Dengan pindaan ini, pelabur produk dan perkhidmatan pasaran modal yang ditawarkan oleh atau melalui bank-bank perdagangan dan Islam yang dilesenkan oleh BNM kini mempunyai akses perkhidmatan penyelesaian pertikaian melalui SIDREC.
Sebelum ini, pelabur pasaran modal yang mempunyai pertikaian ketika berurusan dengan entiti di bawah bidang kuasa BNM dirujuk kepada Biro Pengantaraan Kewangan (BPK). SC dan BNM akan bekerjasama dengan SIDREC dan BPK dalam memastikan peralihan yang lancar bagi pihak bank-bank dan pelabur. Sehubungan ini, para pelabur yang masih mempunyai kes dengan BPK tidak perlu mengemukakan semula tuntutan mereka kepada SIDREC.
SIDREC ialah badan bebas yang ditubuhkan oleh SC pada 2011 bagi penyelesaian pertikaian antara pelabur dan pengantara pasaran modal. Dengan kemasukan 43 bank-bank komersial dan Islam ini, SIDREC kini mempunyai 191 ahli, yang juga terdiri daripada syarikat broker saham, broker derivatif, syarikat pengurusan unit amanah, pengurus dana, penyedia dan pengedar skim persaraan swasta.
Sebagai sebuah pusat sehenti bagi penyelesaian tuntutan berhubung dengan produk dan perkhidmatan pasaran modal, SIDREC bermatlamat dalam memastikan para pelabur mempunyai akses kepada saluran kepakaran bagi penyelesaian pertikaian yang bebas dan tidak berat sebelah. Perkhidmatan SIDREC adalah percuma kepada pelabur dan mereka boleh memfailkan penyelesaian pertikaian dengan tuntutan sehingga RM250,000. SIDREC juga menyediakan khidmat pengantaraan bagi tuntutan melebihi RM250,000 yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Untuk maklumat lanjut mengenai SIDREC, sila layari https://sidrec.com.my/.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
BANK NEGARA MALAYSIA