Pengukuhan Rangka Pengawalseliaan Unit Amanah: Langkah-langkah Bagi Meningkatkan Perlindungan Bagi Pelabur Unit Amanah

Kuala Lumpur, 31 Januari 1997

Menyedari betapa pentingnya unit amanah di dalam usaha menggalakkan simpanan serta menyumbang kepada perkembangan pasaran modal, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan telah mengumumkan beberapa langkah untuk menggalakkan lagi pertumbuhan industri tersebut pada Jun 1995. Untuk memperkemaskan pengawalseliaan unit amanah, Kerajaan telah mengumumkan bahawa sebuah badan pengawalseliaan sahaja akan bertanggungjawab bagi industri tersebut. Sedemikian itu, akibat pindaan kepada Akta Syarikat 1965 berkaitan skim unit amanah, dan berikutan penguatkuasaan Peraturan (Skim Unit Amanah) Suruhanjaya Sekuriti 1996 pada 30 Ogos 1996, Suruhanjaya Sekuriti ("SC") kini merupakan badan pengawalseliaan utama bagi industri unit amanah di Malaysia.

Beberapa perubahan telah dibuat dan sedang dirancang bagi rangka pengawalseliaan industri unit amanah, sejajar dengan pergerakan SC ke arah pengawalseliaan berdasarkan pendedahan ("disclosure-based regulation"). Kunci di dalam sebuah rejim berdasarkan pendedahan adalah penyediaan maklumat yang mencukupi dan berkaitan, dan juga penyebaran maklumat tersebut kepada para pelabur dengan cara yang tepat. Oleh sebab itu, SC sukacita mengumumkan langkah-langkah berikut untuk meningkatkan lagi perlindungan bagi para pelabur:-
  1. Penekanan yang lebih ke atas mutu kandungan prospektus unit amanah, terutama sekali pada keperluan untuk pendedahan yang secukupnya;
  2. Pengemaskinian pengawalseliaan untuk bahan pengiklanan dan promosi bagi produk unit amanah; dan
  3. Penubuhan sebuah rangka pengawalseliaan bagi pemasaran dan pengedaran produk unit amanah.
I. Penekanan ke atas Kualiti Prospektus
Peraturan (Skim Unit Amanah) Suruhanjaya Sekuriti 1996 yang baru diterbitkan mengandungi piawai bagi pendedahan yang akan memastikan mutu maklumat yang lebih tinggi didedahkan di dalam prospektus. Khususnya, Peraturan 9 menetapkan bahawa sebuah prospektus unit amanah "hendaklah mengandungi kesemua maklumat yang semunasabahnya dikehendaki oleh pelabur dan penasihat mereka, dan yang semunasabahnya dijangka dapat diperolehi dalam prospektus atau bagi maksud membuat suatu taksiran yang bermaklumat mengenai [skim unit amanah tersebut]". Disamping itu, Peraturan 10 menjadikan ianya suatu kewajipan bagi sesebuah syarikat pengurusan untuk memastikan yang sesuatu prospektus dikemaskinikan mengikut kesesuaian dengan mengkehendaki penerbitan prospektus tambahan jika (antara lainnya) terdapat sebarang pertukaran penting di dalam perkara yang didedahkan di dalam prospektus yang sebelumnya.
Peraturan-peraturan tersebut bertujuan untuk memberi perlindungan yang secukupnya kepada para pelabur dengan mewujudkan piawai bagi pendedahan berkaitan yang ketat. Struktur dan isikandung prospektus masakini telah banyak berubah berbanding dengan prospektus yang dikeluarkan sebelum peraturan-peraturan tersebut dikeluarkan - keperluan baru bagi sebuah seksyen maklumat penting dan lain-lain maklumat tertentu, dan pengguguran beberapa maklumat berkanun yang wajib didedahkan sebelumnya, telah menjadikan prospektus kini lebih senang digunakan ("user-friendly") dari sebelumnya. Sekarang, ianya menjadi tanggungjawab para pelabur untuk mengambil kesempatan yang diberikan oleh prospektus yang telah diperbaiki untuk menilai sendiri kesesuaian sesebuah pelaburan unit amanah.
II. Peraturan untuk Pengiklanan dan Bahan Promosi bagi Produk Unit Amanah
Peraturan (Skim Unit Amanah) Suruhanjaya Sekuriti 1996 memerlukan iklan-iklan dan bahan promosi bagi produk unit amanah diluluskan terlebih dahulu oleh pihak SC sebelum ianya diterbitkan. Di dalam hal ini, pihak SC telah mengeluarkan garispanduan ("Garispanduan Pengiklanan dan Bahan Promosi Unit Amanah" yang terkandung di dalam Notis kepada Syarikat Pengurusan Unit Amanah SC/UT-7/96) untuk mengawalselia proses tersebut. Garispanduan ini mengandungi butir-butir mengenai syarat-syarat yang mesti dipatuhi sebelum sebarang iklan dan/atau bahan promosi diluluskan. Setelah diluluskan, iklan-iklan dan bahan promosi mesti mempunyai kod pelepasan yang diberikan oleh SC dan kod ini, yang bermula dengan huruf "SC/PM", hendaklah dipaparkan dengan nyata pada iklan dan/atau bahan promosi tersebut.
Tujuan peraturan-peraturan dan garispanduan di atas adalah untuk memastikan bahawa iklan dan bahan promosi unit amanah adalah jujur, adil, seimbang dan setepat yang mungkin, agar para pelabur dapat membuat keputusan perlaburan bermaklumat, dan tidak dikelirui atau diperdaya untuk melabur di dalam skim yang tidak sesuai. Para pelabur adalah dengan demikian dinasihati agar memeriksa ketepatan bahan promosi yang dikemukakan sebelum menaruh kepercayaan pada pernyataannya.
III. Penubuhan Rangka Pengawalseliaan bagi Pemasaran dan Pengedaran Produk Unit Amanah
Rangka pengawaseliaan bagi pemasaran dan pengedaran produk unit amanah, bertujuan untuk memastikan penyebaran maklumat yang wajar, telah dilaksanakan berikutan rundingan panjang-lebar dengan pihak industri unit amanah, terutamanya Federation of Malaysian Unit Trust Managers ("FMUTM"), serta pihak-pihak berkuasa yang lain.
Rangka pengawalseliaan tersebut bertujuan untuk memastikan mereka yang terlibat di dalam aktiviti pemasaran dan pengedaran unit amanah adalah bertauliah dan menuruti amalan pemasaran yang sesuai. Melalui garispanduan yang diterbitkan dan keperluan untuk mendaftar, SC berharap dapat mempertingkatkan integriti dan professionalisma mereka yang terlibat di dalam pemasaran unit amanah, menggalakkan pemasaran unit amanah secara bertanggungjawab dan beretika, dan meningkatkan pemahaman dan pengetahuan mereka yang terlibat di dalam pemasaran unit amanah tentang unit amanah dan isu-isu lain.
Dalam pada itu, untuk menggalakkan pengawalseliaan barisan-hadapan ("front-line regulation") di dalam industri, pelaksanaan dan pentadbiran garispanduan yang berkenaan akan dilaksanakan oleh sebuah badan industri, iaitu FMUTM. Pihak SC telahpun meluluskan geran berjumlah RM1 juta untuk membantu FMUTM di peringkat permulaan pelaksanaan rangka pengawalseliaan tersebut.
Sebagai ringkasan, rangka pengawalseliaan di atas akan melibatkan perkara-perkara yang berikut:-
  • Penerbitan satu set garispanduan ["Garispanduan Pemasaran dan Pengedaran Unit Amanah" yang terkandung di dalam Notis kepada Syarikat Pengurusan Tabung Unit Amanah (SC/UT-8/97)] yang berkuatkuasa pada 31 Januari 1997. Garispanduan tersebut akan berkuatkuasa terhadap semua yang terlibat di dalam pemasaran dan/atau pengedaran unit amanah, iaitu mereka yang "berniaga unit amanah";
  • Mereka yang berhasrat untuk memasar dan mengedar unit amanah akan perlu mendaftar diri dengan FMUTM. FMUTM akan menyediakan nombor pendaftaran dan memberi kuasa kepada mereka yang terlibat untuk membolehkan mereka memasar dan/atau mengedar unit amanah. Pendaftaran dengan FMUTM hendaklah diperbaharui setiap tahun dengan membayar yuran tahunan disamping memenuhi keperluan-keperluan lain yang berkaitan; dan
  • FMUTM akan mempunyai tugas dan tanggungjawab tertentu di dalam melaksanakan dan menguruskan Garispanduan Pemasaran tersebut, termasuk tugas untuk menyiasat aduan-aduan kecil terhadap mereka yang berdaftar (walau bagaimanapun, tanggungjawab keseluruhan bagi disiplin mereka yang berdaftar terletak pada SC).
Garispanduan Pemasaran dan Pengedaran
Garispanduan Pemasaran dan Pengedaran Unit Amanah terbahagi kepada tiga bahagian:-

  1. Standard-standard Minimum bagi Pendaftaran Orang-Orang yang Berniaga Unit Amanah;
  2. Kod Etika dan Standard-Standard Kelakuan Professional; dan
  3. Struktur dan saiz agensi.

Standard Minimum Untuk Pendaftaran
Standard Minimum menetapkan syarat-syarat yang perlu dipenuhi oleh seseorang sebelum beliau boleh didaftarkan dengan FMUTM untuk memasar dan mengedar unit amanah, termasuk umur (minimum dua puluh satu (21) tahun), latarbelakang pendidikan (minimum Gred 3 Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau yang setaraf dengannya) dan latarbelakang kewangan dan peribadi (reputasi dan perwatakan yang baik). Yang paling penting ialah keperluan untuk lulus Peperiksaan Pra-Pendaftaran. Keperluan ini akan memastikan bahawa mereka yang terlibat benar-benar faham akan produk yang dipasarkan, termasuk ciri-ciri dan juga risiko dan pulangan pada sesebuah pelaburan.

