Permohonan Program Kepimpinan investED SC 2024 Dibuka
200 Graduan akan Dilatih untuk Industri Pasaran Modal

SIARAN MEDIA

Kuala Lumpur, 16 Mei 2024

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mempelawa permohonan untuk kohort kedua Program Kepimpinan investED, sebuah program siswazah pasaran modal.

investED bertujuan untuk meningkatkan kebolehpasaran graduan dan memastikan saluran bakat yang mampan untuk industri pasaran modal. Ia telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada Jun 2023.

Inisiatif ini bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan pasaran modal bagi seramai 9,000 pelajar universiti serta menyediakan pekerjaan dalam industri pasaran modal kepada sehingga 600 graduan antara tahun 2023 dan 2025. Program tiga tahun itu diterajui oleh SC dengan kerjasama Kementerian Kewangan dan Kementerian Pendidikan Tinggi.

Program Kepimpinan ini telah menarik kira-kira 2,500 permohonan untuk kohort pertamanya pada tahun lepas. Pelatih Kohort 1 akan menamatkan pengajian dari program tersebut pada 27 Mei 2024. Sebahagian daripada mereka telah diambil bekerja oleh beberapa bank pelaburan dan pemain pasaran modal.

Program Kepimpinan investED terdiri daripada latihan kelas komprehensif selama sebulan, memberi fokus pada topik Pasaran Modal, Kepimpinan, Kemampanan dan Tadbir Urus di Asia School of Business, diikuti dengan latihan sambil kerja selama enam bulan dengan rakan kongsi investED daripada industri pasaran modal.

Selain berpotensi untuk membina kerjaya dalam industri pasaran modal, pelatih juga menerima elaun bulanan sebanyak RM2,400 sepanjang tempoh latihan.

Berikut adalah syarat-syarat untuk layak menyertai program:
  • Warganegara Malaysia
  • Calon yang layak termasuk pelajar tahun akhir atau graduan baru
  • PNGK minimum 3.0 diperlukan
  • Pemohon mesti mencapai skor Band minimum 3.5 dalam Malaysian University English Test (MUET) atau sekurang-kurangnya 6.0 dalam International English Language Testing System (IELTS) atau mana-mana yang setara dalam ujian kemahiran bahasa Inggeris

Tarikh akhir permohonan ditetapkan pada 30 Jun 2024 ini. Permohonan boleh dikemukakan melalui www.invested.my.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup