Garis panduan disemak semula tersebut, yang berkuat kuasa hari ini, menggariskan keperluan yang membolehkan syarikat broker saham menawarkan perkhidmatan dagangan saham pecahan untuk saham yang disenaraikan di Bursa Malaysia. Saham pecahan merupakan bahagian saham yang kurang daripada satu lot dagangan standard.
Dagangan saham pecahan merupakan salah satu inisiatif pasaran modal yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri Dato' Seri Anwar bin Ibrahim awal Jun tahun ini untuk menjadikan dagangan saham di Bursa Malaysia lebih mudah diakses, mampu milik dan inklusif untuk pelabur runcit, terutamanya pelabur muda.
Garis panduan yang disemak semula mencerminkan komitmen berterusan SC untuk meningkatkan kerancakan pasaran dan menggalakkan penyertaan runcit yang lebih besar dalam pasaran saham Malaysia.
Pengerusi SC Dato' Seri Dr. Awang Adek Hussin berkata dengan membenarkan pelabur runcit berdagang dalam saham pecahan, individu, khususnya generasi muda, akan mempunyai lebih kemampuan dan fleksibiliti untuk berdagang dan melabur dalam saham perdana yang lebih mahal, pada nilai lebih kecil daripada nilai lot dagangan standard.
"Selain itu, pengenalan perdagangan saham pecahan akan membolehkan pelabur runcit mempelbagaikan portfolio, sambil mewujudkan pasaran modal yang lebih inklusif untuk semua rakyat Malaysia," katanya.
Beliau menambah: "Untuk menyokong pembangunan teratur pasaran modal, penting bagi syarikat broker saham untuk mempunyai kawalan dan sistem yang diperlukan untuk menjaga kepentingan pelabur."
Antara keperluan utama di bawah garis panduan tersebut ialah keperluan syarikat broker saham melaksanakan sistem, polisi dan prosedur yang mencukupi. Ini bagi memastikan layanan adil terhadap pesanan pelanggan, ketelusan harga, dan penyeliaan sewajarnya terhadap perkhidmatan perdagangan saham pecahan.
Garis Panduan SBC yang dikemas kini boleh dirujuk di
sini.