Komponen utama Pelan Tindakan adalah untuk memudahcarakan bina upaya bagi negara anggota. ACMF telah bekerjasama dengan Bank Pembangunan Asia (ADB) yang mana satu analisis keperluan telah dijalankan untuk memacu pembangunan program bina upaya yang dirangka khusus untuk negara-negara anggota secara individu dan berkumpulan. ACMF melancarkan Program Pengawal Selia Muda ASEAN sebagai program pertama yang akan dilaksanakan di bawah Program Pembangunan Pasaran ACMF. Program baharu ini bertujuan untuk menggalakkan perkongsian bersama dan pertukaran kepakaran dan pengalaman dalam kalangan pengawal selia pasaran modal dalam membina bekalan tenaga kerja yang berterusan dan untuk menggalakkan kerjasama dalam kalangan pengawal selia sekuriti ASEAN melalui peluang program peminjaman kakitangan pengawal selia pasaran modal ASEAN.
ACMF menyambut baik kemajuan rangka kerja bagi penawaran rentas sempadan bagi skim pelaburan kolektif ASEAN, mengambil maklum bahawa 13 dana telah diiktiraf oleh bidang kuasa negara masing-masing sebagai Skim Pelaburan Kolektif Berkelayakan ASEAN setakat ini, lima daripadanya telah diluluskan dan dilancarkan dalam bidang kuasa yang menjadi tuan rumah. ACMF mengalu-alukan kumpulan kerja dan negara anggota yang sedang berusaha untuk menyertai Rangka Kerja Skim Pelaburan Kolektif ASEAN dengan komitmen mereka.
Bagi mempercepatkan pelaksanaan inisiatif yang memudahcarakan penawaran rentas sempadan skim pelaburan kolektif, pengumpulan dana rentas sempadan dan kerterhubungan bursa saham ASEAN, tiga panel perundingan industri telah dibentuk di bawah naungan ACMF, dengan wakil daripada peserta utama industri dari negara-negara anggota ASEAN . Di samping itu, ACMF telah menjalin kerjasama dengan ADB untuk menjalankan satu kajian untuk mendapatkan input mengenai keterhubungan bursa saham ASEAN. ACMF juga akan bekerjasama dengan panel industri untuk terus melibatkan pihak berkepentingan tempatan dan antarabangsa untuk meningkatkan profil ASEAN sebagai destinasi pelaburan dan mempromosikan ASEAN sebagai satu kelas aset di samping meningkatkan daya tarikan inisiatif ACMF untuk memperoleh penyertaan yang lebih luas.
Elemen penting dalam penyepaduan serantau yang lebih besar ialah pergerakan para profesional pasaran modal di rantau ini. ACMF telah bersetuju untuk meningkatkan usaha dalam memudahcarakan pergerakan para profesional pasaran modal melalui rundingan bersama peserta industri di rantau ini.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA