Pixelvest Didenda RM3 juta kerana Aktiviti Pasaran Modal Tidak Berlesen, Pengarah Dihukum Penjara Tiga Tahun

Pengarah juga dipenjara kerana kesalahan pengubahan wang haram

Kuala Lumpur, 4 Ogos 2025

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur baru-baru ini telah mensabitkan kesalahan Pixelvest Sdn Bhd (Pixelvest) dan pengarahnya Ang Jen Chuen (Dexter Ang) atas kesalahan berkaitan aktiviti pasaran modal tidak berlesen. Dexter Ang sebelum ini disabitkan kesalahan pengubahan wang haram pada 28 Julai 2025.

Pixelvest, yang diwakili Dexter Ang, mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah seksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) kerana menjalankan perniagaan dalam pengurusan dana tanpa lesen. Pixelvest didenda RM3 juta oleh Hakim Mahkamah Sesyen Puan Siti Shakirah binti Dato' Wira Mohtarudin.

Dexter Ang juga mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah seksyen 58(1) CMSA atas kapasitinya sebagai pengarah Pixelvest. Dia dijatuhi hukuman penjara tiga tahun, bermula dari tarikh tangkapan pada 10 Januari 2024.

Pada 28 Julai 2025, Dexter Ang mengaku bersalah terhadap lapan pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang di bawah seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Puan Norma binti Ismail. Dia dijatuhi hukuman penjara tiga tahun bagi setiap kesalahan dari tarikh tangkapan pada 10 Januari 2024. Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bagi kesemua lapan pertuduhan berjalan serentak.

Kesalahan yang dilakukan oleh Pixelvest dan Dexter Ang berlaku di Kuala Lumpur dan Selangor antara Disember 2020 dan Januari 2023.

Dexter Ang telah ditangkap dan dikenakan pertuduhan oleh SC pada 10 Januari 2024 atas kesalahan di bawah AMLATFPUAA, dan selepas itu pada 26 Februari 2024 atas kesalahan di bawah CMSA. Pixelvest telah dikenakan pertuduhan pada 10 Mei 2024. Kedua-duanya telah menuntut dibicarakan terhadap semua pertuduhan pada mulanya.

Pengurusan dana merupakan aktiviti terkawal dan mana-mana individu yang menjalankan perniagaan pengurusan dana memerlukan lesen daripada SC di bawah CMSA. SC memandang serius aktiviti tidak berlesen dan kekal komited terhadap perlindungan pelabur dengan mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap mereka yang melanggar undang-undang.

Pelabur diingatkan untuk menyemak Senarai Makluman Pelabur SC, yang sentiasa dikemas kini, jika ada syarikat atau individu yang mencurigakan yang mungkin menjalankan aktiviti atau penipuan pasaran modal tidak berlesen.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup