Kuala Lumpur, 2 November 2022
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan agensi pertanian utama baru-baru ini membincangkan kaedah menangani jurang pembiayaan yang dihadapi oleh Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PKS) yang terlibat dalam sektor pertanian dalam usaha meningkatkan keselamatan makanan negara.
Seramai 40 orang wakil daripada agensi dan pemain industri telah menghadiri bengkel GROW® - sebuah program kerjasama baharu di bawah inisiatif utama fintech SC, SCxSC.
GROW® merupakan satu usaha kolaboratif antara SC dan rakan kongsi ekosistem bagi memanfaatkan potensi platform digital penjanaan dana alternatif. Ini bertujuan untuk memenuhi keperluan pemain yang kurang mendapat perhatian dalam sektor-sektor strategik seperti pertanian.
Pendanaan ramai ekuiti atau equity crowdfunding (ECF) dan pembiayaan peer-to-peer (pembiayaan P2P) adalah antara mekanisme pembiayaan alternatif yang dibincangkan semasa bengkel tersebut, yang dikenalpasti sebagai kaedah pembiayaan dalam sektor tersebut.
Pengerusi SC Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin menekankan kepentingan meluaskan akses kepada pasaran modal untuk perniagaan tempatan.
"Kami telah melihat bagaimana teknologi telah memperluas pembiayaan melalui platform digital seperti pendanaan ECF dan pembiayaan P2P," katanya ketika bengkel tersebut. "Kami percaya saluran pembiayaan alternatif ini berpotensi untuk menangani beberapa keperluan pembiayaan PKS dalam sektor pertanian juga."
Pegawai kanan daripada kementerian, agensi dan pemain utama dalam ekosistem pertanian yang berkaitan hadir pada bengkel yang berlangsung selama sehari itu. Ini termasuk wakil daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Agrobank.
Para peserta bengkel telah menyeru ke arah penyelarasan ekosistem yang lebih baik bagi menggerakkan sektor pertanian ke hadapan serta mengukuhkan keselamatan makanan negara.
Mereka juga menekankan keperluan untuk meningkatkan kesedaran tentang peranan pembiayaan alternatif untuk sektor pertanian. Mereka mengalu-alukan pembangunan instrumen pembiayaan yang lebih inovatif untuk memenuhi keperluan perniagaan tani yang pelbagai.
Berikutan bengkel itu, SC merancang untuk melangsungkan penglibatan industri yang lebih luas bersama pemegang kepentingan utama pada tahun hadapan termasuk menganjurkan Persidangan GROW® Fintech. Ini akan diikuti dengan bengkel GROW® di seluruh negara untuk meningkatkan kesedaran mengenai pendanaan ECF dan pembiayaan P2P sebagai pilihan pembiayaan yang berdaya maju untuk PKS asas tani bagi mengembangkan perniagaan mereka.
Program-program ini akan melengkapkan usaha berterusan kerajaan untuk menyokong pengumpulan dana alternatif oleh perniagaan pertanian seperti Malaysia Co-investment Fund (MyCIF).
MyCIF merupakan sebuah inisiatif pelaburan awam-swasta yang ditadbir oleh SC bagi pihak Kementerian Kewangan, dan telah melihat peningkatan penggunaan kempen ECF dalam sektor pertanian selepas melaksanakan nisbah khas 1:2 pada 2022 dalam sektor ini. MyCIF telah melabur sebanyak RM1 untuk setiap RM2 yang diperoleh daripada pelabur swasta melalui platform yang diambil bahagian oleh penerbit yang layak.
MyCIF telah melabur bersama dalam pelbagai projek pertanian dalam aktiviti huluan dan hiliran, termasuk firma yang menggunakan teknologi untuk meningkatkan hasil pertanian dan pengeluaran akuakultur.
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA