang berbeza dari semasa ke semasa.

Bengkel ini juga meneroka strategi dan pendekatan pemantauan yang berkesan, termasuk penyepaduan teknologi yang menyeluruh.

Pengawal selia audit dan pemantauan seterusnya menegaskan semula kepentingan pematuhan terhadap peraturan pelaporan kewangan dalam menegakkan integriti pasaran dan meningkatkan perlindungan pelabur.


SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup