SC Beri Amaran Mengenai Peningkatan Firma Klon Menggunakan Nama PLC
5 November 2020   |   Kuala Lumpur

Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengingatkan orang ramai mengenai peningkatan ketara skim penipuan firma klon tahun ini. Skim penipuan oleh syarikat palsu ini menyamar sebagai entiti yang sah, termasuk menyalahguna nama dan logo syarikat awam tersenarai (public listed company atau PLC) untuk memperdaya pelabur dan mendapatkan dana daripada mereka.

Firma-firma klon ini menawarkan peluang pelaburan yang tidak wujud termasuk dalam bentuk saham PLC ini, dengan menjanjikan pulangan yang tidak munasabah dalam jangka masa singkat. Pada bulan Mei, SC juga mengeluarkan peringatan mengenai firma klon penipuan yang menyamar sebagai pengantara pasaran modal berlesen.

Skim penipuan klon terkini termasuk PLC dalam sektor perubatan, sarung tangan dan hartanah yang telah menarik minat pelabur semasa wabak COVID-19. Entiti yang terlibat telah membuat laporan polis dan / atau membuat aduan kepada SC mengenai pengklonan identiti korporat mereka oleh individu atau organisasi yang tidak dikenali.
Selain nama dan logo PLC ini, penipu ini juga menggunakan bukti kelayakan korporat, laman sesawang dan butiran lain entiti yang sah ketika mempromosi skim ini melalui saluran media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan Twitter.

Mangsa kebiasaanya diarahkan untuk memberi maklumat peribadi seperti nama, nombor Kad Pengenalan dan butiran bank, dan seterusnya akan diminta memindahkan dana ke dalam akaun bank peribadi penipu tersebut. Setelah itu, penipu akan meminta mangsa untuk memberikan lebih banyak wang kononnya untuk pembayaran cukai pendapatan, yuran pentadbiran, caj bank, yuran pengeluaran atau kadar pertukaran.

SC ingin mengingatkan para pelabur agar sentiasa berhati-hati ketika menilai peluang pelaburan, terutamanya yang menjanjikan pulangan yang sangat tinggi dengan sedikit atau tanpa risiko dan agar mendapatkan bimbingan penasihat berlesen dan sah. Pelabur digesa untuk mengesahkan status individu atau syarikat yang menawarkan peluang pelaburan melalui laman sesawang SC di:
  1. www.sc.com.my/regulation/licensing/licensed-and-registered-persons dan
  2. www.sc.com.my/development/digital/list-of-registered-recognized-market-operators

SC juga menggesa orang ramai untuk mengesahkan butiran akaun bank melalui aplikasi dan laman sesawang "Semak Mule" dalam talian yang disediakan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM untuk menyemak kesahihan akaun bank dan nombor telefon yang digunakan untuk kegiatan penipuan atau sekiranya pemilik akaun tersebut mempunyai rekod jenayah.

Orang ramai yang mengesyaki bahawa mereka telah didatangi oleh firma atau individu yang tidak sah yang menawarkan skim yang menjanjikan pulangan yang indah khabar dari rupa, boleh melapor kepada Jabatan Pengguna dan Pelabur kami di talian 603 6204 8999 atau e-mel [email protected].
SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA
SC-World Bank-IOSCO Asia Pacific Hub Conference 2019: Enhancing Financial Inclusion through Islamic Finance and FinTech
(From left to right):
  1. Abayomi A. Alawode, Head of Islamic Finance, Finance, Competitiveness and Innovation, The World Bank Group
  2. Datuk Syed Zaid Albar, Chairman of the Securities Commission Malaysia (SC)
  3. Dr. Firas Raad, Country Manager for Malaysia, East Asia and Pacific, The World Bank Group 
  4. Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin, Deputy Chief Executive of SC
Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup