SC Anjur InvestSmart® Fest Tahunan bagi Mempromosi Pendidikan dan Perlindungan Pelabur

SIARAN MEDIA

Kuala Lumpur, 17 November 2023

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini membuka tirai acara tahunannya iaitu InvestSmart® Fest 2023, yang berlangsung selama tiga hari bagi mempromosikan pendidikan dan perlindungan pelabur.

Tahun ini merupakan edisi ke-10 acara pendidikan pelabur utama SC itu, dan telah dirasmikan oleh YB Tuan Steven Sim Chee Keong, Timbalan Menteri Kewangan II. Tema tahun ini ialah “10 Tahun Memperkasa Rakyat Malaysia”.

InvestSmart® Fest 2023, yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, bertumpu kepada empat tema utama:
 (1) Investor Empowerment
 (2) Fintech
 (3) Financial Planning and 
 (4) Investment Scams Prevention.


Pengerusi SC Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata perlindungan pelabur kekal menjadi keutamaan SC.

Dalam ucapannya, beliau memberi amaran kepada orang ramai tentang aktiviti individu yang mengaku dirinya sebagai guru pelaburan namun tidak berlesen dan juga pempengaruh kewangan (financial influencers) yang tidak selalu membantu pelabur.

"SC sedang memberi perhatian kepada perkara ini dan setakat ini kami telah mengambil tindakan terhadap lima individu bergelar pempengaruh kewangan," katanya. “Antaranya termasuk tindakan pentadbiran dan pertuduhan jenayah bagi aktiviti yang berkaitan dengan nasihat pelaburan tidak berlesen dan pengubahan wang haram.”

Berkenaan isu penipuan atau scams, beliau berkata SC telah bekerjasama dengan pihak berkepentingan yang berkaitan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk mengendalakan aktiviti penipuan.

Sehingga akhir Oktober 2023, SC telah memulakan empat tindakan penguatkuasaan terhadap kes aktiviti tidak berlesen, menyenaraikan 274 penyertaan baharu dalam Senarai Peringatan Pelabur serta menyekat 128 laman web, 113 akaun Telegram, 78 akaun Facebook dan 10 akaun Instagram.

Sebagai isu utama yang membimbangkan SC, beliau berkata Pasukan Petugas Khas (Task Force) dalaman SC telah dibentuk tahun ini untuk meningkatkan lagi keberkesanan dalam menangani penularan penipuan sedemikian dan aktiviti tidak berlesen lain.

SC juga telah membangunkan Meter Penipuan (Scam Meter) di laman webnya yang bertujuan membantu mengenal pasti dan meningkatkan kesedaran tentang tanda- tanda penipuan dalam peluang pelaburan.

Di samping itu, SC tidak lama lagi akan melancarkan Semak Sebelum Labur (Investment Checker), iaitu sebuah fungsi carian sehenti di laman web SC yang akan membantu pelabur mengenal pasti kesahihan entiti yang menawarkan peluang pelaburan, sama ada mereka merupakan entiti pelaburan berlesen dan dibenarkan dalam pasaran modal atau sebaliknya.

Sejak pelancaran inisiatif pemerkasaan pelabur InvestSmart® pada tahun 2014, SC telah menjangkau jutaan rakyat Malaysia melalui acara turun padang (on-the-ground) dan melalui platform digital.

InvestSmart® Fest 2023 tahun ini disertai oleh lebih daripada 35 organisasi. Ia termasuk institusi pasaran kewangan, pengantara pasaran modal, persatuan industri, badan kawal selia, agensi kerajaan dan rakan gabungan SC.

Selain pameran, ceramah khas, perbincangan panel dan sesi fireside chats oleh pakar industri akan diadakan.

Pengunjung InvestSmart® Fest 2023 akan berpeluang mendapatkan penilaian awal percuma tentang status kewangan mereka daripada perancang kewangan berlesen.

Ini merupakan penambahan selain daripada petua yang akan dikongsikan tentang cara menguruskan simpanan dan pelaburan di meja perancangan kewangan #FinPlan4U. Tahun ini, lebih 500 sesi ditawarkan untuk mereka yang terawal.

Buat pertama kalinya tahun ini, InvestSmart® telah menggabungkan beberapa siri ceramah kerjaya pasaran modal pada acara tersebut.

Acara ini dibawakan oleh investED, inisiatif baharu antara SC, Kementerian Kewangan, Kementerian Pengajian Tinggi dan pemain industri, untuk mendedahkan graduan muda tentang pelbagai peluang kerjaya dalam pasaran modal.

InvestSmart® Fest 2023 disokong oleh Bursa Malaysia Berhad, Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia, Persatuan Perancang Kewangan Malaysia dan Majlis Perancangan Kewangan Malaysia.

Untuk maklumat lanjut tentang InvestSmart®, sila layari https://investsmartsc.my/ atau akaun media sosial InvestSmart®. Untuk maklumat mengenai investED, sila layarit https://www.invested.my/.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup