Pengumuman Usaha Niaga oleh Syarikat Awam Tersenarai Dalam Perniagaan Internet Mesti Berdasarkan Penzahiran Sepenuhnya dan Adil

Kuala Lumpur, 22 Mac 2000

Suruhanjaya Sekuriti (SC) ingin mengingatkan syarikat awam tersenarai untuk mematuhi prinsip penzahiran yang sepenuhnya dan adil apabila membuat pengumuman dan kenyataan mengenai rancangan usaha niaga mereka dalam perniagaan Internet. Ini adalah penting bagi membantu para pelabur membuat keputusan pelaburan yang wajar dalam syarikat awam tersenarai tersebut dan menyumbang ke arah mengekalkan keyakinan pelabur dan pasaran yang adil di tengah-tengah minat terkini terhadap saham-saham teknologi dan cadangan korporat yang berkaitan dengan Internet.

SC mengambil berat tentang standard penzahiran yang ditunjukkan oleh segelintir syarikat awam tersenarai apabila mengumumkan atau membuat kenyataan mengenai usaha niaga Internet mereka. Memandangkan perniagaan elektronik adalah berbeza daripada perniagaan tradisional dan kebanyakan usaha niaga adalah samada baru bermula atau masih di tahap awal penubuhan, terdapat keperluan bagi penzahiran usaha niaga tersebut yang lengkap, tepat dan bertepatan masa serta disokong oleh proses ketekunan wajar yang sesuai.

Dengan ini, SC ingin mengingatkan syarikat awam tersenarai bahawa adalah menjadi satu kesalahan di bawah Seksyen 86 Akta Perindustrian Sekuriti 1983 bagi sesiapa yang membuat kenyataan, atau menyebarkan maklumat, yang palsu atau mengelirukan dan yang boleh mempengaruhi penjualan atau pembelian sekuriti atau yang boleh memberi kesan kenaikan, penurunan, pengekalan atau penstabilan harga pasaran sekuriti.

Tambahan lagi, syarikat awam tersenarai juga diharapkan untuk mematuhi sepenuhnya prinsip dasar penzahiran korporat di bawah Keperluan Penyenaraian Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).

Bagi membimbing terus syarikat awam tersenarai mengenai apa yang hendak dizahirkan kepada pasaran berkenaan usaha niaga Internet mereka, BSKL telah, pada masa yang sama, mengeluarkan nota amalan yang berkaitan mengenai kewajipan penzahiran perkara tersebut.

SC juga ingin mengingatkan para pelabur supaya berhati-hati apabila melabur dalam syarikat awam tersenarai yang bercadang untuk menjalankan usaha niaga dalam perniagaan berkaitan Internet. Para pelabur harus menyedari bahawa mereka melabur atas potensi sesuatu usaha niaga, dan bukan atas perniagaan yang telah sedia tertubuh, yang mana potensinya mungkin tidak menjadi kenyataan. Para pelabur harus mendapatkan nasihat daripada profesional, seperti remisier mereka, para broker, akauntan dan penasihat pelaburan, serta harus mengumpul maklumat yang secukupnya mengenai syarikat awam tersenarai berkenaan dan usaha niaga berkaitan Internet yang dicadangkan, sebelum membuat keputusan untuk melabur.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup