Pengawal Selia Sekuriti Asia Pasifik Perkukuh Komitmen bagi Kerjasama Lebih Erat

Kuala Lumpur, 6 Februari 2002

Pengawal selia sekuriti dari rantau Asia Pasifik menyatakan keputusan mereka untuk mempertingkat kerjasama dalam tindakan penguatkuasaan terhadap aktiviti sekuriti yang menyalahi undang-undang, pada mesyuarat di Bali awal minggu ini.

Mesyuarat Jawatankuasa Serantau Asia Pasifik (APRC) Pertubuhan Antarabangsa Suruhanjaya Sekuriti (IOSCO) dianjurkan oleh Badan Pengawas Pasaran Modal Indonesia (BAPEPAM) pada 4 Februari 2002.

Mesyuarat APRC bertumpu kepada isu-isu kerjasama dan penguatkuasaan antarabangsa, khususnya terhadap perkembangan terkini dalam menangani peningkatan penipuan secara "panggilan rambang" di rantau ini.

Menyedari kepentingan kerjasama sedemikian, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mengambil kesempatan menandatangani satu memorandum persefahaman (MOU) dengan Securities and Exchange Commission Sri Lanka. Ini membawa jumlah MOU dua hala yang telah ditandatangani antara SC dengan rakan sejawatnya kepada 15.

"Pertumbuhan dan daya tarikan pasaran modal rantau ini amat bergantung kepada kredibiliti pengawal selianya dan keupayaan kita bekerjasama ke arah sasaran, matlamat dan standard pengawalseliaan yang sama," kata Pengerusi APRC, Datuk Ali Abdul Kadir, yang juga merupakan Pengerusi SC.

Pengerusi BAPEPAM, Encik Herwidayatmo menyatakan keperluan kepada kerjasama serantau.

"Usaha-usaha sedemikian (bagi kerjasama) akan memaksimumkan aspek positif proses globalisasi dan pada masa yang sama meminimumkan kesan negatifnya. Ini akan membantu kita mencapai tiga objektif pengawalseliaan sekuriti, iaitu: melindungi pelabur; memastikan pasaran yang adil, cekap dan telus; dan mengurangkan risiko sistemik," kata Pengerusi BAPEPAM itu.

Perkara penting lain di mesyuarat APRC tersebut ialah:

  • APRC telah membincangkan keberkesanan melaksanakan langkah seterusnya ke arah kerjasama kawal seliaan yang dipertingkat. APRC sebelum ini telah membincangkan MOU berbilang hala di kalangan ahli jawatankuasa APRC. Walau bagaimanapun, berikutan daripada peristiwa 11 September, IOSCO telah menubuhkan Pasukan Projek Khas mengenai kerjasama untuk mewujudkan MOU berbilang hala melibatkan IOSCO keseluruhannya. APRC menyumbang kepada usaha Pasukan Projek Khas IOSCO dan akan terus mempertimbangkan inisiatif MOU serantau berikutan perkembangan MOU melibatkan IOSCO keseluruhannya.
  • Mengenai kerjasama untuk membanteras skim panggilan rambang dan "boiler room" lepas sempadan yang beroperasi di rantau ini, APRC sedang merumus satu pendekatan serantau untuk menangani masalah tersebut. Jawatankuasa tersebut telah bersetuju bahawa menurut had yang dibenarkan bawah undang-undang tempatan, nama-nama pengendali tidak berlesen yang beroperasi dalam bidang kuasa ahli jawatankuasa APRC, akan disiarkan. Langkah ini terbukti amat berguna dalam memberi peringatan kepada pelabur mengenai organisasi panggilan rambang yang dikenal pasti.
  • Bantuan bersama di kalangan ahli jawatankuasa APRC berhasil dengan kejayaan tindakan penguatkuasaan di beberapa buah negara iaitu Thailand, Singapura, Filipina, Indonesia, Australia dan Hong Kong. Beberapa ahli jawatankuasa seperti New Zealand dan Malaysia telah mengeluarkan peringatan pelabur untuk menghalang pelabur awam daripada menjadi mangsa penipuan ini.
  • Ahli jawatankuasa APRC bersetuju untuk berkongsi maklumat mengenai pengawalseliaan terminal akses jauh di rantau ini, serta bantuan dan perlindungan pelabur. (Terminal akses jauh yang diletakkan oleh pihak bursa atau pasaran di luar negara mereka menyediakan pelabur luar negara akses secara langsung kepada sistem mereka).

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan APRC juga bermesyuarat pada masa yang sama di Bali, dipengerusikan oleh BAPEPAM. Di mesyuarat kali ini, memperakui bertambahnya peranan penting oleh pengawal selia sekuriti selepas peristiwa 11 September, ketua-ketua bahagian penguatkuasaan telah membincangkan isu penyamaran wang (money laundering) pada rangka kerja pengawalseliaan sekuriti dan hubungannya dengan pembiayaan aktiviti pengganas. Pertimbangan juga diberikan mengenai berbagai tindakan penguatkuasaan yang tersedia, di samping tindakan pendakwaan jenayah, untuk memastikan penguatkuasaan undang-undang sekuriti yang lebih berkesan dan efisien.

APRC, salah satu daripada empat jawatankuasa serantau IOSCO, terdiri daripada 22 ahli jawatankuasa dari 19 negara iaitu Australia, Bangladesh, China, Hong Kong, India, Indonesia, Japan, Korea, Republik Kyrgyz, New Zealand, Pakistan, Papua New Guinea, Filipina, Singapura, Sri Lanka, Taiwan, Thailand, Vietnam dan Malaysia. Datuk Ali merupakan Pengerusi APRC sejak Mei 2000.

IOSCO merupakan forum sedunia bagi pengawal selia sekuriti yang menangani isu-isu dan tuntutan berkaitan dengan pengawalseliaan pasaran sekuriti dan niaga hadapan. Keahlian IOSCO terdiri daripada lebih 170 pengawal selia sekuriti, ahli-ahli bersekutu dan gabungan.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup