SC bertindak tegas terhadap pengarah PN4 yang bersalah; pesalah akan dihukum

Kuala Lumpur, 12 Disember 2002

Pemantauan dan pengawasan teliti terhadap syarikat PN4 oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) mendedahkan pelbagai pelanggaran undang-undang dan salah urus oleh pengarah dan pegawai kanan syarikat-syarikat ini.

Pegawai penguatkuasaan utama SC, Timbalan Ketua Eksekutif Datin Zarinah Anwar, berkata pesalah akan dihukum dengan sewajarnya.

Beliau mengingatkan bahawa SC tidak akan menghentikan aktiviti penguatkuasaannya – tindakan akan diambil terhadap pesalah walaupun syarikat PN4 itu akhirnya akan dinyah senarai.

“Penyahsenaraian tidak akan membebaskan pesalah yang melakukan penipuan dan salah urus. Mereka juga tidak terlepas daripada dihukum kerana pihak penyelamat telah pun tiba untuk menyelamat syarikat ini,” kata beliau.

Datin Zarinah berkata sejak dua tahun yang lalu, SC telah memeriksa buku-buku 31 syarikat PN4.

“Kita hanya menunggu masa untuk menyelesaikan pemeriksaan keseluruhannya,” kata Datin Zarinah.

Beliau berkata kesalahan yang didedahkan daripada penyiasatan ini termasuk dagangan orang dalam dan manipulasi pasaran serta pelanggaran tadbir urus korporat seperti pembelian aset pada harga tinggi atau menjual aset pada nilai rendah, mengemukakan maklumat palsu/mengelirukan, skim-skim penipuan dan penyalahgunaan hasil kutipan pelaksanaan penjanaan modal.

Penyiasatan ke atas syarikat PN4 menghasilkan 12 pendakwaan yang membabitkan 18 individu. Daripada jumlah tersebut, empat individu telah disabitkan kesalahan sementara yang lainnya masih dalam perbicaraan atau perbicaraan belum dimulakan.

Personaliti korporat menonjol yang telah didakwa termasuk, Dato’ Tiah Thee Kian, Dato’ Soh Chee Wen, Low Thiam Hock dan Dato’ Ishak Ismail.

Sepanjang bulan lepas sahaja, kita telah mendakwa pengarah dan pegawai kanan tiga syarikat PN4 – Tat Sang, Gensoil dan Actacorp.

SC juga telah mengarahkan syarikat-syarikat seperti CSM Corporation Berhad menyatakan semula penyata kewangan mereka yang didapati mengelirukan dan tindakan undang-undang telah dimulakan oleh pengurusan sekarang terhadap bekas pengarah dan juruaudit syarikat tersebut kerana pelanggaran tanggungjawab fidusiari.

Selain daripada penyiasatan dan pendakwaan yang berkaitan PN4, SC juga secara aktif menyiasat 104 kes lain dan mendakwa 31 kes membabitkan 48 individu.

Datin Zarinah berkata beberapa kes yang disiasat oleh SC menunjukkan bukti penipuan dan jenayah pecah amanah. Ini telah dirujuk kepada Polis manakala kes yang berkaitan pelanggaran kepada Akta Syarikat 1965 telah dirujuk kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Datin Zarinah berkata pihak berkuasa adalah komited untuk bekerjasama untuk memastikan pesalah dihukum dengan sewajarnya.

“Perlindungan pelabur merupakan salah satu keutamaan kita. Kita perlu memastikan bahawa standard tadbir urus korporat yang tinggi ditunjukkan oleh kerana kekuatan dan keutuhan pasaran adalah penting,” tegas beliau.

Selain daripada pendakwaan, SC juga telah mengenakan 20 tindakan pentadbiran dan mengeluarkan tiga kompaun kepada syarikat PN4. BSKL juga telah mengambil 102 tindakan terhadap syarikat PN4 melalui denda, celaan dan surat peringatan.

SURUHANJAYA SEKURITI MALAYSIA

Badan-badan Bersekutu SC
Pautan Berkaitan
MENGENAI SC
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ditubuhkan pada 1 Mac 1993 di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993. SC merupakan badan berkanun swabiaya dengan tanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan pasaran modal Malaysia.

Talian Umum: +603-6204 8000
E-mel Umum: [email protected]
© Hakcipta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.  Hubungi Kami   |    Penolak Tuntutan   |   Paparan laman yang lebih baik menggunakan Microsoft Edge dan Google Chrome dengan resolusi minimum 1280x1024
Ooops!
Generic Popup