PERINGATAN PELABUR: SC Sekat Akses ke Laman Web Skim Pelaburan Tidak Sah, Pelabur Digesa Tutup Akaun Serta Merta

Kuala Lumpur, 31 Mei 2007

Suruhanjaya Sekuriti (SC) hari ini mengumumkan bahawa ia akan memulakan operasi menyekat akses kepada laman-laman web yang menawarkan skim pelaburan tidak sah kepada orang ramai di Malaysia. Operasi ini akan bermula pada 11 Jun 2007.

Semua pelabur sedia ada skim melalui Internet tersebut adalah digesa agar mengeluarkan pelaburan mereka dan menutup akaun mereka serta merta. Pelabur tidak akan boleh memasuki akaun mereka apabila akses ke laman web berkenaan disekat.

SC bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan CyberSecurities Malaysia untuk menjejak, mengenal pasti dan menyekat akses kepada laman-laman web tempatan dan asing yang mempromosikan skim penipuan pelaburan.

Langkah terkini oleh SC ini adalah rentetan daripada siri amaran berulang dan peringatan kepada pelabur mengenai skim pelaburan tidak sah. SC telah mewujudkan satu pasukan petugas dalaman dan telah memulakan kempen kesedaran pelabur yang menyeluruh mengenai skim penipuan pelaburan internet. Walaupun amaran berulang telah diberikan, masih terdapat mereka yang terus melabur dalam skim pelaburan tidak sah ini. Antara bulan April dan Mei 2007, SC telah menerima kira-kira 720 pertanyaan dan aduan berkaitan dengan skim pelaburan internet tidak sah yang mana sesetengah orang ramai melaporkan bahawa mereka telah kehilangan sejumlah wang yang banyak.

Skim pelaburan tidak sah yang dipromosikan di Internet adalah tidak dilesenkan oleh SC untuk memberikan nasihat pelaburan yang berkaitan dengan aktiviti sekuriti atau niaga hadapan atau menjalankan aktiviti pengurusan dana di Malaysia. Orang ramai adalah diingatkan bahawa mereka hendaklah hanya melabur dengan pihak yang dilesenkan oleh SC agar mendapat perlindungan yang disediakan di bawah undang-undang sekuriti.

Senarai syarikat dan individu yang dilesenkan oleh SC untuk terbabit dalam aktiviti pelaburan boleh didapati di www.sc.com.my. Laman web SC juga menyediakan senarai yang dikemas kini secara berkala syarikat dan laman web yang diketahui yang tidak diberi kuasa atau tidak diluluskan di bawah undang-undang sekuriti untuk berurusan dalam sekuriti, memberikan nasihat pelaburan dan/atau perkhidmatan pengurusan dana yang berkaitan dengan sekuriti atau niaga hadapan. Pelabur adalah dinasihatkan agar menyemak senarai tersebut sebelum melabur dengan mana-mana pihak.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup