Perdana Menteri Lancar Program Bakat Pasaran Modal untuk Graduan

SIARAN MEDIA

Kuala Lumpur, 19 Jun 2023

Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim hari ini telah melancarkan inisiatif terbaharu pasaran modal bertujuan meningkatkan kebolehpasaran graduan dan membangunkan saluran bakat mampan. Inisiatif ini dijangka mengatasi kekurangan tenaga mahir dalam pasaran modal.

Inisiatif tiga tahun ini, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri dalam Belanjawan 2023, diterajui oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC). Ia diadakan dengan kerjasama Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Bursa Malaysia, serta permain industri pasaran modal yang terkemuka. Ia juga merupakan kolaborasi pertama antara SC, industri pasaran modal, dan universiti.

Turut serta dalam majlis pelancaran yang dihadiri lebih 1,000 orang ini termasuk Menteri Pendidikan Tinggi Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin, Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan, pegawai-pegawai kanan kerajaan, pemimpin-pemimpin industri pasaran modal, naib-naib canselor universiti awam dan swasta, serta mahasiswa universiti.

Pengerusi SC, Dato' Seri Dr. Awang Adek Hussin menegaskan bahawa pelaburan dalam pendidikan serta pembangunan bakat merupakan agenda utama bagi SC dan pasaran modal.

"Dengan kadar peralihan bakat yang tinggi terutamanya dalam industri seperti pasaran modal, tumpuan terhadap pembangunan bakat-bakat tersebut adalah amat penting," katanya.

"Program ini diperkenalkan bagi membantu mengatasi masalah ketidaksepadanan bakat (mismatch of talent) antara graduan dan keperluan industri, yang sedang mengalami peralihan ke dunia digital. Oleh itu, adalah penting bantuan ‘last mile’ diberikan kepada graduan untuk mengurangkan mismatch ini.”

"Kami berharap inisiatif ini akan dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan dan membolehkan mereka mendapat pelbagai peluang pekerjaan dalam pasaran modal," katanya.

Program ini dibiayai oleh Dana Pembangunan Pasaran Modal (CMDF) dengan peruntukan sebanyak RM30 juta.

Dalam majlis pelancaran tersebut, Perdana Menteri turut mengumumkan nama rasmi inisiatif tersebut iaitu investED, Melahirkan Tenaga Mahir Pasaran Modal, bagi membantu 9,000 mahasiswa mengembangkan kemahiran dan kebolehpasaran terutamanya dalam industri pasaran modal, dalam tempoh tiga tahun bermula tahun ini.

investED dijangka membuka peluang pekerjaan kepada sebanyak 600 graduan dalam tempoh tiga tahun tersebut melalui penempatan pekerjaan dan latihan dalam pekerjaan yang disediakan oleh firma dalam industri pasaran modal di bawah Program Kepimpinan investED.

Selain itu, sebanyak 2,400 graduan akan mendapat manfaat daripada Program Asasi investED, sebuah program pensijilan berstruktur yang dikendalikan oleh Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC), badan pembelajaran dan pembangunan SC.

Dato' Seri Dr. Awang Adek menyatakan bahawa investED selaras dengan dasar kerajaan untuk memperkukuhkan sistem pendidikan tinggi, melalui kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam melahirkan tenaga kerja mahir bagi memenuhi keperluan pasaran pekerjaan.

Semasa pelancaran investED, Perdana Menteri turut melawat pameran kerjaya dengan penyertaan oleh bank pelaburan, broker saham, dan pengurus dana. Beliau juga berinteraksi dengan lebih daripada 400 mahasiswa yang hadir dalam acara tersebut.

Sesi perkongsian kerjaya yang melibatkan penceramah dari SC dan industri pasaran modal turut diadakan. Mahasiswa daripada lebih 15 universiti awam dan swasta turut serta dalam sesi tersebut bagi mendapatkan prospek peluang kerjaya dalam industri pasaran modal.

Permohonan untuk Program Kepimpinan investED kini dibuka kepada graduan baru serta pelajar yang bakal menamatkan pengajian pada tahun ini. Permohonan boleh dibuat di https://www.invested.my/leadership-programme/.

Program Kepimpinan investED melibatkan pembelajaran komprehensif selama sebulan dan penempatan kerja selama enam bulan di syarikat-syarikat yang ditetapkan. Graduan yang terpilih akan menerima elaun sebanyak RM2,000 dalam tempoh latihan formal dan elaun bulanan minimum sebanyak RM2,400 dalam tempoh penempatan kerja.

Setakat ini, Program Asasi investED telah menerima lebih daripada 1,000 permohonan, melebihi sasaran 800 permohonan.

Program Kepimpinan pula telah menerima lebih daripada 250 permohonan, melebihi sasaran 200 permohonan. Daripada jumlah tersebut, kira-kira 100 graduan telah dipilih sebagai kohort pertama Program bagi menjalani penempatan di tempat kerja selama enam bulan.

Program Kepimpinan investED yang pertama kali dianjurkan ini melibatkan penyertaan lebih 70 syarikat pasaran modal. Program ini menyediakan lebih 200 penempatan pekerjaan kepada pelajar yang mengambil bahagian, termasuk 150 pekerjaan tetap.

Untuk maklumat lanjut mengenai investED dan program-programnya, sila layari https://www.invested.my/.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup