Pernyataan Bersama oleh Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia Mengenai Pelaksanaan Makmal Inovasi Kewangan Iklim

Kuala Lumpur, 18 Jun 2025

Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (Joint Committee on Climate Change, JC3) telah mengeluarkan maklumat lanjut mengenai Makmal Inovasi Kewangan Iklim (Climate Finance Innovation Lab, CFIL) yang diadakan semasa Sasana Symposium 2025 di Bank Negara Malaysia (BNM). Inisiatif ini bertujuan untuk mempercepat pembangunan penyelesaian kewangan iklim yang inovatif.

Seperti yang telah dibincangkan oleh ahli pleno JC3 dalam mesyuarat JC3 yang ke-14 pada bulan Januari tahun ini, CFIL merupakan platform kerjasama yang melibatkan sektor awam, swasta dan dermawan. Platform ini bertujuan untuk mengenal pasti, membangunkan bersama dan melaksanakan penyelesaian kewangan iklim inovatif yang memperkukuh daya tahan iklim Malaysia.

CFIL memberikan tumpuan pada empat bidang bertema utama, iaitu peralihan tenaga dan inovasi hijau, pertanian lestari, ekonomi kitaran dan bandar lestari, serta penyelesaian berasaskan alam semula jadi dan biodiversiti. Berdasarkan inisiatif dan projek rintis yang telah dijalankan sebelum ini, CFIL menandakan pencapaian penting Malaysia menuju matlamat kelestarian. Pencapaian ini turut mengukuhkan lagi komitmen JC3 dalam memacu tindakan iklim yang memberikan impak melalui kerjasama strategik dan pembiayaan inovatif.

CFIL yang dikendalikan oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) akan menggunakan pendekatan modular bagi memastikan kecekapan dan keberkesanan yang berterusan dalam proses idea dan reka bentuk penyelesaian kewangan. Pemilik projek yang layak akan mendapat akses kepada pembiayaan, bantuan teknikal dan rangkaian pihak kepentingan yang lebih luas untuk melaksanakan projek mereka.

Penolong Gabenor BNM dan Pengerusi Bersama JC3, Madelena Mohamed berkata, “Malaysia amat memerlukan lebih banyak tindakan yang positif berhubung dengan alam semula jadi dan meningkatkan kewangan iklim. Penglibatan sektor swasta yang lebih meluas adalah penting untuk mempercepat usaha berkaitan iklim ke arah pembangunan negara yang mampan. CFIL bertujuan untuk memperkukuh kerjasama antara sektor awam, swasta dan dermawan melalui struktur kewangan campuran, mekanisme yang inovatif dan instrumen kewangan Islam. Kami menyeru semua pihak berkepentingan untuk berganding bahu dalam usaha ini, demi memacu perubahan berimpak dan membina Malaysia yang berdaya tahan.”

Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Pengerusi Bersama JC3, Salmah Bee Mohd Mydin berkata, “Matlamat kami adalah supaya CFIL menjadi inkubator bagi projek-projek pemangkin yang sangat penting demi mencapai matlamat iklim negara, namun wujud cabaran untuk mendapatkan pembiayaan melalui saluran sedia ada. Dengan sokongan JC3 dan industri kewangan, CFIL berperanan untuk menghubungkan pemilik projek dengan pelbagai penyumbang dana bagi meningkatkan penyelesaian berkaitan iklim dan alam semula jadi di Malaysia.”

Maklumat lanjut mengenai CFIL boleh didapati melalui laman sesawang myCFIL.com atau e-mel [email protected].
Bank Negara Malaysia
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup