Bertemakan
“Invest Smart” or
“Bijak Labur”, Pesta InvestSmart® tahunan ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap asas-asas pelaburan dan menyediakan para pelabur dengan pengetahuan serta membuat pertimbangan yang sewajarnya ketika membuat keputusan pelaburan.
"Pelabur yang berpengetahuan adalah pelabur yang dilindungi. Dengan memperlengkapkan orang ramai dengan keupayaan untuk mengenal pasti dan menilai peluang pelaburan dan cabarannya, pelabur bukan sahaja mampu melindungi kepentingan mereka dengan lebih baik malah mereka juga boleh bertindak sebagai penyampai maklumat kepada SC dalam usaha membanteras sebarang penipuan atau salah laku, " kata Datuk Syed Zaid Albar, Pengerusi SC.
InvestSmart® menyediakan peluang unik kepada orang ramai dengan mengetengahkan pelbagai kumpulan peserta pasaran modal. InvestSmart ® Fest tahun ini menampilkan lebih daripada 50 organisasi yang mengambil bahagian yang terdiri daripada institusi pasaran kewangan, perantara, persatuan, agensi kawal selia dan kerajaan di bawah satu bumbung untuk meningkatkan pengetahuan dan penawaran produk dan perkhidmatan pasaran modal.
Pengunjung juga boleh mempelajari tentang platform pelaburan alternatif seperti pendanaan ekuiti ramai, pembiayaan antara rakan setara, syarikat pengurusan pelaburan digital dan bursa aset digital di "Pavilion Digital", satu segmen khas di Pesta tersebut.
Di samping itu, acara selama tiga hari itu juga menawarkan lebih 400 perundingan secara percuma bersama perancang kewangan berlesen di kaunter khidmat kewangan #FinPlan4U. Orang ramai boleh mendapatkan penilaian awal tentang status kewangan mereka dan maklumat mengenai cara untuk mengurus simpanan dan pelaburan mereka. #FinPlan4U tahun ini juga menampilkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), yang akan menawarkan khidmat nasihat persaraan.
Selaras dengan usaha untuk menggalakkan penyertaan bermaklumat dalam pasaran modal, Aplikasi Mudah Alih Bond + Sukuk Information Exchange telah dilancarkan ketika hari pertama Pesta InvestSmart® kelmarin (18 Oktober 2019). Dibangunkan oleh BIX Malaysia, aplikasi mudah alih ini membolehkan para pelabur memperoleh maklumat terkini mengenai bon dan sukuk melalui telefon pintar mereka.
InvestSmart® disokong oleh Bursa Malaysia, Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia, Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia dan Majlis Perancangan Kewangan Malaysia. Untuk maklumat lanjut mengenai Pesta InvestSmart®, layari
www.investsmartsc.my atau
facebook.com/InvestSmartSC.