Perkhidmatan Ombudsman Pasaran Kewangan: Pusat Penyelesaian Pertikaian untuk Pengguna dan Pelabur Kewangan

Kuala Lumpur, 17 Januari 2025

Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (Securities Commission Malaysia, SC) hari ini melancarkan Perkhidmatan Ombudsman Pasaran Kewangan (Financial Markets Ombudsman Service, FMOS). FMOS berfungsi sebagai pusat penyelesaian pertikaian untuk pengguna dan pelabur kewangan di seluruh negara.

FMOS ialah gabungan Ombudsman Perkhidmatan Kewangan (Ombudsman for Financial Services, OFS) dengan Securities Industry Dispute Resolution Center (SIDREC). Pengawasan secara bersama oleh BNM dan SC ini akan membantu FMOS beroperasi dengan lebih berkesan menerusi penyelarasan piawaian pengawalseliaan dan pada masa yang sama melindungi kepentingan pengguna, pelabur dan industri kewangan.

Selaras dengan fungsi OFS dan SIDREC, FMOS berperanan sebagai alternatif kepada sistem kehakiman menerusi penyediaan perkhidmatan pengantaraan dan adjudikasi yang bebas dan adil. Proses penyelesaian pertikaian yang diperkemas dan konsisten ini juga akan membolehkan penyelesaian yang lebih pantas dan telus untuk para pengguna dan pelabur.

Gabenor Bank Negara Malaysia Dato’ Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, “Penubuhan FMOS mencerminkan komitmen berterusan Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti untuk mempertingkatkan kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan penyelesaian pertikaian. Inisiatif ini bukan sahaja memperkukuh keyakinan pengguna tetapi juga memantapkan integriti dan akauntabiliti penyedia perkhidmatan kewangan dan pasaran modal, yang akhirnya menyumbang kepada ekosistem kewangan yang lebih kukuh dan diyakini.”

Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Dato’ Mohammad Faiz Azmi berkata, “FMOS memudahkan proses penyelesaian bagi pengguna dan pelabur kewangan dengan menyediakan platform sehenti yang diyakini. Langkah ini amat penting terutamanya ketika pasaran kewangan dan modal semakin sukar dibezakan. FMOS turut menggalakkan piawaian dan keputusan yang konsisten, lantas mengukuhkan lagi keyakinan terhadap sistem ini.”

Susulan trend nilai purata transaksi kewangan oleh pengguna yang meningkat, BNM telah memperkemas had monetari pertikaian yang layak yang melibatkan akaun atau transaksi kewangan kepada RM250,000. Had ini memperluas skop perlindungan dan memastikan lebih banyak pengguna dapat mengakses perkhidmatan penyelesaian pertikaian secara percuma. Langkah ini selaras dengan had monetari yang layak dan sedia ada bagi pertikaian yang melibatkan akaun dan transaksi pelaburan yang ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan pasaran modal bawah pengawalseliaan SC. Perubahan ini selaras dengan komitmen FMOS untuk membuat penyesuaian dengan landskap kewangan yang berkembang, iaitu nilai transaksi atau nilai akaun mungkin lebih tinggi.

Untuk maklumat lanjut mengenai FMOS dan perkhidmatannya, sila layari www.fmos.org.my atau hubungi pusat perhubungan FMOS menerusi talian 03-2272 2811 dari pukul 9:00 pagi hingga 5:00 petang, hari Isnin hingga Jumaat.

Bank Negara Malaysia
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup