PLC Pamer Penambahbaikan dalam Menggunapakai Amalan Terbaik MCCG

CG Monitor 2024 gesa penambahbaikan dalam pembaharuan lembaga, penglibatan pihak berkepentingan, dan tadbir urus kemampanan

Kuala Lumpur, 4 November 2024

Syarikat awam tersenarai (PLC) Malaysia menunjukkan kemajuan dalam penggunaan Kod Tadbir Urus Korporat Malaysia (MCCG), menurut laporan Pemantauan Tadbir Urus Korporat (CG Monitor) Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) 2024.

Laporan CG Monitor, yang diterbitkan hari ini, menilai penggunaan amalan terbaik MCCG, berdasarkan laporan Tadbir Urus Korporat yang dikeluarkan oleh PLC untuk tahun kewangan berakhir 2022 dan 2023.

Sebanyak 30 daripada 48 amalan terbaik merekodkan tahap penggunaan melebihi 90%, menonjolkan komitmen sebilangan besar PLC terhadap tadbir urus korporat yang mantap.

Laporan 2024 itu bagaimanapun menggariskan tiga bidang kritikal yang memerlukan penambahbaikan selanjutnya iaitu pembaharuan komposisi lembaga pengarah, meningkatkan penyertaan pemegang saham melalui AGM secara fizikal/hibrid, dan penyepaduan yang lebih mendalam bagi amalan tadbir urus kemampanan.

Pengerusi SC Dato’ Mohammad Faiz Azmi menekankan kepentingan tadbir urus korporat dalam memacu pasaran yang berdaya tahan.

“Tadbir Urus Korporat mesti berkembang untuk menghadapi cabaran baharu dan memacu daya tahan untuk jangka masa panjang. Syarikat harus menyelaraskan tadbir urus mereka dengan keutamaan strategik dengan menyepadukan kemampanan, meningkatkan penglibatan pihak berkepentingan, dan memperbaharui kepimpinan untuk kekal tangkas.”

“Dalam usaha Malaysia ke arah ekonomi yang lebih inklusif dan mampan, SC akan terus menyokong syarikat dalam menerima pakai amalan yang memberikan nilai jangka panjang untuk pihak perniagaan dan komuniti yang lebih luas,” katanya.

Laporan itu menunjukkan bahawa hanya 18% daripada PLC telah menerima pakai had tempoh sembilan tahun untuk Pengarah Bebas Bukan Eksekutif. Ini menekankan keperluan untuk PLC mengambil langkah yang lebih proaktif dalam menyegarkan komposisi lembaga.

Pengekalan pengarah yang telah lama berkhidmat iaitu sehingga 12 tahun melalui proses pengundian dua peringkat kekal berleluasa.

PLC digalakkan untuk memanfaatkan Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM), yang mana Pejabat Pendaftaran Pengarahnya kini menyenaraikan 1,007 individu yang bersedia untuk berkhidmat dalam lembaga. Ini menawarkan PLC sekumpulan calon yang layak dan mempunyai perspektif baharu, memastikan lembaga pengarah kekal dinamik dan mampu menangani cabaran tadbir urus yang berkembang.

CG Monitor 2024 juga mendapati bahawa lebih 50% daripada PLC terus mengadakan AGM secara maya atau hibrid pada tahun ini.

Bagaimanapun, seperti yang diumumkan oleh SC pada bulan Ogos , semua PLC mesti mengadakan mesyuarat agung secara fizikal atau hibrid mulai 1 Mac 2025. Peralihan ini dijangka meningkatkan penglibatan pemegang saham, membolehkan penyertaan dan interaksi yang lebih bermakna di AGM.

Yang boleh ditekankan, tadbir urus kemampanan telah menyaksikan peningkatan yang ketara, dengan lebih daripada 96% daripada PLC kini menerima pakai amalan yang menumpukan pada pengawasan lembaga dan pengurusan terhadap isu kemampanan.


Ini termasuk komunikasi yang lebih jelas mengenai strategi dan sasaran kemampanan, dan memastikan lembaga pengarah kekal dimaklumkan tentang perkembangan kemampanan yang berkaitan.

Masih terdapat ruang untuk penambahbaikan, seperti memasukkan kemampanan ke dalam penilaian prestasi lembaga pengarah dan pengurusan kanan serta melantik individu berdedikasi untuk mengurus usaha kemampanan secara strategik.

Rangka Kerja Pelaporan Kelestarian Kebangsaan (NSRF) yang dilancarkan baru-baru ini akan mengukuhkan lagi amalan ini, manakala inisiatif PACE akan menyediakan sumber seperti panduan dasar dan program pembinaan kapasiti untuk membantu PLC memenuhi keperluan pelaporan kemampanan dengan berkesan.

CG Monitor tahun ini juga memaparkan nilai pandangan daripada Profesor Mak Yuen Teen tentang landskap tadbir urus korporat Malaysia yang bertambah baik, serta kongsian maklumat daripada Institut Pengarah Korporat Malaysia tentang kepentingan menambah baik penzahiran oleh lembaga pengarah dan imbuhan pengurusan kanan.

Untuk butiran lanjut, muat turun Monitor CG 2024 di sini


SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA


1 Semua PLC Perlu Adakan Mesyuarat Agung secara Hibrid atau Fizikal Mulai 1 Mac 2025
2 National Sustainability Reporting Framework to Enhance Sustainability Disclosures

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup