Program Sarjana Tamu yang diadakan bagi tahun kedua itu merupakan satu lagi inisiatif bersama antara Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS). Inisiatif pertama adalah Sidang Meja Bulat tahunan SC-OCIS mengenai kewangan Islam yang merupakan satu platform kepimpinan pemikir bagi perbahasan dan perbincangan antarabangsa mengenai isu-isu kewangan Islam yang berkesan dalam membentuk forum bagi para cendekiawan Syariah, ahli akademik, pengawal selia dan pengamal kewangan Islam dalam pelbagai bidang untuk mencari penyelesaian terhadap isu-isu dan cabaran yang mempengaruhi landskap kewangan Islam.
Pemohon dan calon-calon bagi Felo Tamu di bawah Program Sarjana Tamu tersebut mestilah mereka yang pakar dalam kewangan Islam dan/atau dalam bidang yang berkaitan, terutama yang mempunyai pengalaman dalam membuat dasar dengan mana-mana badan antarabangsa atau yang setara. Pemohon mestilah boleh menunjukkan kecekapan dalam melakukan penyelidikan akademik secara bebas.
Permohonan hendaklah dikemukakan kepada ‘Registrar, Oxford Centre for Islamic Studies, George Street, Oxford OX1 2AR, United Kingdom’ selewat-lewatnya pada 17 Mei 2013. Maklumat lanjut mengenai Program Sarjana Tamu itu boleh didapati di seksyen Felo (
Fellowship section) di laman sesawang OCIS di www.oxcis.ac.uk, yang mana butiran lanjut boleh dimuat turun.
Calon yang berjaya dikehendaki menjalankan penyelidikan ke atas satu topik yang berkaitan dengan pembangunan kewangan Islam kontemporari yang relevan dengan bidang tersebut, di samping menyertai pelbagai aktiviti akademik di OCIS. Tempoh felo tersebut ialah satu tahun akademik. Felo Pelawat akan diberikan keahlian Pusat Pengajian tersebut dan mempunyai akses sepenuhnya terhadap kemudahannya termasuk ruang pejabat secara berkongsi. Geran sebagai 10,000 pound sterling (£10,000) akan diberikan untuk sara hidup, perjalanan dan perbelanjaan penyelidikan Felo Pelawat.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA