Seminar Serantau mengenai Tadbir Urus Korporat tersebut dikendalikan di bawah naungan program Inisiatif Latihan Pengawal Selia Kewangan APEC.
Dalam menekankan kepentingan tadbir urus korporat kepada peserta seminar, Timbalan Ketua Eksekutif SC, Datin Zarinah Anwar berkata "tadbir urus yang baik ialah suatu kaedah untuk mencapai sesuatu matlamat, dan ia bukannya matlamat tersebut" ("
good governance is a means to an end and not an end in itself").
"Bagi syarikat, pasaran dan ekonomi dan sebagainya, tadbir urus yang baik menyediakan cara untuk mencapai kestabilan jangka panjang dan pertumbuhan yang mapan.
"Amalan tadbir urus korporat yang baik hendaklah ditambah dengan objektif utama mengiktiraf dan memaksimumkan nilai pemegang saham," kata Datin Zarinah.
Peserta seminar yang terdiri daripada kakitangan peringkat pertengahan pengawal selia pasaran kewangan dan penyelia-penyelia dari negara-negara APEC, gembira kerana seminar tersebut membolehkan mereka memperoleh kefahaman yang lebih jelas mengenai pendekatan am dan isu-isu tertentu berkaitan tadbir urus korporat.
Antara lain, peserta seminar dibentangkan dengan isu-isu penting berkaitan tadbir urus korporat seperti komposisi dan operasi lembaga pengarah, kewujudan dan tanggungjawab komposisi jawatankuasa audit, penamaan dan pampasan dan keperluan dan peranan juruaudit dan jururunding luar.
Seminar tersebut juga membincangkan peranan organisasi pengawalseliaan sendiri, hak-hak pemegang saham/pemegang kepentingan, undang-undang dan amalan terbaik tadbir urus korporat, pendekatan dalam latihan bagi pengarah, tindakan guaman pemegang saham dan bantuan lain yang tersedia bagi pemegang saham serta isu-isu mengenai penyamaran wang dan amalan salah yang lain.
Peserta seminar bertuah kerana memperoleh manfaat daripada pengalaman pakar-pakar tadbir urus korporat dari seluruh rantau. Para penceramah mewakili organisasi ternama seperti Asian Corporate Governance Association, Hong Kong; The Governance Group, Amerika Syarikat; Institut Tadbirurus Korporat Malaysia; Bank Pembangunan Asia; Singapore Institute of Directors; dan Hong Kong Institute of Company Secretaries.
Sejak pengenalannya pada tahun 1999, Inisiatif Latihan Pengawal Selia Kewangan APEC yang diuruskan oleh ADB, telah menjadi sumber latihan am dan khusus bagi kakitangan pengawal selia kewangan.