Kod Etika dan Standard Kelakuan Professional
Kod Etika dan Standard Kelakuan Professional membentuk standard minimum berhubung dengan tingkah laku yang diharapkan daripada mereka yang berdaftar dan akan menjadi panduan bagi memastikan sama ada seseorang yang berdaftar bertindak dengan tatacara yang memenuhi kehendak Standard Minimum Untuk Pendaftaran sepanjang masa. Kod dan Standard tersebut adalah bertujuan untuk menyokong syarikat pengurusan tabung unit amanah di dalam usaha mereka untuk mengamalkan standard pemasaran yang berpatutan tetapi tidak menghalang syarikat-syarikat daripada merumuskan peraturan-peraturan yang lebih komprehensif untuk mengekal serta menggalakkan tingkah laku yang lebih professional dan beretika sekiranya syarikat-syarikat tersebut berhasrat untuk berbuat demikian.

Struktur dan Saiz Agensi
Struktur dan Saiz Agensi bertujuan untuk mengawalselia jumlah paras yang dibenarkan di dalam pasukan agensi sesebuah syarikat pengurusan dan jumlah 'downlines' (orang bawahan) di bawah seseorang penyelia bagi memastikan terdapat kawalan yang wajar dan kebertanggungjawapan agen-agen kepada penyelia mereka.

Pelaksanaan Rangka Pengawalselian
Pelaksanaan rangka pengawalseliaan bagi pemasaran dan pengedaran unit amanah akan dikendalikan di dalam dua peringkat. Peringkat yang pertama berkuatkuasa pada 31 Januari 1997. Peringkat pertama akan menyaksikan penerbitan Garispanduan Pemasaran dan Pengedaran Unit Amanah serta keperluan semua yang terlibat di dalam pemasaran untuk mendapatkan pendaftaran sementara dengan FMUTM sebelum memasar dan/atau mengedar unit amanah. Pendaftaran sementara akan membolehkan mereka yang berdaftar untuk memasar unit amanah sementara menunggu untuk menduduki Peperiksaan Pra-Pendaftaran yang akan dikendalikan oleh FMUTM. FMUTM akan mengendalikan Peperiksaan Pra-Pendaftaran secara beransur-beransur, dan peperiksaan pertama dijangkakan pada setengah tahun kedua 1997.

Rejim pendaftaran penuh akan berkuatkuasa pada 1 Julai 1998. Pendaftaran penuh akan memerlukan pematuhan terhadap semua peruntukan Garispanduan, termasuk keperluan Peperiksaan Pra-Pendaftaran. Dengan lain perkataan, selepas tarikh berkenaan, semua yang terlibat (termasuk mereka yang mempunyai pendaftaran sementara) perlu lulus Peperiksaan Pra-Pendaftaran sebelum didaftarkan sepenuhnya dengan FMUTM. Selepas 1 Julai 1998, hanya mereka yang mempunyai pendaftaran penuh akan diberi kuasa untuk memasar dan mengedar produk unit amanah.

Kesimpulan
Langkah-langkah di atas telah di ambil untuk mengukuhkan rangka pengawalseliaan industri unit amanah di Malaysia, untuk memberi perlindungan yang lebih baik kepada para pelabur.

SC berharap pelabur-pelabur awam akan tahu akan hak mereka bilamasa berurusan dengan mereka yang memasar dan mengedar unit amanah. Pelabur-pelabur hendaklah sentiasa memastikan bahawa mereka ini didaftarkan dengan FMUTM untuk memasar dan mengedar unit amanah dan hendaklah meminta bukti pengenalan di dalam bentuk Kad Kuasa yang diterbitkan oleh FMUTM. Tambahan lagi, pelabur-pelabur harus membaca dan memahami kandungan prospektus dana yang ditawarkan, dan hanya menaruh kepercayaan pada iklan dan bahan promosi yang telah mendapat pelepasan SC, iaitu dengan terpaparnya kod pelepasan SC yang berkaitan. SC ingin mengingatkan pelabur-pelabur bahawa tidak terdapat sebarang jaminan di dalam pelaburan unit amanah, oleh itu, tidak terdapat pengganti kepada membuat keputusan yang bermaklumat semasa menilai sama ada untuk melabur di dalam unit amanah ataupun sebaliknya.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Diterbitkan oleh Unit Hal Ehwal Korporat. Untuk keterangan lanjut sila hubungi Izelan Basar (03-2507511), Nafizah Omar (03-2507550) atau Karen de Cruz (03-2597164).
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup