"Ia sememangnya satu penghormatan besar bagi saya untuk menerima anugerah berprestij ini. Ia juga merupakan satu pengiktirafan besar ke atas peranan utama yang dimainkan oleh SC untuk meningkatkan pembangunan pasaran modal Islam di peringkat antarabangsa melalui inisiatif meluas yang dilaksanakannya selama ini, khususnya dalam mewujudkan rangka kerja kawal selia dan Syariah yang mantap dan memudah cara, yang turut menyumbang kepada kerancakan pasaran modal Islam Malaysia," kata Dato' Seri Ranjit Ajit Singh ketika menerima anugerah itu.
Antara inisiatif penting yang telah dilaksanakan termasuk peranan yang dimainkan dalam membangunkan piawaian pasaran modal Islam bersama badan penetap piawaian global, pewujudan rangka kerja pengurusan dana Islam dan rangka kerja Pelaburan Sukuk yang Mampan dan Bertanggungjawab yang pertama di dunia.
Dato’ Seri Ranjit juga menyampaikan Ucap Utama di Sidang Kemuncak Sukuk London 2016. Sejak mula ia dianjurkan pada 2007, selama 10 tahun berturut-turut, acara tahunan ini telah mengadakan Anugerah Kecemerlangan Sidang Kemuncak Sukuk yang mengiktiraf sumbangan dan pencapaian cemerlang individu, institusi, pusat supranasional dan kewangan dalam industri kewangan Islam global.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA