Pelabur Bijak ialah permainan pendidikan atas talian berasaskan versi Inggeris permainan “Wise Investor”, yang dilancarkan oleh SIDC pada tahun 1999.
“Pelabur Bijak diwujudkan untuk memenuhi permintaan bagi kaedah pendidikan pelaburan dalam bahasa kebangsaan, ” kata Teh Ija Mohd Jalil, Pengurus SIDC.
“Permainan itu merupakan alat belajar sendiri, satu cara yang inovatif dan menyeronokkan bagi orang ramai untuk mempelajari dengan lebih lanjut mengenai pelbagai produk (pasaran modal) dan memperolehi pengalaman melabur dalam pasaran saham. Ia boleh digunakan dalam persekitaran latihan bilik darjah/kuliah,” kata Teh Ija.
“Ia juga mendidik orang ramai mengenai strategi dagangan yang berguna bagi mereka untuk membuat keputusan yang berdasarkan pengiraan apabila mereka melabur dalam “persekitaran sebenar”, kata Teh Ija.
Walau bagaimanapun, Teh Ija menekankan bahawa adalah penting bagi orang ramai untuk mendapatkan bantuan daripada individu berlesen apabila mereka benar-benar membuat keputusan untuk melabur.
Pelabur Bijak, seperti Wise Investor, mempunyai tiga kategori; menjalankan dagangan dalam saham, bon dan niaga hadapan indeks saham. Di setiap pilihan, pemain perlu menganalisis dan menilai berita dan peristiwa berkaitan keadaan ekonomi untuk menentukan arah pasaran, dan kemudiannya membuat keputusan ke atas urus niaga sama ada untuk membeli, menjual atau mengekalkan pelaburan mereka. Objektifnya ialah untuk melaksanakan urus niaga yang menguntungkan pada akhir permainan itu.
Selain daripada glosari mengenai istilah pasaran saham, Pelabur Bijak juga menyediakan tutorial mengenai tajuk asas pelaburan, iaitu:
- “Biarkan wang anda bekerja untuk anda – memahami keperluan untuk melabur”
- “Lima jenis pelaburan asas – menentukan instrumen pelaburan yang terbaik bagi anda”
- “Memilih saham – memahami kaedah memilih saham”
- “Apakah khidmat yang broker boleh berikan bagi anda – menerangkan peranan yang dimainkan oleh broker anda dalam menawarkan nasihat pelaburan dan/atau melaksanakan arahan urus niaga”
- “Membaca halaman saham – menentukan harga penutup, hasil, perubahan jualan dan harga”
- “Peraturan emas– mengkaji semula 10 prinsip asas pelaburan apabila melabur dalam pasaran saham”